Thursday, July 1, 2010

Platform pemuzik indie




FENOMENA muzik indie bukan satu perkara baru di Malaysia dan juga negara-negara serantau. Di sebalik kemunculan band indie di arena komersial yang semakin mendapat tempat dan perhatian peminat muzik, masih banyak band indie yang bertungkus-lumus cuba keluar daripada kepompong muzik underground.

Bukan tidak ada pentas yang disediakan buat mereka. Malah, di Malaysia sahaja cukup banyak pertandingan band diadakan.

Persoalannya, sejauh mana pentas yang disediakan itu mampu mengangkat nama sesebuah band yang bergelar juara jauh menerobos sehingga ke peringkat antarabangsa?

Justeru, atas inisiatif lahirlah pertandingan band secara talian yang diberi nama redAMP 2010 Asean's Best Band Competition yang menggabungkan 10 buah negara ASEAN termasuk Malaysia.

Pertandingan yang dimulakan pada 22 Mei lepas dengan setiap band menghantar video muzik, profil dan foto secara talian menyaksikan angka penyertaan yang luar biasa.

Sebanyak 2,575 penyertaan diterima dari 10 buah negara ASEAN iaitu Malaysia, Brunei, Kemboja, Myanmar, Indonesia, Laos, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam sehingga tarikh tutup penyertaan pada 18 Jun lalu.

Namun, setelah diteliti oleh juri profesional, Mac Chew (komposer), Jason Voo (pengarah muzik), Zahid Ahmad (pemain drum, pengarah muzik, pensyarah dan penerbit album) dan komposer serta penerbit terkenal Roslan Aziz bertindak selaku ketua juri hanya 10 buah band layak ke peringkat seterusnya iaitu peringkat undian peminat.


TIGA tenaga penting redAMP 2010 Asean's Best Band Competition, (dari kiri), Shafinaz, Utt dan Rafizah.


Undian yang boleh dibuat secara SMS dan secara talian di Facebook.com/RedTix itu mula dibuka pada 23 Jun hingga 7 Julai depan bagi menentukan tiga buah band yang layak ke peringkat akhir pada 16 Julai depan di Kuala Lumpur.

Sebanyak 10 buah band yang layak ke peringkat separuh akhir adalah Karacoma (Brunei), Bizharo (Malaysia), Stonebay (Malaysia), Golden Dragon (Indonesia), Muztava (Indonesia), Sandra (Indonesia), Pancake 80 (Filipina), Black Infinity (Vietnam), Winfield (Vietnam) dan Sixty-Nine (Thailand).

Sukar buat pilihan

Menurut Roslan, proses pemilihan 10 buah band terbaik bukan satu perkara yang mudah meskipun dia memiliki pengalaman yang cukup luas dalam bidang muzik dan proses penjurian.

"Saya akui, saya ada masalah ketika proses penjurian kerana saya harus pilih hanya 10 buah band daripada 2,575 band. Memang ramai yang bagus dan unik tetapi saya melihat banyak faktor dalam sesebuah band.

"Mutu muzik pasti terletak di tangga teratas, diikuti dengan kesungguhan, keazaman serta penampilan mereka sebagai sebuah band. Walaupun saya menilai muzik tetapi penampilan tetap diambil kira kerana muzik adalah perniagaan," ujarnya yang pernah menjadi juri program realiti Malaysian Idol.


SYAFINAZ membuat pemilihan dengan penuh teliti sebelum memilih 10 band yang bakal berentap dalam redAMP 2010's Asean's Best Band Competition.


Tambahnya lagi, meskipun terdapat satu atau dua band yang benar-benar bagus, banyak daripada mereka berada di tahap sederhana sahaja, malah, ramai antara mereka menghadapi masalah untuk berkomunikasi dengan baik.

"Ada band yang cukup semuanya, ada band yang saya lihat muziknya bagus tetapi tidak boleh bercakap depan kamera. Kalau begitu, macam mana mereka mahu muncul depan khalayak yang ramai. Kemahiran berkomunikasi juga diambil kira.

"Selain itu, karakter serta perangai mereka sebagai artis turut dinilai. Ada antara mereka yang masuk pertandingan ini hanya untuk suka-suka tetapi saya mencari band yang benar-benar mahu bergelar juara," tuturnya.

Pelbagai bahasa dan genre lagu

Sebelum memilih 10 band terbaik, barisan juri terlebih dahulu mengadakan sesi uji bakat secara langsung bersama 20 buah band di Kuala Lumpur.

Menariknya, pertandingan yang bakal dihoskan oleh VJ MTV terkenal, Utt Panichkul itu tidak terhad pada satu genre lagu sahaja kerana mereka dibenar menyampaikan lagu dalam pelbagai genre lagu seperti pop, metal, rock, jazz sehinggalah ke tradisional, malah, mereka juga dibenarkan menyanyikan lagu dalam bahasa ibunda mereka sendiri selain bahasa Inggeris.

Disoal sejauh mana kemampuan pertandingan ini mampu merealisasikan impian band yang bergelar juara, Roslan menjawab: "Pertandingan ini menggabungkan banyak negara dan mendapat kerjasama daripada MTV yang mempunyai rangkaian cukup luas.


ROSLAN AZIZ bakal memikul tanggungjawab sebagai juri pada peringkat akhir pertandingan.


"Tidak mustahil untuk sesebuah band dikenali seluruh Asia mahupun peringkat antarabangsa, jika mereka konsisten dengan apa yang mereka inginkan. Kami beri mereka platform, jadi mereka harus gunakan ia sebaik mungkin."

Juara redAMP 2010 Asean's Best Band Competition bakal membawa pulang RM50,000 perjanjian rakaman album dan beberapa hadiah lain.

Ketua Bahagian Perolehan Sampingan RedTix.com, Rafizah Amran menambah, bagi menambahkan debaran, tiga hari sebelum undian ditutup pada 7 Julai, keputusan undian tidak akan dipaparkan kepada umum sehingga pengumuman tiga band teratas dibuat pada 9 Julai depan.

"Pertandingan ini platform terbaik untuk band yang tidak mempunyai sebarang kontrak rakaman memperkenalkan karya mereka ke peringkat yang lebih luas. Kami di RedTix.com amat berharap ia akan mempertingkatkan tahap muzik Malaysia dan negara ASEAN yang lain ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

Penyanyi terkenal, Syafinaz Selamat yang terlibat sebagai juri undangan memberitahu, semua band yang terpilih sememangnya layak kerana mempunyai identiti serta kekuatan tersendiri.

"Bercakap pasal band ia merupakan gabungan semua alat muzik bukan vokalis sahaja. Saya menilai dari gubahan muzik, lirik, tahap vokal, kemahiran bermain peralatan, mentaliti persembahan dan sikap mereka.

"Bagi memilih pemenang, 70 peratus markah diambil daripada undian dan 30 peratus daripada juri profesional. Oleh itu saya rasa pertandingan ini adil dari segi populariti dan tahap profesional," katanya yang bertindak selaku juri untuk final bersama Roslan dan Datuk Aziz Bakar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: