|
|
DI lokasi penggambaran filem, orang yang paling berkuasa dan mempunyai 'kuasa eksekutif' ialah pengarah.
Pengarah lazimnya merupakan kapten dan boleh membuat apa saja keputusan yang baik untuk produksinya.
Persoalannya, apa sudah jadi dengan pengarah Khir Rahman yang mengemudi filem … Dalam Botol?
Bagaimana dia boleh membiarkan aktor di bawah jagaannya berbogel hanya semata-mata untuk menjayakan babak mandi? Mustahil kalau Khir tidak mengetahui hal itu berlaku?
Kepada Khir kami lontarkan soalan itu. Sebagai orang lama dalam bidang seni, Khir tidak pula melatah, biarpun dia sebetulnya terkejut kerana Arja Lee mengeluarkan kenyataan itu dan sekali gus membenarkan dirinya 'dibelasah' oleh anggota masyarakat.
"Apabila membaca kenyataan Arja Lee dalam Pancaindera tempoh hari, saya terkejut juga kerana sebenarnya babak Arja mandi berbogel langsung tidak masuk ke proses suntingan.
"Ini kerana selepas penggambaran babak mandi bogel dan setelah berbincang dengan Raja Azmi, kami sepakat untuk membuang sahaja rakaman itu kerana kami sedar ia tidak sopan," kata Khir menjelaskan situasi sebenar.
Sebagai pengarah, Khir sangat menghormati prinsip berkarya pelakon-pelakon di bawah jagaannya dan kerana itu dia memberi kebebasan kepada Arja untuk membuat tafsiran sendiri mengenai babak itu termasuk kesediannya berbogel.
"Bagaimanapun ketika penggambaran babak itu, saya hanya berada di depan monitor, tidak di tempat berkenaan. Semasa rakaman babak itu pun, visual Arja tidak nampak jelas. Ia sekadar imej kabus dan digambarkan daripada paras pinggang ke atas.
"Bagi saya babak mandi itu ( bukan mandi bogel) amat penting kerana ia menggambarkan luahan hati Ruby selepas menjalani pembedahan jantina dan ia menjawab rahsia tentang dirinya," jelas Khir lagi.
Menurut Khir, walaupun kenyataan Arja telah menimbulkan kontroversi namun dia sedikitpun tidak marah kerana menganggap ia lahir daripada sikap keterujaan pelakon itu sendiri.
"Saya dapat rasakan Arja begitu teruja bukan sahaja kerana pertama kali berlakon filem dan diberi watak utama. Malah watak Ruby itu sendiri membuatkan Arja begitu teruja dan komitmen yang ditunjukkan itu membuatkan saya kagum dengannya," katanya.
Bagaimanapun kata Khir, sebagai orang seni dan orang filem, dia melihat kontroversi yang timbul itu daripada sudut positif kerana secara tidak langsung telah mempopularkan pelakon berkenaan.
"Kontroversi itu memang memberi kesan kepadanya kerana rata-rata sekarang orang mula mengenalinya.
"Bagaimanapun budaya kita tidak boleh menerima itu dan sesuatu yang saya kagum dia membenarkan dirinya ditegur dan menerima teguran kerana saya yakin manusia ini kadangkala terlupa," Khir mengagumi keterbukaan Arja menerima kritikan.
Namun menurut Khir, populariti yang dicipta Arja dalam waktu yang singkat itu bukanlah bersandar kepada kontroversi berkenaan semata-mata, sebaliknya lakonan Arja dalam filem berkenaan memang patut ditonton oleh peminat filem tanah air.
Bercakap mengenai naskhah ...Dalam Botol, Khir yang merupakan pilihan ketiga untuk mengarah filem ini berkata;
"Saya tidak pernah melihat saya sebagai pilihan ketiga kerana bagi saya ini semua soal rezeki. Lagipun sebelum diberi tanggungjawab untuk mengarah filem ini, saya telah terlibat dengan naskhah ini sedari mula.
"Saya dan Raja Azmi selalu bertemu kerana saya sering memenuhi undangan majlis di rumahnya. Bermula dari situ saya mengenali beliau sebenarnya. Sebab itu apabila beliau meminta saya membaca dan mengolak skrip ...Dalam Botol, saya menerimanya."
Bagaimanapun, kesediaan Khir mengarah naskah Raja Azmi yang berdasarkan kisah benar mengenai sahabat baiknya yang kini menetap di Sweden, bukan dilakukan sambil lewa.
Sebaliknya, Khir menjalankan kajian bagi memastikan ia dapat divisualkan sebaik mungkin dan hampir menepati apa yang diilhamkan oleh Raja Azmi.
"Saya bukan jenis orang yang suka menghukum atau menilai orang sebab itu sebelum tanggungjawab ini dilaksanakan saya banyak melakukan kajian.
"Sebagai pengarah tugas saya melahirkan filem ini agar ia dapat bercerita kepada penonton dan berkongsi cerita dengan seseorang yang lain.
"Persoalan mengenai lelaki transeksual bukanlah satu persoalan yang biasa dengan masyarakat kita, jadi garapannya memainkan peranan penting agar tidak disalah anggap," akui Khir.
Bagaimanapun kata Khir, ia tidak melihat tema yang ditonjolkan dalam filem ini akan menjadi kontroversi cuma ia sekadar memberi penjelasan dan pendedahan kepada masyarakat.
"Saya berdoa dan berharap sangat apabila peminat filem Melayu menonton ...Dalam Botol dengan fikiran terbuka dan cuba lihat apa yang tersirat bukannya apa yang tersurat.
"Tetapi apa yang pasti filem ini bukan untuk menyampaikan mesej sebaliknya ia memaparkan sebuah cerita benar untuk kita kongsi bersama," kata Khir mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: