Monday, July 5, 2010

1 pelajar RM85k

Kerajaan biaya 90 peratus kos yuran pengajian IPT; Pinjaman PTPTN graduan kelas pertama jadi biasiswa

KUANTAN: Kerajaan menyediakan subsidi yuran pengajian secara purata sebanyak RM85,000 bagi setiap pelajar yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) setiap tahun.

Ini berdasarkan peruntukan sebanyak RM8.5 bilion yang disediakan dalam bentuk subsidi yuran pengajian membabitkan kira-kira 100,000 pelajar di dalam dan luar negara, tahun lalu.Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata subsidi sehingga 90 peratus daripada kos pengajian asal itu adalah untuk meringankan beban ibu bapa dan pelajar.Sebagai contoh, katanya, kos sebenar pengajian perubatan selama lima tahun di IPT tempatan ialah sebanyak RM200,000 dengan kerajaan menanggung RM181,00 daripada kos itu berbanding hanya RM19,000 yang perlu dibayar pelajar.

Bagi pengajian kejuruteraan, kos pengajian selama empat tahun adalah sebanyak RM105,404 dengan kerajaan membayar subsidi sebanyak RM94,644, manakala pelajar hanya membayar RM10,760.

"Kedua-dua jurusan pengajian ini menunjukkan kerajaan memberi subsidi sebanyak 90 peratus dengan mengambil kira pelbagai faktor, termasuk tanggungan pelajar dan ibu bapa," katanya merasmikan Minggu Induksi Siswa 2010 Universiti Malaysia Pahang (UMP) membabitkan 1,614 pelajar baru di kampus induknya di Gambang dekat sini, semalam.

Hadir sama Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim dan Dekan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMP, Prof Dr Yuserrie Zainuddin.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, kos pengajian jurusan sastera ikhtisas selama tiga tahun di IPT tempatan adalah sebanyak RM27,813 dan subsidi yang ditanggung kerajaan ialah RM20,175, dengan pelajar membayar RM7,638.

"Selain subsidi pengajian, kerajaan juga menyediakan pelbagai biasiswa dan pinjaman, termasuk menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), katanya.

Malah, kerajaan juga memutuskan jumlah pendapatan ibu bapa pelajar yang memohon pinjaman penuh PTPTN dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM4,000 dengan mengambil kira kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.

Sementara itu, Mohamed Khaled meminta semua IPT mengemukakan segera jumlah pelajarnya mendapat kepujian kelas pertama bagi memudahkan pinjaman pendidikan mereka ditukarkan kepada biasiswa.

Katanya, perkara itu sejajar pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2010, supaya pinjaman PTPTN ditukar kepada biasiswa kepada pelajar yang berjaya menamatkan pengajian ijazah Sarjana Muda dengan kepujian kelas pertama atau setaraf.

Mengikut perangkaan PTPTN, ada kira-kira 2,000 pelajar yang layak mendapat kemudahan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM73 juta.

"Bagaimanapun, sehingga 24 Jun lalu, PTPTN hanya mendapat perangkaan daripada 18 IPT awam dan swasta membabitkan 1,200 pelajar.

"Pelajar yang menamatkan pengajian pada 1 Januari lalu dan memperoleh kepujian kelas pertama serta memenuhi syarat ditetapkan boleh memohon untuk menukarkan pinjaman mereka kepada biasiswa, katanya.

Seramai 105,377 pelajar berjaya mendapat tempat di IPTA seluruh negara bagi sesi pengajian 2010/2011, membabitkan 58.6 peratus perempuan dan 41.4 peratus lelaki.

Daripada jumlah itu, 40,366 pelajar mengikuti pengajian peringkat ijazah pertama, manakala 65,011 pelajar peringkat diploma termasuk di politeknik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: