Wednesday, July 21, 2010

Filem Malaysia pertama


KELAINAN. Produksi Upin dan Ipin bukan sekadar filem animasi biasa tetapi penuh dengan pelbagai karakter yang menarik.


FILEM dalam bentuk tiga dimensi (3D) kini menjadi fenomena di pawagam. Sebut apa sahaja filem terbaru di pasaran baik Toy Story 3 mahupun The Twilight Saga: Eclipse semuanya boleh dinikmati di layar lebar menerusi teknologi canggih tersebut.

Sehubungan itu, filem Malaysia tidak terkecuali bakal mengaplikasi teknologi tersebut. Bakal mencipta sejarah itu ialah filem kedua menampilkan watak animasi popular, Upin dan Ipin yang kali ini diberi judul, Laksamana Upin dan Ipin.

Filem yang dijadualkan bagi tayangan pada tahun 2012 di bawah produksi Les Copaque itu diinspirasikan dari siri televisyen Upin dan Ipin berjudul, Kembara ke Pulau Harta Karun.

Pihak produksi tersebut juga kini sedang giat menjalankan usaha bagi meningkatkan kualiti filem tersebut dari segi teknikal berbanding filem pertama Upin dan Ipin, Geng:Pengambaraan Bakal Bermula.

Menurut pengarah kreatif filem tersebut, Muhammad Usamah Zaid Yasin, pihaknya kini sedang menjalankan penyelidikan tentang teknologi streoscopic bagi membangkitkan kesan 3D ke tahap optimum.

"Laksanama Upin dan Ipin bakal menampilkan Upin dan Ipin menerokai lautan serta memerangi cabaran dan rintangan yang dihadapi.

"Terdapat elemen-elemen dan suasana kisah pengembaraan lanun, menjadikan ia sebuah filem aksi pengembaraan yang sangat menarik untuk ditonton oleh semua peringkat umur.

"Kami juga berazam untuk menjadikan Laksamana Upin dan Ipin sebagai filem animasi 3D streoscopic yang pertama di Malaysia," katanya pada sidang media filem itu di Hotel Grand Bluewave, Shah Alam baru baru ini.

Jelasnya, terdapat beberapa perubahan pelakon suara dalam musim ini kerana pihak produksi sebenarnya berusaha untuk memberi ruang kepada bakat bakat baru dalam siri Upin dan Ipin.

"Pihak kami sememangnya sentiasa mencungkil bakat dan memberi ruang kepada bakat-bakat baru dalam siri Upin dan Ipin untuk berkembang, "ujarnya.

Watak Upin dan Ipin kini dibawakan oleh adik Asyiela Putri Azahar, Mei Mei (Tan Ying Swork), Cikgu Jasmin (Nurul Huda Sharabuddin) dan watak sampingan Dzul dan Ijat dibawakan oleh Mohd Amirul Zarizan dan Muhammad Izzat Ngathiman,"

Sebelum ini, filem Geng: Pengambaraan Bermula yang mula ditayangkan pada Februari tahun lepas telah mencatat fenomena luar biasa apabila berjaya mencatat kutipan kedua tertinggi dalam sejarah perfileman iaitu sebanyak RM6.3 juta hasil jualan tiket tayangan di pawagam.


POPULAR. Selepas Indonesia dan Brunei, Upin dan Ipin melebarkan sayapnya ke India pula.


Filem berdurasi 90 minit itu telah ditayangkan selama lapan minggu berturut-turut dan turut ditayangkan di Indonesia dan Brunei. Fenomena itu juga telah membuatkan rakyat Indonesia terikut-ikut dialog 'betul,betul,betul' dan telah menaikkan rating saluran televisyen TPI dari tangga ke enam hingga ke tiga di negara itu.

Lakar sejarah di India

Sementara itu, laporan agensi berita India, IANS baru-baru ini menyebut Geng: Penggambaran Bermula mencatat sejarah sebagai filem komersial pertama Malaysia ditayangkan di India apabila telah ditayangkan bermula 16 Julai lalu.

Dikenali dengan judul, Geng, Les Copaque dan Ken Films bekerjasama membawa filem itu ke India.

"Filem ini merupakan salah sebuah filem blokbuster terbesar di Malaysia dan ia merupakan filem Malaysia pertama ditayangkan di India. Jadi, bagi kami ia adalah membawa masuk kebudayaan Malaysia ke India," ujar pengerusi Ken Films, Aneesh Singhal.

Menyentuh mengenai potensi filem itu dalam di India, tegas Aneesh, "Walaupun ia merupakan sebuah filem dari Malaysia tetapi kami telah merancang untuk melancarkan dengan matlamat menjadikan ia suatu produk global. Filem itu memiliki citarasa Asia. Bila kamu menonton filem itu nanti, kamu akan melihat banyak karakter bangsa-bangsa yang ada di India seperti Sikh dan Tamil."

Tambahnya: "Filem ini sangat berbeza berbanding filem animasi lain. Biasanya filem animasi lain dihasilkan berdasarkan karakter mitos di India, tetapi Geng dihasilkan berlandaskan kebudayaan India dan Asia."

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: