|
|
RAMAI peminat yang mengetahui bahawa penyanyi Atilia telah bercerai dengan suaminya, Ariff Johan Abdul Aziz pada awal tahun lalu.
Namun, ramai yang kurang menyelami isi hati dan pengalaman pahit yang dilaluinya itu sehinggalah dia menulis sebuah lirik lagu berjudul SelainNya.
Anak penyanyi Salamiah Hassan itu mengakui, dia banyak mencurahkan perasaannya selepas perceraiannya itu melalui lagu tersebut.
Menurut Atilia, lagu ciptaan Mohariz Yaakup itu secara tidak langsung membangkitkan hasratnya untuk berkahwin lagi pada masa depan.
“Saya tidak nafikan lagu SelainNya macam lagu orang hendak kahwin lagi. Saya selalu berangan untuk menjadi orang seperti dalam lirik itu.
“Biarpun pernah gagal dalam perkahwinan, saya tidak serik kahwin lagi,” katanya sewaktu ditemui pada majlis pelancaran album single terbarunya yang berjudul Indah terbitan Alibi Music Sdn. Bhd.
Luahan hati penyanyi dalam aliran irama pop dan jazz itu bukan setakat secara lisan, malah ia turut diperturunkan dalam nota peribadi tulisannya.
Atilia atau nama sebenarnya Raja Putri Atilia Raja Haron meluahkan rasa hatinya berhubung luahan hatinya melalui lagu tersebut.
“Lagu ini mengenai kecintaan seseorang itu kepada seseorang yang lain. Sehingga cinta itu menjadi sesuci cinta kepadaNya.
“Jika anda mendengar lagu ini seperti adanya orang ketiga dalam percintaan. Semoga anda sukakan lagu ini,” ujarnya penuh makna.
Biarpun rumah tangga yang dibina oleh penyanyi berusia 36 tahun ini musnah selepas 10 tahun melayarinya tetapi ia bukan suatu tanda noktah buat dia.
Sebaliknya, penyanyi yang bersuara lemak merdu ini mengakui, dia pasrah dengan takdir Ilahi, malah hubungannya dengan Ariff Johan juga baik.
“Walaupun sudah bercerai tetapi saya dan Ariff masih lagi berhubung dan saling bertanya khabar. Kami masih berkawan baik seperti dulu.
“Contohnya baru-baru ini rumah saya kena pecah masuk pencuri, saya menghubunginya menceritakan masalah yang saya lalui itu.
“Dalam insiden itu jam tangan dan komputer riba saya hilang tetapi mujurlah pasport dan duit saya tidak diambil pencuri,” tuturnya.
Sewaktu ditanya tentang perasaan dan perancangannya untuk berkahwin lagi pada masa depan, Atilia hanya menjawab ringkas.
Dia juga tidak menolak kenyataan hatinya sudah dimiliki.
“Tengoklah kalau ada jodoh. Mak saya (Salamiah Hassan) okey. Dia tidak kisah siapa pilihan saya. Dia tidak paksa saya (kahwin lagi).
“Apa yang boleh saya katakan teman lelaki saya Melayu. Apa yang penting kami tidak akan masuk Sehati Berdansa,” katanya sambil ketawa.
Pada pelancaran album single Indah itu, Atilia turut menjemput penyanyi kumpulan Hujan, Noh berduet dengannya dalam lagu Old Love.
Lagu Inggeris berirama jazz ciptaan Mike Bloemendal itu merupakan salah satu daripada lagu yang dimuatkan dalam album single tersebut.
Selain ceria dengan kemunculan album single itu, Atilia pada masa sama terkejut apabila lama sesawangnya dikunjungi 3.6 juta pengunjung.
Jelas Atilia, senario itu menunjukkan sambutan para peminat akan pembabitannya sebagai penyanyi.
“Saya tidak sangka laman web saya iaitu www.atilia.us telah menerima kunjungan seramai 3.6 juta pengunjung baru-baru ini.
“Ini suatu petanda yang sihat di mana saya akan menggunakan medium itu bagi mempromosikan lagi album single Indah,” jelasnya.
Selain melancarkan album single Indah, Atilia turut menayangkan klip video lagunya berjudul Harus Bagaimana pada majlis tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: