Tuesday, July 27, 2010

Pendedahan baru Jac, Nabil


NABIL (kanan) melahirkan rasa bertuah apabila dapat membintangi Cuci the Musical 2 di samping Awie, Hans Isaac dan Afdlin Shauki.


SEBAIK sahaja menerima tawaran daripada Hans Isaac, Nabil dan Jaclyn Victor terdiam seketika bagaikan tidak percaya diberi peluang sebesar itu.

Apatah lagi memikirkan usia mereka yang setahun jagung dalam industri seni itu membuatkan fikiran mereka terlayang seketika.

Pelbagai persoalan berlegar di minda memikirkan apakah benar mereka terpilih untuk membintangi Cuci the Musical musim kedua.

Dengan watak yang diberikan kepada mereka juga membuatkan Nabil dan Jaclyn begitu gementar untuk membawakannya.

Lebih-lebih lagi, watak C'Tan dan Farah yang sebelum ini dipegang oleh AC Mizal dan Adibah Noor yang telah memberikan hasil lakonan yang mendapat pujian ramai.

Sudah pun membuka tirainya malam ini di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur, Nabil dan Jaclyn berkongsi perasaan mereka kepada Hits.

Menyelami hati mereka tatkala ini, memang mereka tidak mampu lagi menyembunyikan perasaan gementar biarpun sudah mula beraksi.

Hanya satu sahaja pinta mereka, usahlah dibandingkan mereka dengan kedua-dua artis yang membawakan watak yang mereka jayakan sebelum ini.

Kata Nabil dan Jaclyn, mereka membawakan watak tersebut dengan gaya dan cara mereka sendiri tanpa langsung dibayangi oleh pelakon terdahulu.

"Saya percaya apabila menjadi pelakon yang membawakan watak yang pernah dibawakan pelakon lain sebelum ini, perbandingan itu tidak akan dapat dielakkan.

"Kerana itu, saya berlatih bersungguh-sungguh untuk membawakan watak C'Tan dengan acuan saya sendiri.

"Bukan itu sahaja, watak C'Tan yang saya bawakan jauh berbeza dengan apa yang telah AC persembahkan sebelum ini," kata Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad bersungguh.

Jelas juara Raja Lawak musim kedua ini lagi, watak C'Tan untuk musim kedua ini telah dirombak dan sama sekali tidak akan sama dengan musim terdahulu.

Perubahan ketara adalah posisi C'Tan itu sendiri dalam empat beradik itu apabila C'Tan bukan lagi bertindak sebagai abang sulung.

Sebaliknya, di tangan Nabil, watak itu diubah menjadi adik bongsu yang degil, emosional dan manja dalam masa yang sama.

"Memang sudah lama saya impikan untuk berada dalam team ini dan akhirnya ia terlaksana juga. Apatah lagi, saya yang paling muda di kalangan mereka.

"Setakat ini, semuanya berjalan lancar dan saya bertuah kerana diberi tunjuk ajar oleh mereka yang cukup berpengalaman untuk saya mendalami watak C'Tan.

"Saya tidak nafikan sepanjang latihan kami sentiasa ketawa kerana ada sahaja perkara yang melucukan terjadi dan terpacul dari mulut masing-masing.

"Namun, kami tetap serius dengan kerja kami dalam memberikan hasil kerja yang mantap dan terbaik untuk musim kedua ini," cerita Nabil dalam nada teruja.

Satu yang pasti kata Nabil, sepanjang sebulan menjalani latihan, banyak perkara yang dipelajarinya dan minatnya terhadap teater juga mula bercambah.

Dia cukup sedar bahawa bidang teater memerlukan komitmen dan disiplin yang tinggi. Kerana itulah, Nabil sanggup menolak pelbagai tawaran yang boleh dianggap lumayan semata-mata untuk menghambakan diri dengan Cuci the Musical 2.

"Perkara yang saya belajar menerusi teater ini adalah bagaimana hendak melontarkan vokal dengan baik melalui teknik yang betul.

"Memang saya tidak tahu langsung akan perkara itu sebelum ini. Bak kata orang, kalau tidak cuba, kita tidak tahu dan akan dapat hasilnya.

"Awie, Afdlin Shauki dan Hans sendiri banyak memberi tunjuk ajar dan memang tidak susah untuk berada dalam kelompok mereka yang begitu terbuka minda mereka," ujar Nabil yang mengakui berdepan dengan kesukaran ketika babak memerlukannya menyanyi.

Jac jadi Jessy

Sementara itu, bagi Jaclyn atau lebih mesra disapa Jac memberitahu, kini matanya terbuka tentang dunia teater yang tidak pernah diketahuinya selama ini.

Jauh berbeza dengan dunia nyanyian dan lakonan dalam filem, teater lebih menuntut pengorbanan dan komitmen yang cukup tinggi.

Kerana itu dia sedikit pun tidak merungut apabila badannya sakit-sakit hasil daripada latihan yang dijayakan sejak sebulan lalu.

"Sepanjang tempoh itu, saya cukup gembira dan seronok walaupun ada perasaan gementar. Syukur semuanya berjalan dengan lancar.

"Berkat tunjuk ajar daripada pengarah dan barisan pelakon lain, saya dapat membawakan watak ini seperti mana yang dimahukan pengarah," ujar pelantun lagu Bertamu Di Kalbu dan Gemilang ini berkongsi perasaannya.

Satu yang pasti kata Jac, watak yang dibawakannya itu jauh berbeza dengan apa yang pernah dipersembahkan oleh Adibah sebelum ini.

Bukan lagi watak Farah, sebaliknya di tangan Jac watak berkenaan ditukar kepada Jessy bagi menyesuaikannya dengan jalan cerita.

"Saya masih lagi menjadi kawan dan pembantu peribadi kepada CJ lakonan Vanidah Imran. Cuma, yang beza adalah nama dan perwatakan saya di dalam teater ini.

"Percaya atau tidak, saya tidak menonton teater ini tahun lalu dan Hans sendiri 'melarang' saya untuk menonton rakamannya kerana tidak mahu saya terikut-ikut nanti," kata pelakon filem Talentime ini sambil ketawa kecil.

Bagi mereka yang sudah menonton teater ini tahun lalu, pasti akan teringat kisah percintaan antara Farah dan Jojo (Awie) yang cukup mencuit hati.

Bagaimana pula untuk musim kedua ini? Mampukah ia dapat meninggalkan kesan yang sama seperti musim pertama?

Pasti akan ada yang melahirkan kebimbangan seandainya keserasian antara Jac dan Awie tidak mampu membangkitkan perasaan yang sama.

Menjawab persoalan itu, Jac optimis bahawa penonton tidak akan kecewa dengan babak romantis antara Jessy dan Jojo.

"Saya harus akui memang pada awalnya saya begitu kekok untuk melakonkan watak itu bersama Awie. Ada juga rasa malu tetapi lama-kelamaan ia hilang.

"Awie pun begitu profesional dan memberikan tunjuk ajar sebaiknya. Hasilnya, kami mendapat aura itu dan semuanya akan terpancar apabila teater ini akan membuka tirainya," katanya yang turut menolak tawaran persembahan demi memberikan fokus kepada Cuci the Musical 2.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: