MADONNA memang terkenal kerana usaha berterusan untuk membentuk dirinya semula atau dengan kata lain, untuk kembali muda.
GAYA MUDA...Madonna dengan tracksuit Adidas.
Bersama anaknya, Lourdes.
Madonna membuat pilihan luar biasa dengan memakai tracksuit Adidas fesyen 80-an yang jauh lebih besar daripada saiz badannya ketika menganjurkan parti untuk penyanyi latar dan penarinya di London Sabtu lalu.
Untuk menyesuaikan dengan tema sukan, dia memilih memakai kasut sukan putih.
Meskipun bertindak keterlaluan dengan gaya pemakaian remaja, penyanyi berusia 52 tahun itu tidak mempunyai masalah untuk bersuka ria bersama rakan yang jauh lebih muda daripadanya.
Dia berparti di kelab malam Aura di London hingga jam 3 pagi dan kelihatan pulang dengan keadaan tidak bermaya.
Dalam laporan lain, Madonna dikatakan berusaha mendapatkan bantuan daripada pakar dermatologi, Dr Fredic Brandt untuk menangani kekedutan kulit pada tangannya.
"Dia berjaya menghilangkan kedut pada mukanya sepanjang rawatan sejak beberapa tahun lalu hasil bantuan Brandt. Tetapi kedut pada tangan memang sukar diatasi dan ia sentiasa menjadi bukti ketuaan seseorang," kata satu sumber kepada akhbar Daily Mirror.
Setakat ini, Brandt menasihati penyanyi itu menggunakan kupasan kimia, sesi rawatan intensif mikrodermabrasi, suntikan untuk menyegarkan kulit dan Sairoterafi.
Madonna dikatakan sudah mencuba proses sairoterapi yang membabitkan suntikan campuran cecair ke dalam saluran darah pesakit. Ia akan memutihkan kedut, menyebabkannya pucat dan akhir sekali menghilangkan kedutan.
"Madonna benci keadaan tangannya dan berkata, ia terlalu tua untuk dirinya," kata satu sumber yang rapat dengan penyanyi itu."Dia tidak boleh mencontohi Michael Jackson dengan memakai sarung tangan untuk menyembunyikan tangannya yang berkedut. Kerana itu dia mengambil jalan sendiri," kata sumber berkenaan.
Madonna berada di London sejak beberapa minggu lalu untuk mengarah filem pertamanya, kisah cinta Raja Edward VIII dengan janda warga Amerika Syarikat, Wallis Simpson dan membandingkannya dengan kisah cinta kontemporari seorang wanita dengan pengawal keselamatan warga Russia.
Madonna enggan membiarkan kegagalan pertamanaya dalam bidang perfileman, sebagai aktres dalam filem Swept Away, menjadi penghalang untuk mengejar impiannya.
Sumber lain pula berkata, diva pop berkenaan mungkin merancang untuk kembali menetap di England.Madonna tinggal di England ketika berkahwin dengan pengarah filem, Guy Ritchie dan kemudian berpindah semula ke New York selepas mereka bercerai pada 2008, kelihatan begitu rindukan kehidupan lamanya.
Sumber itu berkata: "Madonna sentiasa bercakap mengenai kediaman yang pernah dikongsi bersama dengan Ritchie di Wiltshire, kanak-kanak dan rakan mereka di London. Dia merindui bandar raya itu. Kerana itu dia bersungguh-sungguh mahu menerbitkan filem berkenaan supaya dapat berada di London.
"Memang benar dia sukakan New York tetapi dia lebih selesa di London. Dia mungkin kesunyian di New York. Orang yang paling banyak menghabiskan masa dengannya ialah anaknya, Lourdes. Dia begitu terdesak untuk ditemani oleh lebih ramai orang dewasa." Sementara itu, Madonna menegaskan, status bintang tidak menghalangnya menjadi seperti kebanyakan ibu apabila menangani masalah anak remajanya.
Diva pop itu berkata, dia sering menegur Lourdes, 13, supaya memakai skirt lebih labuh dan kurangkan mekap.
"Memang dia pandai bergaya. Tapi saya seperti kebanyakan ibu akan berkata: 'Kami tidak boleh ke sekolah dengan berpakaian skirt singkat dan mekap tebal.'"
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: