ISLAMABAD: Sebuah pesawat komersial Pakistan membawa 152 penumpang dan anak kapal terhempas dan meletup di kawasan pergunungan di pinggir Islamabad, semalam, ketika hujan lebat turun mengganggu jarak penglihatan.
KAWASAN BENCANA...penyelamat memeriksa lokasi kemalangan ketika sebuah helikopter membuat pengawasan di udara.
Anggota penyelamat berkata, cebisan mayat - termasuk yang rentung - bertaburan di sekitar tempat kejadian.
Pesawat Airblue ED202 itu berlepas dari Karachi sebelum laluannya diubah dan diarah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Benazir Bhutto di Islamabad apabila ada saksi melihat, ia diterbangkan pada ketinggian tidak sepatutnya.
Pesawat itu kemudian terhempas dan meletup.
Lokasi kejadian yang terpencil menyukarkan penyelamat tiba di situ, selain mengganggu penglihatan juruterbang helikopter.
Pegawai polis, Haji Taj Gul, berkata dia nampak bebola api besar diikuti kebakaran pada setiap serpihan pesawat ketika ia menggelungsur di kaki bukit.
Penduduk kawasan eksklusif di Margalla, Wajih-ur Rehman, berkata pesawat itu terbang sangat rendah sebelum mereka terdengar letupan kuat.
Menteri Dalam Negeri, Rehman Malik, berkata tiada sesiapa terselamat dalam nahas itu walaupun laporan awal menyatakan, ada mangsa terselamat.
“Hampir semua mayat berkecai dan perlu pengecaman,” katanya.
Menurut Airblue dan pihak berkuasa, daripada 152 orang yang ada dalam pesawat, enam adalah anak kapal.Pegawai Pihak Berkuasa Penerbangan Awam, Zeeshan Haider, berkata, dua bayi dan lima kanak-kanak adalah antara korban.
Jurucakap Kedutaan Amerika Syarikat, Richard, berkata dua warganya turut terbunuh.
“Kini kami bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menguruskan mayat mereka,” katanya.
Sumber berkata, pengawal udara mengarahkan pesawat terbabit mengubah laluan sebelum mendarat dalam hujan lebat dan awan tebal.Katanya, semua kemungkinan diambil kira, termasuk aspek serangan pengganas dan cuaca buruk.
Penyelamat, Arshad Javed, berkata suasana di lokasi kemalangan itu memang amat mengerikan mereka.
“Apa yang kami nampak hanya tangan atau kaki rentung.
“Sebentar tadi saya memasukkan dua kepala, dua cebisan kaki dan dua tangan ke beg,” katanya.
Sumber polis berkata, mereka menemui peralatan dipercayai kotak hitam pesawat dan ia sedang diperiksa sekumpulan pakar penerbangan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: