|
|
KALAU diimbas kembali, krisis air yang melanda Lembah Klang pada tahun tahun 1998 telah mengajar kita agar lebih berhemah dalam penggunaan sumber air. Krisis tersebut telah membuatkan pelbagai pihak mencari alternatif terbaik untuk mencari sumber air agar peristiwa itu tidak berulang kembali.
Pembangunan sumber air tanah secara mapan dilihat mampu menjadi alternatif terbaik untuk mengatasi krisis air dengan lebih efektif dan berkesan.
Lambat kering
Ini kerana keupayaan simpanan bawah tanah jauh lebih besar dan mempunyai jangka masa yang agak lama untuk kering sekiranya berlaku kemarau atau krisis air.
Setiausaha Agung Majlis Profesional Air dan Teknologi Hijau (Proatek), Ir. Mohmad Asari Daud, berkata, sumber air tanah mempunyai potensi besar menjadi sumber alternatif bagi mengekang masalah kekurangan bekalan air di negara ini.
"Sumber air tanah ini sepatutnya diberikan peranan yang lebih besar bersesuaian dengan keupayannya dalam Pengurusan Integrasi Sumber Air (IWRM).
"Namun begitu, dengan keterbatasan waktu dan infrastruktur serta kesuntukan waktu untuk mengumpul maklumat, air tanah tidak dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya," katanya kepada Kosmo!.
Oleh itu, Mohmad Asari menambah, penyelidikan dan pembangunan perlu dipertingkatkan oleh institusi pendidikan, institusi penyelidikan serta agensi kerajaan yang lain berhubung sumber air tanah ini.
Ujarnya, penyelidikan dan pembangunan perlu merangkumi kaedah penerokaan pengurusan maklumat dan data-data mengenai air tanah, rawatan dan perlindungan terhadap sumber itu sendiri.
"Maklumat dan data merupakan elemen penting dalam menggalakkan penggunaan sumber tanah. Perkongsian daripada pelbagai pihak perlu dilakukan bagi membangunkan sistem bersesuaian dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan.
"Perkara yang patut dikongsi adalah kuantiti dan kualiti sumber air tanah. Selain itu, perlindungan, peraturan dan pengambilan lokasi sumber air tanah turut memainkan peranan penting dalam pembangunan sumber tanah.
"Pemetaan air tanah turut penting bagi membantu pereka bentuk mengambil manfaat daripada sumber ini," katanya.
Tambahnya, pengurusan lestari perlu ada dalam pembangunan air tanah bagi mengelakkan krisis air. Denmark contohnya, menggunakan 100 peratus air bawah tanah.
|
|
Katanya, teknologi sumber air bawah tanah sudah membangun begitu pesat cuma daripada aplikasi teknologi itu masih terbatas disebabkan kekurangan bajet dan galakan kerajaan.
Proatek berpandangan pendekatan penggunaan air menerusi pelbagai sumber patut diberi perhatian untuk jangka masa terdekat.
"Penggunaan secara conjunctive (gabungan) merupakan pengunaan sumber air tanah bersama sumber air permukaan atau sumber-sumber lain secara serentak.
"Dengan ini keperluan semasa kecemasan dan krisis dapat dipenuhi dengan adanya sumber air bawah tanah sebagai sumber air simpanan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: