|
|
SETELAH sekian lama ‘berlakon’ dengan dunia cintanya, akhirnya segala teka-teki hubungan pelakon yang tidak lekang dengan kontroversi, Fasha Sandha dengan duda aktres Nora Danish terjawab.
“Ya, saya dan Rizal bercinta dan kami bahagia sekarang,” terang pelakon Anak Halal ini secara terbuka kepada media awal minggu lalu.
Selepas sering menafikan hubungan akrab dengan duda popular itu, Fasha akhirnya membuka mulut dan membuat pengakuan ‘berani mati’ yang dia dan Toh Muda Rizal Ashram Ramli menjadi pasangan kekasih secara rasmi sejak 17 Mei lalu.
Enggan berselindung lagi, Fasha berkongsi saat bahagia mereka ketika ditemui pada sidang akhbar dan pelancaran drama bersiri Duyong Aridinata terbitan Zeel Productions Sdn. Bhd.
Cerita Fasha, dia dan Rizal mula menjadi pasangan kekasih selepas Rizal membuat kejutan dengan datang ke set penggambarannya di Pulau Lang Tengah, Terengganu menaiki helikopter.
“Saya terharu dengan kesungguhan dan keberanian Rizal menunjukkan cintanya dan saya rasa itulah masa terbaik untuk menerima cintanya.
“Ketika itu, kami sudah dua bulan tidak berjumpa dan saya tidak sangka dia bersungguh-sungguh ingin berjumpa dengan saya sampai datang dengan menaiki helikopter.
“Dia adalah kekasih saya yang kedua. Kami mula berkenalan tujuh tahun lalu, cuma baru-baru ini saling mengenali hati budi dan akhirnya saya menerima cintanya selepas peristiwa helikopter itu.
“Kami bahagia sekarang dan dalam pertemuan itu Rizal telah menghadiahkan sebentuk cincin tanda saya kini miliknya ketika di Pulau Lang Tengah,” terang Fasha sambil tersenyum manis.
Menurut Fasha, tiada orang lain pernah bersungguh-sungguh dengannya seperti Rizal lakukan kepadanya dan dia memang terharu dengan usaha Rizal itu.
Tambah Fasha, jika tidak kerana kedatangan Rizal yang mesra dipanggil Jejai menaiki helikopter, dia tetap akan menerima cintanya kerana telah mengenal hati budinya, cuma mungkin lambat sahaja.
“Usaha dia datang berjumpa dengan saya ketika itu membuatkan saya berasa sungguh istimewa,” tambah Fasha.
Pada 17 Mei lalu, Rizal dan rakan-rakannya membuat kejutan kepada pelakon filem Anak Halal itu dengan hadir menaiki helikopter peribadi sewaktu Fasha menjalani penggambaran drama bersiri, Duyong Aridinata di sana.
Helikopter peribadi milik Rizal yang merupakan ahli perniagaan berjaya itu mendarat berhampiran chalet yang didiami Fasha bersama krew drama.
Rizal kemudian menjamu selera makan tengah hari bersama Fasha dan krew-krew yang lain.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: