Monday, April 27, 2009

Tomok belum selamat


TIGA wajah yang memburu ganjaran lumayan OIAM iaitu Tomok, Esther dan Aweera.

TIGA nama mengesahkan tempat ke acara kemuncak One In A Million (OIAM) di Stadium Malawati, Shah Alam, Jumaat ini iaitu Tomok, Esther dan Aweera.

Bagaimanapun, pengesahan itu belum melegakan mereka apabila produksi OIAM masih berteka-teki mengenai peluang siapa yang layak merangkul hadiah lumayan ditawarkan iaitu RM1 juta. Berdasarkan format musim kedua, hanya dua peserta layak ke final.

Penerbit Eksekutif OIAM, Sunil Kumar, berkata undian menentukan jumlah finalis beraksi pada final OIAM boleh dilakukan menerusi laman web rasmi pertandingan itu: www.8tv.com.my/oiam.

"Kalau undian peminat cenderung memilih tiga peserta bertanding di final, pengiraan undian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang dikira sejak Jumaat lalu akan menentukan siapa sebenarnya dua peserta muncul pada malam kemuncak nanti.

"Jadi, penonton diingatkan meneruskan sokongan kepada peserta kegemaran dengan menghantar undian SMS," jelas Sunil.

Malam penentuan OIAM di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Jumaat lalu memperlihatkan ketiga-tiga finalis berusaha keras mencuri perhatian peminat menerusi persembahan bertemakan Minggu Pilihan Juri dan Peminat.


Sekali pun sentiasa memberi persembahan mengujakan dan konsisten setiap minggu, peluang Tomok atau nama penuhnya, Shah Indrawan Ismail, 24, untuk bergelar juara sukar diramalkan.

Berdasarkan rekod lalu, peluang peserta yang berpengalaman sebagai artis rakaman untuk mara dan menjulang kejuaraan sering dinafikan.

Musim pertama menyaksikan Dayang Nurfaizah tersingkir selangkah menjelang acara kemuncak OIAM. Jejak Dayang dituruti Sarah Raissuddin yang terpaksa akur undian peminat tidak berpihak kepadanya, sebaliknya dua nama baru iaitu Ayu dan Shila diberi kepercayaan penonton untuk meneruskan cabaran mereka.

Bagaimana pula dengan nasib Tomok? Hanya masa menentukan kerana ketika persaingan penentuan Jumaat lalu, undian penonton lebih berpihak kepada Esther atau Elizabeth Applunius Chin dan Aweera atau Nasharul Aweera Noriyissham.

Esther selesa dengan 32.4 peratus undian, manakala Aweera mengekori dekat dengan 31.6 peratus sedangkan Tomok hanya 24.2 peratus. Seandainya tuah tidak berpihak kepadanya, Tomok tidak perlu kecewa kerana dia keluar bermaruah.

Seperti kata pengkritik tetap OIAM, Syafinaz Selamat yang ditemui pada sidang media selesai persembahan, siapa yang bakal dinobatkan sebagai juara OIAM nanti sememangnya layak menerima gelaran itu.

Perjalanan panjang Nine

BUKAN perkhabaran mengejutkan, malah penyingkiran pemuda berusia 27 tahun yang memiliki nama penuh, Zulqarnain Jaafar atau Nine sememangnya sudah dijangka.

Lama berada pada kedudukan goyah dan Jumaat lalu, penantian Nine terjawab apabila dia menjadi peserta kesembilan meninggalkan OIAM.

"Saya tidak pernah menjangka akan sampai ke Top 4," kata vokalis kumpulan Coco yang cenderung kepada genre rock ini.

Dihimpit pelbagai kontroversi dan cerita panas, namun itu bukan penyebab Nine tersingkir. Sebaliknya dia akur, kejanggalan beraksi solo membuatkan persembahannya terumbang-ambing sepanjang pertandingan.

"Mungkin itu juga antara faktor penyumbang namun saya sudah cuba memberikan yang terbaik. Sukar untuk saya bertahan sampai ke tahap ini kerana kesemua 12 peserta hebat dan berbakat besar," katanya.

Mengulas penyingkiran Nine, Syafinaz berkata, pemuda itu kehilangan magis yang dibawanya ketika mula menyertai uji bakat OIAM.

Nine katanya, seorang yang kelakar, spontan serta menghiburkan malangnya semua elemen itu hilang apabila dia berdiri di pentas OIAM.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: