Thursday, July 8, 2010

Usah abaikan riadah


Seni mempertahankan diri adalah antara bentuk riadah yang dianjurkan oleh agama. - Gambar hiasan


BERSUKAN atau beriadah sering dikaitkan dengan dengan meningkatkan kesihatan dan kecergasan. Pepatah Arab ada menyatakan "akal yang sihat datang daripada badan yang sihat".

Islam juga menggalakkan umatnya kuat dan sihat seiring dengan sepotong hadis riwayat Imam Bukhari, sabda Rasulullah SAW, Seorang mukmin yang kuat itu lebih baik dan disayangi Allah dari seorang mukmin yang lemah... Malah sukan memanah dan berkuda juga adalah salah satu sunnah Rasulullah SAW. Ini jelas menunjukkan bahawa perkaitan antara akal dan kesihatan jasmani adalah sangat rapat.

Badan yang sihat adalah pemangkin kepada akal yang cerdas. Apabila akal yang cerdas dilengkapi dengan rohaniah yang utuh, ia menghasilkan manusia yang berketerampilan, bersemangat dan bersedia menghadapi cabaran.

Walaupun istilah kuat sangat subjektif maksudnya, namun tidak dapat dinafikan bahawa manusia yang lebih kuat, sihat dan berani akan lebih diho kepadanya.

Kalau tidak masakan sejak dahulu lagi, manusia sering menganjurkan pertandingan beradu kekuatan baik untuk menentukan taraf dalam masyarakat mahupun syarat untuk menjawat sesuatu pangkat.

Sihat adalah keperluan

Mempunyai badan yang sihat adalah perlu untuk meneruskan kehidupan. Manusia adakalanya menggunakan kudrat tulang empat keratnya untuk mencari sesuap nasi, justeru memiliki badan yang kuat dan sihat adalah suatu kemestian baginya.

Bukan itu sahaja, pelajar mahupun pekerja memerlukan badan yang sihat untuk menggalas tanggungjawab masing-masing. Pendakwah juga mesti memiliki badan yang cergas dan minda yang cerdas kerana tanggungjawab mereka juga tidak mengira batasan tempat dan waktu.

Terdapat pandangan bahawa beriadah adalah sangat menyusahkan, mengambil masa serta badan menjadi letih. Pandangan ini harus ditepis kerana kebaikan beriadah dan bersukan adalah amat banyak.

Pertama, ia meningkatkan pengaliran darah dalam badan, mengeluarkan peluh dan seterusnya menjadikan tubuh badan lebih cergas dan sihat.

Banyak kajian menunjukkan kebaikan beriadah, walaupun setakat berjalan kaki kerana ia membantu organ-organ dalaman berfungsi dengan lebih baik dan mengawal stamina tubuh.

Malah tekanan juga dikatakan dapat dilepaskan melalui beriadah dan bersukan.

Apabila badan sihat, minda menjadi lebih segar, fokus dan perasaan lebih ceria seterusnya dapat dimanfaatkan untuk keluarga, masyarakat, organisasi dan negara.

Kedua, beriadah dan bersukan boleh mengeratkan hubungan silaturrahim sesama manusia. Kegiatan-kegiatan sukan yang dilakukan bersama-sama dengan orang lain mampu memupuk semangat kekitaan dan toleransi.

Lebih-lebih lagi apabila dilakukan dengan keluarga, hubungan keluarga menjadi lebih erat dan teguh. Aktiviti sukan pada hujung minggu misalnya, dapat melepaskan penat lelah kerana kesibukan sepanjang minggu.

Melalui sukan juga integrasi kaum juga dapat dipupuk. Kita lihat banyak acara sukan dan riadah yang dianjurkan dengan penyertaan pelbagai kaum, dan ini dapat menjadi medium yang berkesan untuk penyatuan kaum dan membina semangat patriotisme.

Ketiga, mengelak remaja daripada terjebak masalah sosial dan mempertingkatkan kualiti kehidupan. Masa senggang seorang remaja agak banyak kerana tidak perlu menanggung tanggungjawab seperti seorang dewasa.

Justeru, banyak masa lapang remaja kadangkala diisi dengan aktiviti yang kurang berfaedah seperti melepak, merempit, bermain komputer tanpa batasan dan berbual-bual kosong.

Masa senggang selalu menyebabkan remaja hilang fokus dan menyebabkan salah guna masa berlaku.

Alangkah baiknya sekiranya masa-masa ini dapat diisi dengan kegiatan yang lebih berfaedah dan memberi manfaat.

Jika dimanfaatkan betul-betul, sukan dapat membangunkan masyarakat yang berdisiplin dan berdaya saing.

Banyak lagi kebaikan beriadah yang mungkin sudah kita ketahui, cuma yang kadangkala menghalangnya adalah akibat kekangan ruang, masa dan rasa. Walau apa pun, bak kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan!

Sekiranya kita tidak menyedari kepentingan bersukan dan beriadah, masih tidak terlambat untuk kita mula beriadah dan mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.

Gunakan masa sihat sebelum sakit, dan untuk sihat kita perlu penjagaan dan amalan hidup yang baik.

Kesihatan fizikal, bersama-sama kekuatan mental dan spiritual menjadikan seorang remaja lebih berdisiplin, ceria, bermotivasi, berdaya saing dan bersiap siaga.

Potensi remaja sebeginilah yang bakal membangun generasi akan datang ke arah masyarakat yang maju dan bersedia menghadapi apa jua cabaran yang datang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: