Saturday, July 3, 2010

Signatur Sekinchan di Setiawangsa


Peminat ikan bakar kini tidak perlu lagi memandu jauh untuk menikmati keenakan ikan bakar dari Sekinchan.


PEKAN Sekinchan di daerah Sabak Bernam, Selangor sememangnya terkenal dengan aktiviti penangkapan ikan yang menjadi sebahagian sumber pendapatan penduduknya sejak dahulu lagi.

Tidak hairanlah, lokasi ini sering menjadi tumpuan mereka yang menggemari keenakan dan kesegaran makanan laut seperti juga di Serkam, Melaka dan Pelabuhan Klang.

Namun kini, warga kota tidak perlu lagi memandu jauh semata-mata mahu menikmati ikan bakar segar yang lazat dan menyelerakan berikutan pembukaan Restoran Sekinchan Ikan Bakar di Kompleks Centrum Setiawangsa di Setiawangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mula beroperasi sejak 7 Mei lalu, restoran yang berkonsepkan seni bina Thailand moden dan ala kopitiam itu menawarkan ruang tempat kereta yang luas di samping lokasi yang strategik kerana terletak berhampiran kawasan perumahan, perniagaan dan pejabat.

Mampu memuatkan sehingga 400 pelanggan pada satu-satu masa, ia beroperasi bermula dari pukul 12 tengah hari hingga 1 pagi setiap hari dan menawarkan hidangan makan tengah hari, petang dan malam.


IKAN dibakar bersama daun pisang untuk menambahkan aromanya.


Bagi mereka yang datang secara berkumpulan dan ingin menganjurkan aktiviti ia mempunyai ruang khas berhawa dingin lengkap dengan set karaoke yang mampu memuatkan 80 orang pelanggan.

Menariknya, berbeza daripada restoran-restoran makanan laut biasa, restoran ini menawarkan makanan laut bakar seperti ikan, udang, kerang dan sotong berserta ulam-ulaman sebagai salah satu kempen amalan pemakanan sihat.

Pelanggan boleh memilih untuk menikmatinya bersama nasi putih atau nasi lemak yang dijual pada harga RM2 sebungkus.

Terdapat 18 jenis ikan yang terdiri daripada ikan air tawar dan laut seperti jenahak, terubuk, kerapu, siakap, senangin, pari, kembung, cencaru dan keli yang boleh dipilih berdasarkan selera pelanggan.

Kesemua ikan diperap dengan rempah ratus istimewa air tangan Chef Badrul Hisham sebelum dibakar dan dimakan bersama tiga jenis pencecah.

Pengurus Restoran Sekinchan Ikan Bakar, Lila Hussin berkata, secara purata pihaknya menggunakan 500 hingga 600 kilogram ikan dan makanan laut sehari.

Katanya, kesemua makanan laut itu diperoleh secara segar daripada nelayan-nelayan di sekitar Sekinchan.


IKAN kembung antara makanan laut yang boleh menjadi pilihan.


"Setakat ini sambutan yang diterima amat menggalakkan. Sejak dibuka pada bulan lalu, kami telah menerima kira-kira 35,000 pelanggan," katanya.

Tambah Lila, pengunjung yang berkunjung ke situ mempunyai pilihan menikmati hidangan di ruang terbuka atau ruang tertutup berhawa dingin.

"Bagi mengelakkan pelanggan berasa bosan, kami turut menyediakan khidmat Internet tanpa wayar di samping beberapa projektor skrin besar di sekeliling restoran ini," jelasnya yang memberitahu pihaknya bercadang untuk menambah 15 cawangan restoran itu pada masa hadapan.

Sempena kempen Piala Dunia yang sedang berlangsung sekarang, Restoran Sekinchan Ikan Bakar turut menyediakan promosi nasi lemak dan teh tarik dengan harga RM3 sahaja.

"Ia merupakan penghargaan kami kepada para pelanggan. Di samping menikmati hidangan mereka boleh menyaksikan perlawanan-perlawanan bola sepak di skrin besar yang disediakan dengan suasana lebih hangat dan meriah," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: