Wednesday, July 7, 2010

Operasi curi pasir lumpuh

MOHD ROHIB   (dua dari kanan) memantau  operasi memusnahkan lokasi kegiatan mencuri  pasir di Ladang Rasa.
MOHD ROHIB (dua dari kanan) memantau operasi memusnahkan lokasi kegiatan mencuri pasir di Ladang Rasa.
Tindakan bersepadu di Ladang Rasa memusnahkan kabin, alat penapis

KUALA KUBU BHARU: Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor (PDHS) berjaya melumpuhkan kegiatan mencuri pasir dalam operasi bersepadu di Ladang Rasa di sini, kelmarin.

Operasi disertai pegawai penguat kuasa PDHS, Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor.Ketua Penolong Pegawai Bahagian Tanah PDHS, Mohd Rohib Misnan, berkata dalam operasi itu pihaknya turut memusnahkan sebuah kabin dijadikan alat penapis pasir dan tempat menyedut pasir, selain beberapa bangsal serta stor.Bagaimanapun, katanya, tiada tangkapan dilakukan kerana ketika operasi dilakukan, tiada sesiapa di kawasan terbabit.

Ia adalah tindakan susulan diambil PDHS selepas dua bulan melakukan pemantauan di kawasan ini.

Kita mengambil tindakan meroboh bangsal dan stor ini untuk melumpuhkan kegiatan mencuri pasir dilakukan pihak tidak mendapat kebenaran daripada Kumpulan Semesta Sdn Bhd yang dilantik kerajaan negeri untuk mengorek dan mengeluarkan pasir secara sah di negeri ini, katanya kepada Sentral di sini, semalam.

Mohd Rohib berkata, pemantauan dilakukan di kawasan itu berjaya menyekat kegiatan mengorek dan mengeluar pasir oleh pihak tidak bertanggungjawab terbabit.
Selepas ini, kami akan memastikan tiada lagi kegiatan sama berlaku di daerah ini dan memastikan stok pasir yang dilonggokkan di kawasan ini tidak dibawa keluar, katanya.

Katanya, ada dua longgokan pasir di kawasan itu dipercayai mahu dibawa keluar secara haram yang harganya dianggarkan kira-kira RM38,000.

Operasi penguatkuasaan itu adalah susulan laporan media beberapa bulan lalu berhubung dakwaan wujudnya kegiatan mencuri pasir di kawasan berkenaan yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

Bagaimanapun, PDHS menafikan dakwaan itu sebaliknya menegaskan kegiatan dimaksudkan berlaku di dua kawasan yang sememangnya sudah mendapat kebenaran daripada KSSB.

Mohd Rohib berkata, pihaknya memberi jaminan akan sentiasa membuat serbuan dan intipan bagi memastikan kegiatan mencuri pasir di Hulu Selangor dapat dibanteras sepenuhnya.

Kami menghargai kerjasama orang ramai yang sentiasa melihat pergerakan pihak tidak bertanggungjawab ini yang rakus mengeluarkan pasir lombong di daerah ini, katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: