Wednesday, July 21, 2010

Belum ada tarikh baru




MEREKA sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 24 Julai ini. Namun, hasrat itu terpaksa ditangguh apabila Norman Hakim dan Memey Suhaiza masing-masing tidak mempunyai masa secukupnya untuk melakukan sebarang persiapan.

Kesibukan di lokasi penggambaran telah menjadi halangan utama. Lagipun bagi Norman yang ditemui pada sidang media mempromosikan drama 8 Bulan di Restoran Rebung, Bangsar semalam, perkahwinan bukannya hal yang melibatkan dua orang sahaja.

Selain keluarga, mereka tidak boleh mengambil cuti sesuka hati apabila sesebuah produksi penggambaran melibatkan banyak pihak. Maka, kekangan masa menjadi punca utama.

"Mungkin ada pihak yang fikir alasan ini klise. Namun, sememangnya jadual penggambaran yang padat serta kesibukan mengendalikan perniagaan telah membataskan idea tersebut direalisasikan.

"Pada mulanya, kami mahu berbincang dengan keluarga masing-masing pada awal Jun lalu tetapi tidak kesampaian. Tapi kalau boleh, lagi cepat berkahwin, lagi bagus," bicara Norman.




Memandangkan tarikh 24 Julai itu tidak akan menjadi hari besar buat Norman, 34, dan Memey, 22, mereka bagaimanapun tidak meletakkan tarikh baru untuk melangsungkan perkahwinan. Ditanya apakah signifikan tarikh tersebut, Norman memberitahu ia tidak memberi sebarang maksud khas.

"Bukannya Memey yang memaksa saya untuk berkahwin tetapi dari dulu lagi kami mempunyai perancangan untuk mendirikan rumah tangga. Tiada metafora khas mengenai 24 Julai.

"Kami membuat keputusan untuk membatalkan perkahwinan itu awal Jun lagi apabila sedar tarikh itu semakin dekat dan tiada perancangan dibuat lagi," tambah Norman atau nama sebenarnya, Mohamed Norhakim Zaidon.

Walaupun menyatakan masa menjadi faktor utama, ada pihak bagaimanapun menyebarkan khabar bahawa pasangan itu sebenarnya sudah berpisah sekitar Jun lalu. Norman yang tidak mengetahui perkara itu akui banyak dugaan yang perlu mereka hadapi.

"Sebelum membuat keputusan untuk menangguhkan perkahwinan, kami berdepan dengan pelbagai dugaan terutama dari segi emosi. Jadi kami membuat keputusan untuk memberi fokus kepada karier dahulu," katanya yang popular menerusi drama Gerak Khas.

Selepas hampir dua tahun kembali solo, Norman sedar dia seorang yang mementingkan institusi kekeluargaan. Namun, sebelum membuat sebarang keputusan, dia ada bertanya kepada dirinya sama ada sudah bersedia untuk berkahwin semula selepas bercerai dengan bekas isterinya, Abby Abadi.


MAHU Memey mamahami isi hatinya, Norman menaruh harapan agar kekasih hatinya itu berasa selesa dengan senario dirinya yang sudah bergelar bapa kepada tiga orang anak.


"Tanggungjawab saya amat besar sebenarnya terutama kepada anak-anak saya. Ada kalanya, saya bertanya kepada mereka sama ada bersetuju jika saya berkahwin semula. Mereka tidak kisah kerana mahukan adik lelaki. Komitmen saya terhadap kehidupan anak-anak saya masih sama seperti sebelumnya.

"Dari segi makan, pendidikan dan aktiviti sosial, saya akan jaga. Ia lebih baik daripada saya memberi nafkah dan lepas tangan begitu sahaja. Saya tidak mahu mereka berasa kesunyian. Abby dan saya mahu terus memberikan kehidupan sekeluarga," katanya yang akan terlibat dalam filem Nur Kasih.

Bersikap jujur dengan Memey, Norman ada memberitahu aktres itu bahawa dia akan terus menjaga anak-anaknya, Mohd. Danish Hakim, 7; Marisa Dania Hakim, 6 dan Maria Danisha Hakim, setahun enam bulan sehingga Abby bertemu dengan teman baru yang dapat menggantikan tempatnya.

Memey bagaimanapun tidak kisah kerana mengetahui jiwa Norman masih terpaut kuat kepada keluarganya. "Memey tidak pernah melalui alam perkahwinan seperti saya. Jadi saya memberitahunya bahawa tanggungjawab saya terhadap keluarga saya masih sama sehingga Abby bertemu dengan seseorang yang boleh menjaganya.

"Jadi Memey kena memahami isi hati saya dan dia berasa selesa dengan keadaan ini. Apa yang sudah berlaku adalah sejarah. Saya perlu memastikan ada orang yang betul-betul boleh menjaga Abby," tambahnya yang bakal berlakon dengan Memey dalam telefilem, Ghia.


NORMAN sering meluangkan masa bersama tiga anak kesayangannya ini.


Mengakui hubungannya dengan Abby lebih baik sekarang, Norman selalu berimpikan sebuah keluarga besar yang harmoni. Malah, tanpa berselindung, Norman pernah terfikir untuk kembali bersama Abby pada awal perpisahan.

Namun, kata Norman, Abby sudah memulakan fasa hidup baru. "Sebelum ini, saya ada juga berbincang dengan Memey kebarangkalian bagi saya berbaik semula dengan Abby. Memang pada mulanya dia terasa.

"Tapi selepas itu Memey bersifat terbuka. Padanya, selagi mereka belum berkahwin, ruangan untuk perubahan masih terbuka. Namun, itu semua benda dulu. Sekarang saya amat serius dengan Memey. Sudah tidak larat untuk bermain-main," ujarnya yang kini menetap di Ukay Perdana.

Banyak belajar daripada pengalaman pahit itu, Norman sering keluar bersama keluarganya kerana menyukai perasaan dikelilingi orang tersayang.

"Dulu saya ingat selepas kembali solo, saya boleh melakukan apa sahaja tanpa sekatan. Semasa berumah tangga, bekas isteri saya sering membebel kerana saya tidak mempunyai masa untuk keluarga.

"Namun, selepas hidup bersendirian, saya mula berasa kosong. Jadi saya sudah nekad untuk berkahwin dengan Memey. Cuma kami tidak memberikan tarikh atau tempoh untuk mendirikan rumah tangga," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: