|
|
SAMA ada sebagai penghargaan atau untuk merapatkan hubungan, pelbagai cara dilakukan syarikat korporat di negara ini untuk meraikan petugas media. Untuk mencapai objektif itu sebenarnya banyak perkara boleh dilakukan oleh syarikat korporat selain jemputan majlis makan malam yang sebenarnya agak membosankan.
Baru-baru ini, Bank Muamalat menganjurkan ekspedisi Kembara Media ke puncak Gunung Kinabalu yang disertai oleh 23 peserta. Matlamat utama adalah untuk merasai pengalaman menuruni via ferrata, iaitu laluan tangga besi yang dipacak pada permukaan batu di lereng gunung.
Pelbagai pengalaman sukar dilalui oleh peserta semasa melakukan pendakian ke puncak gunung setinggi 4.095 meter itu sebelum menuruni laluan seumpama itu yang tertinggi di dunia dan pertama di Asia sejak mula beroperasi tahun 2007.
Ramai daripada peserta yang selama ini dibebani kesibukan tugas harian tidak berpeluang untuk menjalani latihan sebagai persediaan mental dan fizikal.
Akibatnya ramai juga yang meragui keupayaan masing-masing untuk sampai ke puncak.
"Boleh ke saya sampai ke puncak Kinabalu dan menuruni via ferrata, saya tak pernah mendaki gunung dan tiada stamina," ujar salah seorang peserta pada taklimat mengenai acara lasak yang julung kali diadakan oleh Bank Muamalat.
Namun begitu, semangat para peserta terus membara untuk sampai di puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara itu terutama setelah mendapat suntikan perangsang daripada pendaki solo, Mohd Noor Mat Amin yang berjaya melakukan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu sebanyak 111 kali dalam tempoh 111 hari sebelum ini.
Kehadiran pendaki itu membuatkan semua begitu bersemangat untuk mengharungi cabaran ke puncak dan melakukan aktiviti meniti di laluan dinding granit itu.
Sebaik sahaja tiba di Kota Kinabalu peserta disambut oleh petugas Bank Muamalat sebelum menaiki bas yang tersedia untuk bergerak ke penginapan di Kundasang.
Para peserta terus bersemangat apabila disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Bank Muamalat, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid di perkarangan hotel yang turut memberi kata-kata perangsang pada majlis makan malam.
Keesokkan harinya, para peserta yang diketuai oleh Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat, Bank Muamalat, Hanif Abu Bakar dan Pengurus Kawasan, Sulaiman Mohd Noor bersama wakil media memulakan pendakian meninggalkan Pintu Timpohon pada pukul 9.45 pagi.
Mereka begitu bersemangat ketika pendakian, walaupun penat hingga tidak terkata, itulah pengalaman pertama dirasai. Syaratnya mesti sampai di puncak untuk melalui dinding batu di via ferrata.
Walaupun hujan renyai membasahi di laluan sejauh enam kilometer ke Laban Rata, mereka tetap tidak kalah walaupun penat sehingga tidak terkira.
Akhirnya, semua peserta tiba di Laban Rata untuk makan malam sebelum mendaki tangga ke Pendant Hut iaitu penginapan yang di tempah oleh Bank Muamalat untuk berehat sebelum meneruskan pendakian ke puncak tertinggi di Asia Tenggara pukul 2.30 pagi keesokkan harinya.
Sebelum semua melelapkan mata di Pendant Hut, Jurulatih Mountain Torq telah memberi taklimat dan menunjuk cara menggunakan peralatan bagi menyertai aktiviti menyusur dinding via ferrata selepas tiba di puncak nanti.
Tepat pukul 1.30 pagi, semua peserta media telah bangun dan minum pagi dan telah memulakan pendakian ke puncak gunung bersama semua pendaki lain pada pukul 2.30 pagi.
keadaan gelap gelita yang hanya disinari kelipan lampu suluh setiap pendaki melalui laluan yang terpaksa merempuh ratusan anak tangga menyebabkan ianya amat meletihkan sekali, Namun ia tidak mematahkan semangat peserta dan mereka telah tiba di puncak seawal pukul 5 pagi.
Selepas seketika berada di kawasan puncak, semua peserta mula meninggalkan puncak tertinggi itu dengan bergerak menuju ke Sayat-Sayat sebelum bergerak di laluan dinding via ferrata.
Perjalanan melalui dinding batu itu bermula pada pukul 8.30 pagi dan didahului oleh pendaki solo, Mohd. Noor sebagai penyuntik semangat kepada semua peserta media yang lain.
Walaupun pada mulanya, sebahagian kecil peserta agak cemas kerana gayat, tetapi bila berada di tengah laluan dinding itu telah bertukar menjadi satu aktiviti yang menyeronokkan. Perjalanan di laluan dinding berakhir pada pukul 10.30 pagi.
Selepas itu, semua peserta terus turun ke Pendant Hut untuk minum pagi dan seterusnya bergerak turun ke Pintu Timpohon.
"Saya ingat turun lagi mudah rupanya semua sendi, otot dan lutut menjadi lemah longlai. Kami terpaksa berjalan pelahan-lahan dan berhati-hati," ujar seorang peserta.
Selepas semua tiba di Pintu Timpohon kira-kira pada pukul 6.30 petang, pas itu, peserta bergerak ke hotel penginapan dan majlis penyampaian sijil kejayaan telah disempurnakan oleh Mohd. Rezal Shah.
Pengalaman dalam Kembara Media Via Ferrata Gunung Kinabalu anjuran Bank Muamalat cukup bererti kepada semua peserta khususnya mereka yang kali pertama menjejak kaki di Gunung Kinabalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: