Sunday, July 18, 2010

Charice kebanggaan Filipina


ALBUM Charice yang mendapat perhatian ramai.


GADIS berusia 18 tahun ini mungkin masih berkhayal dengan pencapaiannya. Charice, nama ini sedang membangkitkan rasa cemburu khalayak melihatkan momen seninya dibalut nama-nama besar.Pada usia empat tahun, bakatnya sudah dikesan oleh sang ibu ketika dia menyanyikan lagu selamat hari jadi. Usia tujuh tahun, dia diperkenalkan secara formal dengan kelas muzik.

Berdasarkan sebuah klip video yang diposkan di laman YouTube, kehidupan Charice berubah 360 darjah.Pameran bakatnya pada pertandingan nyanyian di Korea berjaya menarik minat ramai penggiat seni hingga menerbangkan Charice yang ketika itu hanya berusia 15 tahun ke Amerika Syarikat (AS).

Di sana, dia muncul dalam sebuah program yang dikendalikan oleh hos popular, Ellen De Generes.

Tidak terhenti di situ, bakat Charice disaksikan oleh nama-nama yang disegani di persada seni antarabangsa.

Sebelum itu, dia terdahulu membikin 'pasport' untuk terbang ke sana ke sini atas nama seorang penyanyi. Pasport itu ialah album perdananya, Charice.

Dia kemudian bertemu Oprah dalam program bual bicara yang sememangnya menjadi impian selebriti, The Oprah Winfrey Show dalam episod kanak-kanak paling pandai di dunia.

Bukan setakat bertentang mata, malah Charice diberi kesempatan mengalunkan suara lunaknya melalui lagu I Have Nothing.

Lagu tersebut membawa ironi kepada kehidupan Charice iaitu menghargai bakat besar dalam tubuh kecil molek ini.

Selepas itu, Oprah menghubungi komposer terkenal, David Foster dan memintanya menghasilkan sesuatu buat Charice. Nyata, Oprah tidak mahu mensia-siakan bakat besar dari Filipina ini. Bagai pucuk dicita ulam mendatang, Charice berpeluang duduk satu pentas bersama David Foster dalam satu cara di Connecticut, AS.

Dia kemudian membuat kemunculan perdana di pentas antarabangsa dalam konsert David Foster di Las Vegas.

Bukan sedikit tuah yang bergolek ke kakinya. Charice dapat berdiri satu pentas dengan penyanyi bertaraf legenda dan kelas atas seperti Michael Buble, Celine Dion, Andrea Bocelli dan Josh Groban.


CHARICE bakal muncul di kelab Dragonfly pada 25 Julai ini pukul 7.30 malam untuk persembahan perdana tontonan peminat di Kuala Lumpur.


Setelah menyulam satu demi satu momen bersejarah dalam hidupnya, kini dia kembali ke alam rakaman. Segala pengalaman berharga dihimpunkan ke dalam sebuah album keluaran AS pada Mei 2010 lalu.

Single pertama bertajuk Pyramid itu seakan memperlihatkan kejayaannya yang semakin menuju ke puncak. Kolaborasi bersama penyanyi bernama Iyaz ini juga semakin menampakkan kematangan seorang Charice. Juga menunjukkan sisi seriusnya bergelar penghibur.

"Saya sangat bangga dengan album ini, malah berasa begitu bertuah lantaran dapat bekerjasama dengan komposer dan penerbit yang mempunyai nama yang cukup besar.

"Setiap nota dan perkataan yang keluar adalah daripada dalam hati saya," ujarnya yang bakal menemui peminat di Kuala Lumpur pada 25 Julai ini dalam rangka promosi jelajahnya.

Kali pertama bakal mendendangkan suaranya yang berdesibel 10 oktaf, Charice atau mesra juga dipanggil Pempengco ini bakal berada di kelab Dragonlfy, Kuala Lumpur pada pukul 7.30 malam Ahad depan.

Sekiranya anda mahu mendengar suara yang menjadi pujaan Oprah dan David Foster ini, cuma beli album terbaru Charice dan itu merupakan tiket untuk menikmati suasana tersebut.

Apa lagi yang dimahukan oleh Charice, gadis yang dibalut tuah sejak usia muda lagi?

Katanya dia punya satu lagi impian. "Saya mahu menari dan menyanyi bersama Justin Timberlake," luahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: