PIALA Dunia merupakan pentas terbaik pemain-pemain antarabangsa menunjukkan bakat dan kemahiran individu untuk menggenggam piala berprestij tersebut sekali gus melakar sejarah tersendiri dalam sukan bola sepak.
Kemeriahan Piala Dunia 2010 tidak hanya dirasai pemain yang bertanding dalam kejohanan di benua Afrika itu, malah peminat fanatik di seluruh pelosok dunia turut berpesta.
Gelombang Piala Dunia sudah tentunya menghantui penggemar sukan bola sepak tanah air yang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan kelibat bintang ternama dunia.
Mereka sanggup bersengkang mata demi menyaksikan pasukan dan pemain kesayangan berentap meraih kejayaan dalam kejohanan yang bermula 11 Jun lalu sehingga 11 Julai ini.
Bahkan, kaki bola bukan sahaja menyaksikan perlawanan di rumah malah kedai mamak, warung, kopitiam dan pelbagai lokasi lain untuk merasai bahang Piala Dunia.
Bagaimanapun, tidak semua penggemar sukan bola sepak yang bertuah dapat menyaksikan setiap perlawanan dipancarkan secara langsung di kaca televisyen apabila dibatasi faktor kerja atau lokasi persinggahan anda seperti sewaktu pulang ke kampung tidak mempunyai siaran perlawanan Piala Dunia.
Interaktif alam maya
Senario ini bakal berubah apabila menggunakan inovasi terbaru ditawarkan All Asia Networks Plc. (Astro), Astro B.Player yang membolehkan pengguna menyaksikan perlawanan secara langsung menerusi komputer dan telefon pintar.
Naib Presiden Perkhidmatan Jualan Penyiaran dan Perniagaan Baru Astro, Eric Foo, berkata, Astro B.Player adalah perkhidmatan inovatif terbaru 'apps' daripada Astro Beyond.
"Astro B.Player membolehkan pelanggan menyaksikan serta berinteraksi dengan kandungan Astro tanpa memerlukan televisyen tetapi menggunakan platform lain.
"Dengan menggunakan inovasi terbaru ini orang ramai boleh menyaksikan siaran langsung perlawanan, memuat turun nada dering, berita terkini dan video melalui laman web serta telefon pintar mereka di mana-mana sahaja," katanya kepada Kosmo!.
Hanya lambat seminit
Eric menambah, Astro B.Player menggunakan teknologi kadar bit mudah suai (adaptive bitrate) yang mampu menukar keadaan atau bertindak balas terhadap rangsangan luar untuk menyesuaikan diri dengan perubahan persekitarannya.
|
|
Katanya, teknologi kadar bit mudah suai itu dapat memastikan kandungan yang ingin disampaikan khususnya video dioptimumkan sepenuhnya.
"Ia dapat mengenal pasti jalur lebar semasa pengguna, sekali gus memberi pengalaman menonton terbaik kepada mereka yang menggunakan laman web dan telefon pintar ini.
"Kelajuan sambungan Internet adalah berbeza mengikut jalur lebar rangkaian dan lokasi Teknologi ini dapat membantu memberi kepuasan kepada pelanggan dan orang ramai tidak kira di mana sahaja mereka berada," ujarnya.
Dia menambah, teknologi itu juga membolehkan pengguna menikmati pergerakan video lebih lancar dan berkualiti kerana tiada lengahan serta penyimpanan sementara data yang dilakukan terhadap laluan komunikasi data.
Bagaimanapun katanya, pengguna yang menggunakan laman web atau telefon pintar untuk menyaksikan perlawanan siaran langsung Piala Dunia akan mendapati siaran tersebut lambat satu minit daripada kaca televisyen mereka.
"Penggunaan Astro B.Player juga hanya boleh digunakan di negara ini sahaja disebabkan ciri-ciri keselamatan yang perlu ditekankan dalam inovasi terbaru itu.
"Ia hanya dapat mengenali alamat protokol Internet Malaysia untuk beroperasi dan jika pengguna berada di luar negara perkhidmatan ini tidak dapat digunakan mereka," katanya.
Antara kandungan yang ditawarkan menerusi laman web menggunakan Astro B.Player ialah sorotan penting setiap perlawanan, jaringan gol, siaran ulangan, kad yang dikeluarkan pengadil, cubaan diselamatkan penjaga gol dan banyak lagi.
Selain itu, mereka yang menggunakan inovasi terbaru berkenaan dapat mengetahui maklumat mengenai setiap pasukan, jadual perlawanan, keputusan dan berita terkini mengenai Piala Dunia serta banyak lagi.
Inovasi interaktif
Eric menambah, inovasi terbaru laman web Astro B.Player mengetengahkan konsep interaktif kepada pengguna untuk memberi lebih kebebasan kepada mereka.
Katanya, pengguna juga berpeluang mengenali stadium-stadium yang terdapat di Afrika Selatan, legenda terkemuka Piala Dunia masa lampau, video jaringan gol terbaik Piala Dunia dan bermacam-macam lagi mengenai kejohanan berprestij itu.
"Kami turut menawarkan hiburan kepada pengunjung laman web ini seperti permainan bola sepak Micromedia Flash, bola sepak fantasi, wallpaper komputer dan peraduan mingguan dengan hadiah menarik.
"Inovasi tersebut ditawarkan melalui tiga kategori untuk mereka mendaftar iaitu pelanggan pakej sukan Astro, pelanggan Maxis dan orang ramai," katanya.
|
|
Menyentuh mengenai perbezaan tiga kategori tersebut, Eric berkata, bagi kategori pelanggan pakej sukan Astro dan Maxis, mereka dapat menikmati 64 perlawanan siaran langsung Piala Dunia.
"Bagi kategori orang ramai pula, ia agak berbeza sedikit kerana mereka hanya dapat menyaksikan 38 perlawanan yang disiarkan secara langsung," ujarnya.
Mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan B.Player melalui telefon pintar, hanya boleh diakses menerusi talian Maxis sahaja.
"Kebanyakan telefon pintar boleh menggunakan inovasi terbaru ini sekali gus membolehkan mereka menikmati setiap perlawanan Piala Dunia," ujar Eric.
Tegasnya, kelebihan inovasi terbaru itu adalah pengguna mempunyai kebebasan untuk merasai pengalaman siaran Astro di mana-mana sahaja tanpa batasan.
"Piala Dunia merupakan perintis kepada inovasi terbaru ini untuk melihat reaksi pelanggan dan orang ramai terhadap aplikasi kandungan B.Player.
"Kami akan memperluaskan penggunaan inovasi terbaru ini terhadap program-program dan kandungan sukan yang lain dalam masa terdekat," katanya.
Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai inovasi terbaru ini boleh melayari laman web www.astro.com.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: