![]() |
| |
LAGAKNYA berenang dan melibaskan ekor bersisik biru itu langsung tidak menampakkan kekok, seolah-olah kostum itulah yang menjadi pakaiannya sehari-harian. Dialah lelaki dua alam yang boleh hidup di laut dan bernafas di daratan.
Itulah anugerah yang dirasai lelaki separuh manusia dan separuh ikan bernama Putera Aridinata, persembahan terbaru Zack X Factor yang mengembalikan dongeng zaman kanak-kanak di kaca televisyen.
Sepanjang hampir enam tahun dalam dunia lakonan, inilah kali pertama dia bertukar rupa dan bentuk, daripada manusia menjadi duyung yang hidup di laut.
“Rasanya ini kali pertama sinema Melayu menampikan seorang lelaki sebagai duyung dan kali pertama juga saya dipaksa mengenakan sut ketat di badan.
“Mula-mula susah juga, rasa tidak selesa dan saya ambil masa sehingga 30 atau 45 minit untuk menyarungkan sut ini, tetapi selepas beberapa hari penggambaran, saya okey,” katanya yang tidak berdepan masalah sepanjang penggambaran.
Paling menarik bagi Zack, dia berpeluang bermain-main dengan spesies ikan yang dikenali sebagai Nemo. Kali pertama bertemu ikan comel yang berwarna-warni itu, perasaan teruja terpancar di wajahnya.
“Mula-mula saya ingat Nemo takutkan manusia tetapi ia jinak dan boleh bermain-main di tapak tangan saya,” katanya.
Sudah terbiasa digelar Zack X Factor, sekali pandang lelaki campuran Iban dan Bidayuh ini tiada bezanya dengan lelaki Melayu yang lain. Tidak lagi aktif dengan nyanyian tetapi nama itu cukup menandakan dia pernah bergelar penyanyi.
“Buat masa ini, saya berehat dahulu daripada bidang nyanyian. Saya sering terlibat dengan jadual penggambaran drama bersiri yang panjang walaupun saya pernah serik tidak mahu jadi pelakon.
“Lepas tahun 2003, tiga tahun saya tolak tawaran sebab fobia kena mengulang aksi jatuh lebih daripada 20 kali,” luahnya bersambut derai ketawa.
Bakat dan pengalaman nyanyian memberinya satu peluang.
Untuk siri Duyung Aridinata menerusi slot Legenda di TV3 yang disiarkan bermula 12 Julai lalu, Zack diberikan kepercayaan menulis sebuah lirik dan lagu, sekali gus menyanyikan lagu tema drama berkenaan yang berjudul Putera Duyung.
Drama arahan Adam Hamid yang menjalani sebahagian besar penggambaran di Pulau Lang Tengah, Terengganu itu diperkemaskan dengan barisan pelakon seperti Fasha Sandha, Natasha Hudson, Tony Eusoff dan Rozie Rashid.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: