|
 |
| BAKAT lakonannya mula terserlah seawal usia 13 tahun. Waktu itu Zizie Ezette A Samad, 30, diketengahkan menerusi filem Kekasih Awal dan Akhir bergandingan dengan penyanyi terkenal, Jamal Abdillah dan Sofia Jane. |
Sepanjang 16 tahun pembabitan dalam dunia lakonan, Zizie turut membuktikan dia antara pelakon muda cemerlang apabila pernah menang dua anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi Anugerah Sri Angkasa pada 1994 dan Anugerah Skrin (2003). Dia turut menang anugerah Bintang Harapan di Festival Filem Malaysia ke-11 pada 1994.
Bagaimanapun, kebelakangan ini bakat lakonan dramatis jelita berimej seksi ini dilihat kurang memberikan impak kerana sering diberikan watak sama dalam kebanyakan drama, iaitu menjadi wanita jahat atau gatal. Watak itu juga dibawakan gadis kelahiran Batu Pahat, Johor ini menerusi drama Spa-Q 2 yang berakhir 26 Mac lalu.
Zizie mengakui perkembangan kerjaya lakonannya sedikit meresahkan kini kerana sering diberi watak sama. Katanya, dia sebenarnya mahu berlakon watak yang boleh membuatkan orang nampak bakat dimilikinya.
"Tidak dinafikan, kebelakangan ini saya sering sangat ditawarkan watak perempuan gatal. Kalau orang tidak suka, apatah lagi saya. Sehinggakan sampai satu tahap, saya berasakan tidak tahu lagi hendak melakonkan watak gedik atau perempuan gatal yang macam mana.
"Sebagai pelakon, saya tidak boleh terlalu memilih dan watak perempuan gatal pula ada pelbagai pembawaan. Apabila menerima tawaran, saya menganggap ia satu cabaran.
"Begitupun, apabila sering ditawarkan watak sedemikian, sampai satu tahap rasanya semua kaedah atau permainan watak sedemikian sudah habis saya gunakan dalam pelbagai drama," katanya.
Kata Zizie, dia gembira apabila baru-baru ini menerima tawaran membintangi drama bersiri 13 episod, Dua Marhalah dan bakal disiarkan di Astro Oasis.
"Watak yang saya mainkan dalam drama itu menarik kerana mengalami pelbagai perubahan emosi. Ia mengisahkan seorang wanita yang diculik dan dijadikan pelacur sehingga sampai satu tahap terpaksa terus melacur untuk kelangsungan hidup.
"Watak ini berat, tetapi saya suka kerana sudah lama tidak diberikan peluang membintangi karakter seperti itu," katanya.
Pemenang Anugerah Skrin untuk drama Aduhai Esah ini juga mengharapkan peminat tidak terpengaruh dengan watak yang dilakonkan dalam beberapa drama seperti Spa-Q.
Sebagai pelakon, Zizie mengharapkan selepas ini banyak lagi watak menarik akan dibawakan sekali gus membuktikan bakat dimiliki.
Mengenai perkahwinan pula, pada usia 30 tahun sememangnya dia inginkan keluarga bahagia seterusnya mempunyai anak. Namun, hingga kini jodohnya belum sampai walaupun menjalin percintaan dengan seorang ahli perniagaan sejak beberapa tahun lalu.
Kata Zizie, dia bukan mahu mendedahkan kisah peribadi, tetapi tidak keberatan bercerita kerana ramai bertanyakan perkara sama termasuk peminat dan wartawan hingga bersedia menjelaskan secara terbuka mengenai hubungannya dengan jejaka dikenali hampir tujuh tahun itu.
"Rasanya semua orang tahu saya mempunyai teman istimewa dan kami sudah berkenalan hampir tujuh tahun. Sudah terlalu lama dan seharusnya dalam situasi sekarang, kami sudah berkahwin.
"Namun ada perkara berkaitan peribadi yang menghalang kami melakukannya. Dia sudah beberapa kali melamar saya, tetapi kerana beberapa perkara yang belum dapat diselesaikan, keputusan untuk berkahwin tidak dapat dibuat," katanya.
Kata Zizie lagi, kenyataan dibuat supaya semua pihak faham kedudukan sebenar dan tidak lagi bertanyakan perkara sama terutama berkaitan hal peribadinya selepas ini.
Zizie menjelaskan, hubungannya menjadi agak 'tawar' kerana tempoh persahabatan yang dijalin terlalu lama. Ia turut menjadi punca mengapa dia kini berbelah bagi untuk menerima lamaran kekasih hatinya itu.
"Benarlah seperti kata orang tua-tua, kalau berkawan jangan lama-lama dan mungkin ada kebenarannya bercinta dalam tempoh perkahwinan itu lebih manis. Pada saya, apa yang sedang kami lalui ini sebagai satu pengalaman.
"Dia seorang lelaki yang baik dan sentiasa berada di sisi saya apabila memerlukan, namun pada waktu sama dia kuat cemburu. Yalah cemburu tanda sayang, tetapi jika sudah tujuh tahun masih begitu, sudah tentu saya sendiri tidak selesa.
"Sebelum ini saya sendiri ada buat kesilapan apabila terlalu mendengar katanya yang kurang senang jika terlalu tampil kepada media.
"Sedangkan sebagai pelakon, publisiti boleh membantu mengembangkan kerjaya apatah lagi dalam keadaan sekarang ini persaingan agak besar dengan begitu ramai wajah baru muncul.
"Ibu saya sendiri sebelum ini ada menegur dengan menasihati saya supaya tidak terlalu mengikut kata teman saya itu dan jangan mencampuradukkan hal peribadi dengan kerjaya.
"Tapi, sekarang saya mahu menjadi orang berbeza dan mahu dekat dengan rakan media yang sebenarnya turut menyumbang kepada kerjaya seni saya," katanya.
Bagi mengelak perkara itu berterusan, Zizie kini bersedia untuk bersikap lebih terbuka dan berkawan dengan sesiapa saja. Dalam tempoh itu tegasnya, jika ada pilihan lain dia tidak keberatan menerimanya.
"Bagaimanapun, itulah masalah paling besar yang saya hadapi sekarang, tidak ada ramai lelaki mahu mendekati saya kecuali teman saya itu. Selalunya apabila saya memerlukan seseorang, dia yang akan muncul. Jadi saya tidak boleh pandang yang lain kecuali dia," katanya.
Bercerita lanjut mengenai perkahwinan, jelas Zizie, dia sedar usianya semakin meningkat dan selalu memikirkan hal itu.
"Siapa tidak mahu kahwin? Tanyalah mana-mana wanita, perkara itu memang menjadi impian hidup. Selain berjaya dalam lakonan, saya juga mahu menjadi isteri dan ibu.
"Masalahnya walaupun sudah bertemu dengan jejaka pilihan, tetapi seperti yang saya jelaskan awal tadi ia tidak dapat dilakukan atas sebab tertentu," katanya.
>Profil
Nama penuh: Zizie Ezette A Samad
Panggilan: Zizie
Asal: Batu Pahat, Johor
Umur: 30 tahun
Filem: Kekasih Awal dan Akhir (1993), Sama Tak
Serupa (1995) dan Black Maria (2003),
Drama: Kau Yang Ku Sayang, Bicara Cinta, Cinta Semalam, Aduhai Esah, Elegori, Emil Emelda Spa-Q dan Spa-Q 2.
Pencapaian: Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Sri Angkasa pada 1994 menerusi drama Elegori dan Anugerah Skrin (2003 menerusi drama Aduhai Esah). Bintang Harapan Festival Filem Malaysia ke-11 pada 1994 menerusi filem Kekasih Awal dan Akhir)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: