Monday, April 20, 2009

'Wild Card' untuk selamatkan Amylea?

Amy memberikan persembahan terakhirnya dalam OIAM.

JURI tetap One In A Million (OIAM) ke-3, Paul Moss yang terkejut dengan penyingkiran Amylea, 22, berpendapat penyanyi dari Alor Setar itu, sepatutnya diberikan wild card untuk terus ke pusingan akhir.

"Tidak adil untuk saya menyatakan siapa finalis pilihan saya) ... seperti malam ini, saya terkejut Amylea meninggalkan kita. Saya berasa dia patut mendapat laluan `wild card' ke peringkat akhir. Adalah suatu yang memalukan dia tidak dapat menghidangkan konsertnya malam ini.

"Saya berada di sini pada sebelah pagi untuk melihat sesi raptai. Persembahannya sangat hebat dan menarik," katanya pada sidang akhbar selepas persembahan OIAM Top 4 berakhir, Jumaat lalu.

Beliau diminta mengulas siapakah antara Tomok, Esther, Aweera dan Nine yang layak memasuki Top 3 pada Jumaat ini.

Kekecewaan jelas terpancar dari wajah Amylea yang tersingkir.

Pada minggu kesembilan OIAM tersebut, Amylea diumumkan tersingkir selepas mendapat undian terendah.

Kuasa veto seperti American Idol

Ditanya sekiranya diberikan kuasa veto dalam program American Idol, adakah dia akan menggunakannya untuk membatalkan keputusan malam itu sekali gus 'menyelamatkan' Amylea?

Sambil cuba menepis acahan soalan itu, Paul menegaskan, dia tidak akan sesekali mengubah keputusan yang telah dibuat oleh orang ramai menerus khidmat pesanan ringkas (SMS) itu.

Menurutnya, kedua-dua negara tersebut mengamalkan sistem pengadilan yang berbeza untuk program realiti seumpama ini.

Justeru, katanya, adalah mustahil `sebuah bahtera mempunyai dua nakhoda' lebih-lebih lagi dalam industri hiburan. "Tidak, saya tidak akan mengubah keputusan itu," tegasnya lagi.

Ditanya adakah rakyat Malaysia telah melakukan keputusan yang betul (dengan menyingkirkan Amylea menerusi undian SMS)?

Paul pantas menjawab: "Pada hemat saya, saya tidak berasa ia adalah betul atau salah. Ia seperti kejayaan dalam bidang hiburan. Orang suka pada anda (atau tidak). Anda tidak boleh menafikan perkara itu."

Final OIAM paling dramatik

Sementara itu, Paul menyifatkan peserta-peserta Top 4 musim ini sebagai berkualiti sekali gus menjadikan final kali ini sebagai paling dramatik setakat ini.

"Saya sangat gembira tahun ini bukan kerana kualiti tinggi para peserta, tetapi melihat kemajuan yang dicapai oleh mereka setakat ini. Pemahaman yang mereka wujudkan sangat menghiburkan.

"Kita sudah di ambang final yang semestinya bakal menjadi final yang paling dramatik. Drama, suara dan persembahan hebat akan menjadikan malam final itu sangat hebat," ujarnya sambil menyatakan dia sudah menghitung hari-hari menjelang final tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: