KUALA LUMPUR: Hanya kerana menegur jiran menggantungkan seluar dalam di pagar rumahnya, mangsa dipukul dan diterajang selain dua kereta dan tingkap kediamannya dipecahkan.
BUKTI...Teh (kiri) menunjukkan gambar keretanya yang dirosakkan.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Teh, 30, berkata dia yang baru pulang dari kerja dengan menaiki Toyota Avanza terkejut selepas seorang lelaki tiba-tiba merampas kunci keretanya sebelum melepaskan tumbukan di pipi, mata dan bibir.
“Saya tidak mampu berbuat apa-apa ketika itu selain meraung meminta tolong, namun tiada siapa yang datang membantu. Saya meluru masuk semula ke dalam kereta, tetapi mereka memecahkan tingkap kereta dan memukul badan saya dengan buluh.
“Isteri yang mendengar jeritan saya keluar dari rumah untuk menyelamatkan saya, namun dihalang. Dalam kesakitan, saya lari masuk ke dalam rumah, tetapi mereka memecahkan tingkap rumah serta tingkap sebuah lagi kereta milik isteri saya,” katanya.
Teh berkata, sebelum itu, lelaki terbabit turut menjerit memaksanya keluar dan mengugut untuk membunuhnya.
Difahamkan, mangsa bukan sahaja ditumbuk dan dipukul, malah mengalami kerugian lebih RM5,000 kerana kedua-dua keretanya dirosakkan selain tingkap rumahnya dipecahkan jirannya itu.
“Selepas saya mendiamkan diri dalam rumah, jiran saya beredar.
“Selama ini, saya hanya mendiamkan diri sejak setahun lalu setiap kali jiran saya menggantungkan pakaian dalam di tembok rumah saya. Namun, sikap kurang manis itu menyebabkan saya tidak tahan dan menegur perbuatannya itu kira-kira dua minggu lalu.
“Saya meminta mereka mengangkat pakaian dalam itu dan menggantungnya di rumah sendiri, tetapi teguran saya tidak diendahkan,” katanya pada sidang media di Biro Pengaduan Awam MCA di sini, semalam.
Difahamkan, mangsa sebelum ini sudah dinasihati jiran lain supaya tidak menegur sikap lelaki itu kerana dikenali sebagai panas baran.Mangsa membuat laporan di Balai Polis Seri Kembangan, di sini.
Berikutan itu, tiga lelaki termasuk jirannya berusia 30-an ditahan bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong, berkata tindakan menggunakan kekerasan adalah salah di sisi undang-undang dan tidak wajar kerana kehidupan berjiran perlu saling bantu-membantu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: