Thursday, July 8, 2010

Cinta Bilal Philips pada Islam


Dr. Abu Ameenah Bilal Philips tidak pernah berhenti dalam menyebarkan syiar Islam sehingga ke akhir hayat.


PANDAI berkata-kata" dan "bersifat terus terang" adalah sebahagian perkataan yang dapat menggambarkan karakter Dr. Abu Ameenah Bilal Philips.

Iltizam kuat dalam usaha mencari kebenaran hakiki telah membawanya dari tanah kelahiran di Jamaica ke Toronto, Kanada, di mana dia dibesarkan dan seterusnya menerima Islam pada tahun 1972.

Bilal Philips dahulunya beragama Kristian. Berasal daripada keluarga pendidik, memandangkan ibu bapanya adalah guru. Datuknya pula ialah paderi gereja dan cendekiawan kitab Injil.

Dilahirkan pada 7 Januari 1947, Bilal Philips telah menamatkan pengajiannya di peringkat diploma dan sarjana muda Bahasa Arab dari Kolej Usul ad-Din (Prinsip-prinsip Islam) di Universiti Islam Madinah pada tahun 1979.

Kemudian pada tahun 1985, Bilal Philips memperoleh ijazah sarjana dalam bidang Teologi Islam dari Universiti King So'oud, Riyadh, Arab Saudi.

Akhirnya pada 1994, beliau berjaya memiliki doktor falsafah (Ph.D) dari University of Wales dalam bidang teologi Islam.

Beliau mengajar pendidikan Islam dan Bahasa Arab di beberapa sekolah swasta di Riyadh, Arab Saudi selama 10 tahun dan selama tiga tahun memberi kuliah kepada pelajar pendidikan di Jabatan Pengajian Islam di beberapa universiti seperti di Universiti Islam Shariff Kabunsuan di Cotabato City, Mindanao, Filipina.

Sumbangannya yang tidak kurang hebat adalah apabila beliau menjadi pengasas dan pengarah Pusat Maklumat Islam atau kini dikenali sebagai Discover Islam di Dubai, Emeriah Arab Bersatu (UEA). Selain pengarah di Jabatan Bahasa Asing di Dar al Fatah Islamic Press di Sharjah, UEA.

Kini, Dr. Bilal Philips ialah pensyarah Bahasa Arab dan Pengajian Islam di American University di Dubai dan Ajman University di Ajman, UAE.

Di samping itu, Bilal Philips turut tidak ketinggalan mengembara ke seluruh dunia demi menyebarkan syiar Islam kepada pelbagai khalayak.

Malah universiti Islam dalam talian atau Islamic Online University (IOU) adalah merupakan hasil kajian (brainchild) Dr. Bilal Philips. Beliau telah membayangkan dan menjangkakan sebuah institut yang dapat menawarkan kurus-kursus intensif, diploma, ijazah dan sarjana dalam bidang pengajian Islam yang ditawarkan secara percuma. Universiti ini menawarkan program Bachelor of Arts in Islamic Studies (BAIS) selama empat tahun.

IOU dilancarkan secara rasminya pada 2001 dari UAE dengan menawarkan beberapa kursus jangka pendek. Selang lima tahun kemudian, IOU dilancarkan semula pada 2007, tetapi kali ini dari Qatar dengan menawarkan kursus-kurus jangka pendek yang jauh lebih lengkap secara percuma.

Kini terdapat lebih 6,600 pelajar yang mengikuti pengajian secara maya menerusi universiti ini.

Sementara itu, dalam bidang penulisan pula, Bilal Philips telah mengarang lebih 100 buah buku dan bukunya yang berjudul The Fundamentals of Tawheed adalah karya paling diminati.

Antara buku-bukunya yang lain ialah; Fundamentals of TAWHEED (Islamic Monotheism) International Islamic Publishing House, True Message of Jesus Christ Islamic Book Services 2006; ISBN 9788172313609, Purpose of Creation 84pp, Islamic Book Services 2002; ISBN 8172313586, Funeral Rites International Islamic Publishing House, Polygamy in Islam, Islamic Book Services dan Islamic Studies Al-Basheer 2002

Buku-buku yang pernah diterjemah olehnya adalah Ibn Taymiyyah's Essay on the Jinn, The Devil's Deception dan Arabic Calligraphy in Manuscripts.

Kini, Bilal Philips menetap di Doha, Qatar, bersama keluarga dan mengajar di Akademi Pengajian Islam di situ.

Justeru, tidak hairanlah Dr. Bilal Philips lebih dikenali sebagai cendekiawan Muslim, pelajar Islam yang berilmu, pensyarah, pengarang buku, editor, penterjemah dan pemikir yang kritis.

Dalam kesibukannya itu juga, Dr. Bilal Philips turut memperuntukkan masa senggang bermain skuasy, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu bersama isteri dan anak lelakinya sebagai satu cara untuk kekal sihat dan membebaskan diri daripada tekanan.

Malah dia juga mengajar anak-anaknya seni mempertahankan diri dan memiliki tali pinggang hitam dalam sukan karate.

Beliau pernah muncul di Peace TV, sebuah saluran televisyen Islam satelit yang disiarkan secara 24 jam ke beberapa negara di seluruh dunia.

Keseriusan beliau dalam kerja-kerja dan aktiviti dakwah Islamiah dapat digambarkan menerusi kata-katanya yang sekali gus menjadi pegangan kepada usaha dakwahnya iaitu, "Tiada masa untuk bercuti, apatah lagi apabila anda menyedari betapa pendeknya masa yang berbaki dan betapa banyak kerja yang perlu dilakukan demi agama Islam".

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: