|
|
KUALA LUMPUR 7 Julai - Malayan Banking Bhd. (Maybank) menyasarkan sebanyak 10,000 pemegang kad premium Maybankard World MasterCard pada tahun ini.
Timbalan Presiden dan Ketua Perkhidmatan Kewangan Komunitinya, Lim Hong Tat berkata, sasaran tersebut adalah konservatif memandangkan Maybank ingin mengekalkan keistimewaan dan eksklusif kad tersebut.
''Kad tersebut ditujukan khas kepada segmen rangkaian pelanggan mewah, termasuk pelanggan perbankan peribadi Maybank.
''Pelanggan-pelanggan ini akan dijemput untuk memohon kad tersebut. Jemputan akan diberikan kepada pelanggan yang memenuhi kriteria ketat telah ditetapkan seperti mempunyai pendapatan tahunan sebanyak RM240,000 dan lebih serta mempunyai trek rekod yang baik,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran kad premium Maybankard World MasterCard di sini hari ini.
Hadir sama Naib Presiden dan Pengurus Kanan Negara Malaysia dan Brunei MasterCard, Jim Cheah dan Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Perniagaan Kad dan Pembayaran Maybank, Ashraf Ali Kadir.
Terdahulu, Maybank menawarkan program spend anytime, anywhere to earn treats airmiles (berbelanja bila-bila waktu, dimana sahaja dan miliki mata airmile).
Hong Tat berkata, untuk setiap RM2 yang dicaj di kad tersebut di Malaysia atau RM1 dicaj di luar negara lima mata ganjaran airmile akan diberikan kepada pemegang kad premium eksklusif Maybankard World MasterCard bagi program perjalanan yang boleh ditukar untuk MAS Enrich Miles.
''Setiap lima mata airmiles yang bersamaan dengan satu mata MAS Enrich Miles. Manfaat lain termasuk 50,000 mata saguhati airmile selepas menerima kelulusan dan menerima insurans perjalanan sehingga RM2 juta.
''Pelancaran kad tersebut sejajar dengan komitmen Maybank untuk mempelbagaikan keperluan pelanggan setiap segmen. Ia juga turut membuka peluang manfaat perjalanan kepada pelanggan mewah,'' jelasnya.
Selain itu, melalui kerjasama dengan MAS, Hong Tat berkata, manfaat lain program tersebut adalah memberi penjimatan apabila memilih untuk terbang dengan syarikat penerbangan tersebut.
''Pemegang kad yang membeli tiket penerbangan kelas perniagaan MAS sehala dapat menerima diskaun sebanyak 50 peratus bagi pembelian tiket pulang menggunakan Enrich Miles. Program juga membolehkan diskaun 25 peratus dan 15 peratus bagi kelas perniagaan dan 'flex seats' kelas ekonomi berdasarkan kadar pasaran pada waktu pembelian,'' katanya.
Manfaat tambahan lain, mata ganjaran airmile tidak akan luput, mendapat akses setahun ke MAS Golden Lounge di seluruh dunia serta penerimaan menjadi ahli Kelab Perdana Hilton yang boleh digunakan 40 hotel di seluruh Asia dan Timur Tengah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: