Monday, July 5, 2010
MTD terima bukan Melayu
TEMERLOH- Sebanyak 30 peratus kuota akan dibuka bagi pengambilan pelajar bukan Melayu memasuki Maktab Tentera Diraja (MTD) mulai tahun ini bagi memberi peluang kepada pelajar bukan Melayu memasuki maktab berkenaan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, untuk merealisasikan perkara itu pihak sekolah tersebut menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi tujuan berkempen di semua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil untuk menarik minat mereka menyertai pengajian di MTD.
Menurutnya, setakat ini sekolah itu hanya mempunyai 10 peratus pelajar bukan Melayu dan atas sebab itu bilangan pelajar bukan Melayu perlu ditambah bagi melahirkan ramai pegawai tentera bukan Melayu.
“Kita mahu lahirkan lebih ramai pegawai tentera bukan Melayu untuk sama-sama menjaga keamanan dalam negara. Kita harap dengan kempen yang dijalankan itu dapat menarik minat bukan sahaja pelajar Cina, India malah kaum-kaum yang ada dalam negara seperti Orang Asli, Iban, Kadazan dan sebagainya.
“Kita mahu semua kaum dalam negara ini mempunyai rasa cinta kepada negara dan sama-sama menjaga keamanan daripada sebarang pencerobohan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Temerloh, semalam.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, Kementerian Pertahanan membuat beberapa transformasi di MTD itu dengan menggantikan komandan pusat itu kepada komandan yang berpangkat Kolonel.
“Dalam hal ini, saya meminta ibu bapa supaya memberikan keyakinan dan kerjasama kepada pentadbiran baru MTD itu menjalankan tanggungjawab bagi melahirkan pelajar berdisiplin, terlatih dan berkualiti.
“Pihak kementerian akan memastikan kes dan perbuatan buli atau disebut ‘ragging’ tidak lagi berlaku di MTD kerana perbuatan itu melampau hingga membawa kematian. Saya juga harap budaya buli itu tidak lagi berlaku bukan sahaja di minggu suai kenal malah sepanjang berada di alam persekolahan,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: