Wednesday, July 7, 2010

Arja Lee Mohon Maaf : LPFM Lulus Adegan Bogel

PETALING JAYA: Pelakon baru Azharudin Ramli,25, atau Arja Lee (gambar) yang mengaku berbogel dalam filem pertamanya ...Dalam Botol memohon maaf di atas perbuatannya itu.

Arja yang dihubungi berkata, dia tidak menyangka pengakuan jujurnya dalam beberapa akhbar Ahad lalu mengundang kontroversi dan menimbulkan kemarahan pelbagai pihak.

“Saya hanya mahu memohon maaf di atas apa yang berlaku,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Selasa.

Menurut pelakon itu dia sekadar mahu bersikap jujur dan berharap masyarakat dapat menerima kejujuran tersebut selain menganggap tindakan itu adalah semata-mata untuk mendapatkan hasil yang menarik.

Arja Lee bersama Vanidah Imran dalam teater Mahsuri tahun lalu.

Lagipun menurut Arja, adegan di dalam bilik air itu kelihatan kabur dan penonton tidak akan melihat “benda yang tidak sepatutnya” apabila menonton filem itu kelak.

“Saya tetap mempertahankan apa yang dilakukan adalah atas dasar kerja dan ia bukan sengaja untuk mencari sensasi,” katanya.

Walau bagaimanapun Arja tetap memohon maaf jika pihak-pihak yang berkenaan tidak berpuas hati dengan tindakannya itu.

Arja yang pernah berlakon dalam teater Mahsuri yang dipentaskan di Istana Budaya tahun lalu itu juga tidak pernah bermimpi untuk dihimpit kontroversi sehingga ditegur oleh menteri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada Isnin lalu menegur tindakan Arja yang mengaku berbogel dalam filem terbaru terbitan Penerbitan JAS milik produser Raja Azmi Raja Sulaiman itu.

Jamil Khir berkata perbuatan Arja adalah satu kesalahan bukan sahaja melibatkan agama sebaliknya undang-undang.

Beliau turut meminta pihak yang berkaitan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memantau dan mengambil tindakan yang bersesuaian sama ada dalam bentuk peringatan atau dalam bentuk lain kepada pihak terbabit.

Pelakon itu memegang watak Ruby, seorang lelaki yang menukar jantina kerana terlibat dengan cinta sejenis.

Arja yang sedang mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda, Lakonan dan Pengarahan Teater di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang memberitahu turut dihubungi oleh pihak universiti yang mahu mendapatkan penjelasannya.

“Saya akan memberi penjelasan kepada pihak universiti pada hari Isnin akan datang,” katanya yang sebelum ini menganggap tindakan berbogel itu sebahagian daripada seni dalam filem.

Sementara itu Raja Azmi yang dihubungi mStar Online Selasa, menarik nafas lega apabila adegan berkenaan tidak dipotong oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) selepas dihantar untuk dinilai kira-kira dua minggu lalu.

Katanya daripada keseluruhan adegan, hanya babak yang menampakkan salah seorang pelakonnya memakai seluar dalam turun dari katil sahaja dipotong.

“Saya berasa lega apabila LPFM hanya memotong sedikit sahaja adegan dalam filem ini walaupun macam-macam kontroversi mula timbul,” katanya.

Ditanya mengenai teguran Jamil Khir, kata Raja Azmi, isu berbogel itu adalah kenyataan jujur Arja Lee tetapi adegan yang dipilih untuk disiarkan itu tidaklah menjolok mata seperti yang digambarkan.

“Kalau LPFM pun meluluskan adegan itu, ia bukanlah satu isu yang harus diperbesarkan,” katanya.

Dalam masa yang sama Raja Azmi turut meminta pihak-pihak berkenaan supaya menonton filem ...Dalam Botol terlebih dahulu agar mereka mendapat gambaran sebenar sebelum memberi pandangan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: