Saturday, July 3, 2010

Radius titik pertemuan budaya




BERADA dalam lingkaran segi tiga emas kota metropolitan Kuala Lumpur, Bukit Bintang memainkan peranannya untuk menarik pelbagai lapisan pelancong asing.

Berlandskapkan infrastruktur moden, pusat hiburan dan pusat beli-belah, tidak hairanlah jika banyak pengusaha hotel-hotel bajet melihat ia sebagai peluang untuk menjalankan perkhidmatan mereka di sekitar kawasan itu.

Deretan rumah kedai di sepanjang Jalan Bukit Bintang bagaikan mendapat 'semangat' apabila ia menjadi pilihan kepada pelancong jenis kelas ekonomi untuk dijadikan tempat bagi mereka melancong atau melepaskan penat sebelum bercuti ke lokasi lain.

Backpackers yang diterjemahkan sebagai pelancong yang menjelajah di banyak kawasan di seluruh dunia dan menggunakan kemudahan secara ekonomi seringkali dikaitkan dengan pelancong dari negara-negara Eropah.

Malah, sememangnya golongan backpackers di Bukit Bintang menyaksikan dominasi pelancong Eropah.

Backpackers sepanjang tahun

Memulakan operasinya sejak dua tahun lalu, hotel bajet Paradiso Bed & Breakfast (Paradiso) adalah antara puluhan hostel yang telah merebut peluang dengan menjalankan perkhidmatan mereka di kawasan Bukit Bintang.

Menurut pemilik Paradiso, Hazdy Firdaus, perkhidmatan hotel bajet yang diusahakannya mendapat permintaan yang tinggi daripada pelancong backpackers terutamanya dari luar negara.

"Kehadiran mereka tidak tertumpu pada musim-musim tertentu, kerana pelancong jenis ini selalunya sudah tidak bekerja dan mereka melancong sepanjang tahun.

"Paradiso menerima pelancong dari pelbagai negara seperti England, United Kingdom, Sweden, Belanda, Kanada dan Vietnam," ujar pemilik hostel itu kepada Kosmo!.

Paradiso menawarkan perkhidmatan penginapan dari pelbagai jenis berserta sarapan pagi percuma iaitu bilik dorm pada tawaran harga serendah RM30, bilik seorang (RM60-70), bilik berkembar (RM80) dan bilik keluarga (RM120-140).


KEMUDAHAN jaringan pengangkutan menyebabkan Bukit Bintang menjadi tumpuan backpackers.


Paradiso juga umpama pusat pelancong kelas ekonomi berkumpul kerana semua kemudahan tersedia di luar bilik. Hanya katil, almari pakaian serta penghawa dingin sahaja yang terdapat di dalam bilik.

"Berkongsi bilik air, menonton perlawanan bola sepak di televisyen bersama, mahupun bersantai menghirup udara Kuala Lumpur di bumbung hostel mendekatkan antara mereka," ujar Hazdy.

Bukan golongan bawahan

Hazdy menjelaskan pelancong backpackers yang menginap di hotel bajet bukanlah daripada golongan kurang berada kerana mereka memilih cara lebih bijak untuk menikmati sepenuhnya kawasan yang dilawati.

"Selalunya mereka melancong dalam tempoh yang agak lama, jadi adalah lebih baik memilih menginap di hostel berbanding hotel lebih mahal," tambahnya sambil menjelaskan bahawa Paradiso turut menawarkan perkhidmatan Internet dan Wi-fi percuma.

"Penjimatan yang mereka peroleh daripada penginapan ekonomi selalunya digunakan untuk membeli-belah dan berhibur di kawasan Bukit Bintang."

Dengan perkhidmatan menarik yang ditawarkan, tidak hairanlah jika ia mendapat sambutan baik daripada pelancong, malah Hazdy sedang dalam proses menambah tujuh buah bilik lagi selain 20 buah bilik yang sedia ada.

"Paradiso mengamalkan konsep moden kontemporari dalam reka bentuk dalamannya selain turut menyediakan pelbagai kamudahan seperti ruang santai pada bumbung hostel, ruang menonton, ruang membaca dan kemudahan air panas," ujarnya.

Semuanya ada

Saat diajukan soalan mengenai kenapa kawasan itu menjadi tumpuan pelancong luar negara, Hazdy menjelaskan kemudahan monorel dan pengangkutan awam, pusat beli-belah yang banyak serta aneka lokasi mejamu selera adalah faktor utama menarik lebih ramai backpackers ke situ.


RUANG tamu hotel menjadi lokasi pelancong backpackers berkumpul untuk bersantai atau berkongsi cerita mengenai pengembaraan mereka.


"Mereka bukan inginkan penginapan mewah, tetapi tempat berehat yang selesa dengan harga lebih ekonomi selain kemudahan yang membuatkan perjalanan mereka lebih mudah," jelas Hazdy.

Menurut seorang pelancong backpackers yang berasal dari Kanada yang hanya mahu dikenali sebagai Chris beliau memilih menginap di hotel bajet di Bukit Bintang kerana saat melangkah keluar dari situ, segala yang diinginkan terhidang di depan mata.

"Ia bagaikan sebuah lokasi titik pertemuan budaya. Jika saya ingin membeli-belah saya boleh pergi ke Pavillion, BB Plaza mahupun Lot10. Kawasan untuk melepak juga banyak di kawasan ini selain kemudahan monorel memudahkan saya bergerak di sekitar bandar raya.

"Menariknya, perkhidmatan yang ditawarkan Paradiso amat baik. Ia sangat selesa bagi golongan pelancong backpackers kerana segalanya disediakan selain suasana penginapan yang bersih," kata pelancong berusia 25 tahun itu.

Hab transit

Pengenalan perkhidmatan penerbangan tambang murah oleh pelbagai syarikat penerbangan memberi impak yang mendalam dalam menarik lebih ramai pelancong menggalas beg besar untuk menjengah ke ibu kota.

"Hostel yang tumbuh di Bukit Bintang mendapat tempias daripada perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan tersebut," jelas Hazdy.

"Walaupun kebanyakan pelancong memilih Bali dan Thailand sebagai lokasi utama penjelajahan mereka, Kuala Lumpur secara tidak langsung mendapat tempias sebagai hab transit," jelas Hazdy lagi.

Perkara itu disokong oleh pelancong dari wilayah Sussex, England, Christopher, 31, yang sudah lima tahun melakukan aktiviti melancong secara backpack di serata dunia.

"Penerbangan memerlukan saya melakukan transit di Kuala Lumpur dan ia telah memperkenalkan saya dengan bandar raya moden ini. Ia sesuatu yang mengujakan apabila tiba kali pertama di sini.


PELANCONG dapat menyaksikan kepelbagaian budaya Malaysia di Bukit Bintang menerusi kehadiran ramai seniman jalanan muda.


"Menginap di kawasan Bukit Bintang juga merupakan pengalaman yang baru kepada saya. Perjalanan saya di Kuala Lumpur akan tamat penghujung Julai ini. Jadi saya akan mengenali Malaysia sepenuhnya," ujar lelaki yang sedang bersiap untuk ke Pulau Perhentian bersama isterinya ketika ditemuramah Kosmo!.

Trend pelancongan ekonomi atau backpackers sudah sinonim kepada rakyat negara Eropah. Mereka bekerja dan mengumpul wang secukupnya, lalu berhenti bekerja dan menjelajah di seluruh dunia.

Apabila wang sudah hampir kehabisan, mereka akan mencari pekerjaan semula. Ia suatu trend yang menarik. Mencari pengalaman di serata dunia ketika usia masih muda!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: