Friday, May 1, 2009

Tugas berat menanti mereka


GANDINGAN Adibah, Bob dan Afdlin dijangka mampu menggamatkan malam kemuncak AIM 16 yang berlangsung di PWTC malam esok.


MALAM kemuncak Anugerah Industri Muzik Ke-16 (AIM 16) sudah tiba ke destinasinya apabila acara gilang-gemilang itu akan membuka tirainya malam esok (2 Mei) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan dipancarkan secara langsung menerusi saluran ntv7 (saluran 107, Astro).

Sekali lagi kita akan menyaksikan hasil kerja keras dan penat lelah anak seni tempatan diiktiraf di samping menjadi medan untuk seluruh karyawan seni berkumpul bagi sama-sama memeriahkan majlis yang cukup berprestij ini.

Bukan sahaja artis yang bertanding atau mereka yang akan membuat persembahan pada malam itu merasakan debarannya tetapi juga peminat dan pemerhati muzik tempatan.

Apatah lagi AIM bukan mempertaruhkan populariti semata-mata tetapi lebih kepada menghargai dan mengiktiraf anak seni dengan gelaran terbaik.

Gelanggang AIM yang sudah 16 kali dibuka tidak akan 'hidup' tanpa pengacara yang diberi mandat untuk melancarkan lagi perjalanan anugerah agar ia tidak menjadi begitu klise dan membosankan.

Itulah hakikat sebenar yang harus ditempuhi oleh tiga pengacara yang menggalas tanggungjawab sebagai pengacara AIM 16 iaitu Afdlin Shauki, Adibah Noor dan Bob Lokman untuk mereka kelihatan bijak di atas pentas.

Ketiga-tiga figura comel ini mengakui menjadi pengacara untuk anugerah segah AIM bukan satu tugas yang mudah dan mereka meluahkannya dalam satu sesi fotografi yang berlangsung di pejabat komunikasi korporat ntv7 di Sri Pentas, petang Isnin lalu.

Rasa bosan

Lebih-lebih lagi bagi Afdlin yang sudah 11 kali mengendalikan AIM sejak tahun 1998 termasuk menyumbangkan suaranya untuk hos virtual yang pertama kali ditampilkan pada tahun 1997.

Ada ketikanya hati tertanya, tidakkah pernah pemilik nama penuh Afdlin Shauki Aksan ini berasa bosan dan mahu memberi peluang kepada muka baru menggantikan tempatnya?

Sambil tersenyum, bapa kepada dua anak ini memberitahu, perkara itu sudah lama bersarang di fikirannya.

Tetapi mengenangkan permintaan dan peluang yang terus diberikannya oleh orang kuat AIM, Jennifer Thompson, adalah sukar baginya untuk menolak tawaran 'wanita besi' itu.

"Saya akui memang terasa penat dengan tanggungjawab ini kerana saya perlu memikirkan pendekatan yang baru dan segar dalam memastikan kerja saya tidak stereotaip.

"Kalau boleh, saya mahu melihat muka baru mengambil alih tugas saya ini kerana kita ada ramai bakat baru yang berpotensi untuk memikul tanggungjawab ini," katanya yang turut bertindak sebagai penulis skrip AIM 16.

Walaupun begitu, Afdlin menjelaskan, semangat dan inisiatif karyawan seni tempatan menjadi pembakar semangat untuk mempamerkan hasil kerja cemerlang sebagai hos AIM.

"Memang tidak sukar sebenarnya menjadi pengacara AIM kerana ia adalah tentang muzik. Saya sendiri memulakan karier seni saya sebagai penyanyi dan saya faham dengan senario itu.

"Jadi pengalaman itu cukup memudahkan saya menjalankan tanggungjawab ini walaupun saya tahu, kerja keras kita adakalanya bagaikan tidak dihargai meskipun kita sudah melakukan yang terbaik.

"Yang menjadi buah mulut orang adalah kesilapan dan kelemahan yang dilakukan. Tetapi saya anggap itu sebagai satu cabaran untuk terus mempamerkan kerja yang terbaik," ujarnya sambil dipersetujui oleh Adibah yang berada di sisinya.

Tambahnya, fokus utama AIM bukanlah kepada pengacara semata-mata tetapi adalah tentang pengiktirafan dan pesta keramaian untuk seluruh karyawan seni.

Membayangi

Menggandingkan tiga pengacara di atas pentas potensi untuk membayangi antara satu sama lain amat besar dan saat diajukan perkara itu kepada Adibah, dengan pantas dia meningkah dakwaan itu.

Jelasnya, kehadirannya bersama Afdlin dan Bob adalah untuk mengimbangi dan mengikut rentak serta ritma yang telah tercipta.

"Soal bayang-membayangi langsung tidak pernah wujud kerana keserasian antara kami sememangnya sudah ada dan ia datang dengan sendiri. Itu amat penting untuk menghidupkan perjalanan acara selama hampir tiga jam ia berlangsung.

"Perasaan gembira dan teruja apabila digandingkan dengan mereka berdua tidak mampu saya sembunyikan. Sehinggakan saya menggelarkan mereka dengan panggilan makhluk asing kerana kebijaksanaan dan kreativiti yang ada dalam diri mereka.

"Kalaulah saya diberi peluang mengacarakan seorang diri, tidak tahulah bagaimana mampu saya ungkapkan. Percayalah, ia memang tidak akan menjadi," luahnya jujur sambil ketawa kecil.

Namun begitu, jelas Adibah impak yang terhasil daripada menjadi pengacara AIM sememangnya membuka pintu rezekinya.

Tawaran untuk menjadi pengacara majlis cukup mencurah-curah diterimanya sehinggakan pihak penganjur mahukan dirinya melakukan sama seperti di pentas AIM walaupun acaranya berbeza.

Pertama kali Adibah digandingkan bersama Afdlin dan Bob di pentas AIM adalah pada tahun 2007. Namun tahun lalu menyaksikan Adibah dan Afdlin sahaja yang mengemudikan AIM.

"Di awal kemunculan saya sebagai pengacara memang cukup seronok kerana ia adalah pengalaman baru. Tahun lalu pula saya menantikan apa langkah yang perlu saya lakukan seterusnya.

"Tahun ini saya menantikan apa yang menanti saya dan untuk itu sudah pasti latihan dan sesi lampias otak bersama Afdlin dan Bob akan dilakukan. Skrip hanya untuk rujukan kerana selebihnya di atas pentas, kami bersikap spontan," jelas penyanyi dan penghibur yang kini muncul dengan single terbarunya, Cahaya.

Demi Aziz Bakar

Kehilangannya tahun lalu menimbulkan pertanyaan ramai pihak apabila dia mengambil keputusan untuk tidak lagi mengemudi pentas AIM.

Rasional pemilik nama penuh Mohd. Hakim Lokman ini adalah kerana penat dan mahu menumpukan kepada perniagaannya.

Lebih-lebih lagi sudah tujuh kali dia menjadi pengacara AIM bersama Afdlin Shauki.

Tetapi atas permintaan Presiden Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM), Datuk Aziz Bakar, hati pejalnya menjadi cair menerima tawaran orang kuat AIM itu.

"Saya mengenangkan persahabatan saya selama suku abad bersama Aziz. Jadi, apabila dua minggu lalu dia memberitahu saya dan mahukan saya menjadi pengacara, tidak manis untuk saya menolaknya.

"Lantas saya bersetuju tetapi saya memberitahunya, ini adalah kali terakhir saya menjadi pengacara AIM," kata penulis lirik lagu Isabella dan Pada Syurga Di Wajahmu ini.

Bukan sedih mahupun kecewa dengan industri seni, tetapi jelas Bob dia mahu mencari sesuatu yang memberikan pendapatan yang lebih demi menyara keluarganya terutama sekali anak-anaknya seramai lima orang yang semakin membesar.

Namun dia tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya apabila dapat berkolaborasi sekali lagi bersama Afdlin dan Adibah.

"Afdlin penuh dengan idea kreatif dan dia sungguh bijak lantas menjadikan kami cukup serasi. Dia dengan idea urbannya dan saya adalah sebaliknya.

"Itu menjadikan humor kami berjaya Adibah pula saya melihatnya sebagai seorang yang cukup intelektual kerana mampu memasuki dua pasaran iaitu urban dan sub urban. Itu kelebihan yang ada dalam diri Adibah," ujarnya yang sudah pun menginjak usia 45 tahun.

Selain itu katanya, perbincangan juga amat penting bagi memastikan pengacara tidak akan tersasar sewaktu di atas pentas menjalankan tugas mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: