BANDAR raya Kuala Lumpur sememangnya tidak pernah sunyi dengan pelbagai kerenah dan ragam manusia.
Biarpun dihantui masalah kesesakan jalan raya yang tidak pernah berkesudahan, namun kota seluas 244 kilometer persegi itu tetap mempunyai keistimewaan tersendiri yang mampu menggamit kehadiran para pelancong dari dalam dan luar negara.
Bagi mereka yang ingin merasai sendiri kehidupan kota dalam suasana penuh kemewahan, Hotel Berjaya Times Square di Jalan Imbi di sini mungkin pilihan terbaik.
Terletak dalam kawasan komersial 'Segi Tiga Emas' di Bukit Bintang, ia menggabungkan dua konsep dalam satu bangunan iaitu pusat beli-belah dan hotel.
Terdapat lebih 650 suite pelbagai pilihan yang ditawarkan yang terdiri daripada jenis studio, superior, deluxe dan broklyn selain suite korporat dengan kadar antara RM650 hingga RM2,500 semalam.
Berlatar belakangkan panorama dan landskap indah bangunan pencakar langit di sekitarnya, setiap suite mempunyai ruang tamu yang dihias indah dengan rekaan perabot berkonsep kontemporari. Ruang bilik airnya yang luas juga memberikan keselesaan dan privasi kepada pengunjung.
Antara kemudahan lain di hotel ini ialah televisyen bersaiz 29 inci beserta stereo mini dengan fungsi cakera padat dan cakera padat video. Di samping itu terdapat juga akses Internet tanpa wayar yang beroperasi 24 jam setiap hari. Panggilan dail terus antarabangsa, peti sejuk mini dan kemudahan membuat kopi dan teh turut disediakan.
Bagi pengunjung yang ingin merasai kemewahan dan layanan kelas pertama pula, suit korporat yang ditawarkan termasuk Studio Club Suite, Superior Club Suite, Deluxe Club Suite dan Brooklyn Club Suite. Tata rias suit ini direka secara eksklusif dengan rekaan terkini dan moden.
Pengunjung yang menginap suit jenis ini bakal mendapat keistimewaan semasa membuat pendaftaran masuk dan keluar, bersarapan di lokasi terpilih, surat khabar serta kemudahan lain yang disediakan untuk untuk ahli kelab.
Penginapan di hotel ini juga tidak lengkap tanpa menjamu selera di Restoran Big Apple yang menawarkan aneka masakan termasuk Barat, Asia dan tempatan yang lazat serta menyelerakan. Jika mahu bersantai sambil menikmati persembahan muzik live pula Broadway Lounge adalah jawapannya. Sementara itu, The 7th Avenue Lounge pula menyajikan pelbagai menu sarapan bermula pukul 6 pagi hingga 10 pagi.
Pengunjung yang ingin berendam atau sekadar berjemur di bawah pancaran matahari boleh ke Central Park yang terletak di bahagian atas hotel di tingkat 15. Suasana di sekeliling kolam renang seluas 53 meter persegi itu diindahkan dengan arca-arca dan landskap hijau yang mendamaikan.
Bosan untuk bermandi manda, pengunjung boleh bermandi peluh di gimnasium yang menawarkan pelbagai peralatan sukan atau sekadar mengasah bakat bermain skuasy di dua gelanggang yang disediakan. Selepas semuanya selesai, Jojoba Wellness Spa menjadi destinasi terbaik untuk membelai dan merawat tubuh yang keletihan.
Selain menjadi lokasi penginapan, hotel bertaraf lima bintang ini juga sering berfungsi sebagai destinasi persidangan dan majlis-majlis rasmi. Dewan utamanya, Mahattan Ballroom yang seluas 1,746 meter persegi mampu memuatkan sehingga 2,000 pengunjung. Ia juga mempunyai lapan bilik pelbagai fungsi yang lengkap dengan kemudahan audio visual untuk acara persidangan dan seminar.
|
|
Kedudukan hotel yang bersambung dengan pusat beli-belah Berjaya Times Square ini seolah-olah menjanjikan satu percutian lengkap hanya di dalam satu bangunan.
Pengunjung boleh mencuba pelbagai permainan di Taman Tema Dalaman Cosmo's World, atau sekadar membeli-belah di lebih 900 kedai dan butik yang disediakan. Pada masa yang sama, terdapat lebih 65 restoran dan kafe yang dikunjungi dan menawarkan variasi makanan dan minuman yang membuatkan pengunjung kenyang sepanjang masa.
Kepada kaki-kaki wayang pula, boleh berkunjung ke IMAX Theater menawarkan filem-filem terkini dalam bentuk 2D dan 3D.
Kedudukan hotel ini yang terletak di tengah-tengah ibu kota juga membolehkan pengunjung menikmati kemeriahan dan suasana malam dengan hanya berjalan kaki di kawasan Bukit Bintang dan sekitarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: