|
|
KEMUNCULAN Din Glamor dalam bidang pengarahan drama pada awalnya dipersoal ramai khususnya penggiat filem dan drama tanah air.
Ramai yang meragui kemampuan Din kerana Din atau nama sebenarnya Sallehuddin Ridzuan, 49, hanyalah bekas pekerja syarikat produksi SV Production Sdn. Bhd.
Di syarikat tersebut, Din hanya melakukan kerja-kerja sebagai Pegawai Perhubungan Awam (PRO). Pernah juga dia diberi peluang berlakon dalam filem-filem terbitan syarikat itu antaranya Mr. Os, Awang Spanar dan Adik.
Lalu, apabila Din mengarah drama pertamanya, Debuan Rindu, ada yang bertanya mampukah Din? Apa pengalaman yang dia ada?
Din yang berkahwin dengan Norin Md. Said, 46, dan ayah kepada Yasmin Farhana, 16, Mohd. Razim Azran, 15, dan Mohd. Ashraf Azhari, 13, sekadar tersenyum apabila ditanya mengenai persoalan ramai itu.
Bahkan, dia tidak pernah ambil peduli cakap-cakap orang dia kerana semua yang dilakukan semata-mata untuk syarikat produksi yang menggajikannya dan demi mencapai impian peribadi.
Din tidak menafikan ketika bersama SV Produciton, ramai yang hanya kenal dia sebagai PRO yang tugasnya menghubungi wartawan bagi tujuan mendapatkan publisiti.
“Saya juga sebenarnya Penerbit Eksekutif syarikat itu, jadi banyak yang saya belajar tentang penerbitan dan kerja-kerja di belakang tabir.
“Apabila terlibat dalam penerbitan filem syarikat berkenaan, saya mesti ambil tahu semua perkara demi memastikan penggambaran filem itu berjalan lancar dan yang penting bajet mengikut yang telah ditetapkan,” kata Din pada satu pertemuan baru-baru ini.
Mungkin ramai tidak tahu, sebelum diberi tugas sebagai PRO syarikat itu, Din yang mula bekerja di SV Production melakukan banyak kerja-kerja di belakang tabir penerbitan.
“Saya bukan bermula daripada tugas yang senang dan mudah. Sebaliknya pertama kali bekerja dengan syarikat ini pada tahun 1983, saya diberi tugas sebagai runner (orang yang membeli makanan untuk krew penerbitan), tukang buat air dan propman.
“Apabila saya dapat melakukan tugas itu dengan sempurna, barulah pihak SV memberi saya tugas sebagai PRO dan setelah tiga filem barulah saya dilantik sebagai Pengurus Produksi.
“Memegang dua tugas sekali gus membuatkan saya belajar pelbagai kerja dan walaupun berat Alhamdulillah saya dapat melaksanakannya dengan baik,” kata Din lagi.
Din yang diperkenalkan kepada Penerbit SV Production, V. Nagaraj oleh aktor A.R Badul tidak pernah menyangka sikap ringan tulangnya menyebabkan dia diberi kepercayaan yang total oleh SV.
“Saya tidak pernah menyangka sikap saya yang tidak pernah mengenal erti penat dalam melakukan kerja serta amanah telah membuatkan SV percaya pada saya. Bersandarkan kepercayaan itulah mereka kemudiannya melantik saya menjadi Penerbit Eksekutif syarikat itu.
“Namun selain kerja-kerja di sebalik tabir penerbitan, dalam diam-diam saya belajar kerja-kerja pengarahan dan penulisan skrip daripada pengarah dari India yang merupakan rakan kongsi.
“Bukan itu sahaja, semasa bersama SV Production juga saya telah diberi peluang menjadi penolong pengarah filem Awang Spanar selain turut berlakon dalam filem itu.
“Saya amat terhutang budi dengan abang Z. Lokman (pengarah) kerana beliaulah yang memberi kepercayaan saya menjadi Penolong Pengarah,” kata Din lagi.
Bagi Din, walaupun ada segelintir orang seni yang memandang kerja-kerja Z. Lokman tetapi banyak petua dan teknik perfileman yang dapat dipelajari daripada pengarah kreatif itu.
Berbekal pengalaman pertama, barulah Din diberi peluang oleh Aziz M. Osman untuk menjadi penolong pengarahnya dalam filem Femina.
“Melalui pengalaman itulah setelah berhenti dari SV pada tahun 1992, saya membuka syarikat penerbitan sendiri.
“Bagi saya sudah tiba masanya saya melangkah lebih jauh kerana berapa lama harus bekerja di bawah syarikat orang lain,” cerita Din.
Berlian Positive Sdn. Bhd., syarikat milik Din yang ditubuhkan pada tahun 1992 merupakan langkah pertama Din sebelum bergelar pengarah drama.
Berbekalkan pengalaman di belakang tabir penerbitan dan dengan modal dan pinjaman yang diperoleh akhirnya Din memberanikan diri mengarah drama pertama terbitannya.
Debuan Cinta merupakan drama pertama arahan Din yang dihantar ke RTM dan sesuatu yang membanggakan dirinya drama itu berjaya menafikan pandangan negatif orang-orang filem terhadapnya.
“Saya amat bersyukur kerana drama pertama itu diterima RTM. Sejak itulah syarikat saya diberi peluang menerbitkan drama bukan sahaja untuk RTM malah TV3.
“Lebih daripada 30 drama saya terbitkan dibawah syarikat milik sendiri. Bagaimanapun, apabila negara dilanda kegawatan ekonomi, projek drama daripada RTM dan TV3 tidak ada, akhirnya syarikat yang kami tubuhkan itu terpaksa dibubarkan pada tahun 2004.
“Saya tidak sanggup menanggung hutang bank lagi. Ketika itu ada tiga drama saya yang pada mulanya dipersetujui oleh sebuah stesyen TV tetapi akhirnya diperap begitu sahaja.
“Memandangkan beban hutang, akhirnya saya terpaksa menjualnya secara murah di sebuah stesen lain dan Alhamdulillah, akhirnya lalu saya dapat melangsaikan hutang saya dengan Bank Pembangunan,” cerita Din penuh lega.
Kini kata Din, bagi meneruskan kerjayanya sebagai pengarah, dia banyak diberi peluang mengarah drama terbitan syarikat baru dan yang sudah kukuh.
“Impian saya cuma satu, jika keadaan sudah kukuh saya ingin menghidupkan kembali syarikat milik saya,” kata Din penuh harapan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: