Sunday, April 19, 2009

Tiara perjelas isu lagu dan pakaian peserta

Tiara akui, ada sesetengah keputusan bukan di buat olehnya mahupun tenaga pengajar lain, antaranya dari segi lagu dan pakaian

SABAN minggu, jika ada saja yang dilihat tidak kena pada peserta-peserta AF7 ini di mata sesetengah pihak, pastinya yang akan terkena tempias itu ialah pengetuanya, Datin Seri Tiara Jacquelina.

Antara yang sering 'dihentam' oleh banyak pihak ialah dari segi pemilihan lagu atau tema dan tidak kurang juga dari aspek gaya pakaian peserta-peserta ketika konsert berlangsung.

Ujar Tiara, apabila perkara-perkara itu menjadi 'isu', dialah yang sering diminta untuk mengulas tentang hal tersebut sedangkan dia dan tenaga pengajar lain sebenarnya hanya dipertanggungjawabkan untuk memberi tumpuan terhadap silibus pelajaran peserta-peserta itu di Akademi.

"Saya ingin jelaskan di sini, ada sesetengah perkara bukanlah ditentukan oleh fakulti (pengetua dan tenaga pengajar). Sebagai contoh dari segi proses pemilihan tema mingguan atau penetapan lagu untuk pelajar.

"Sebenarnya, banyak proses yang perlu dilalui sebelum senarai lagu diserahkan kepada fakulti untuk pelajar persembahkan setiap minggu. Bekerja di bawah naungan produksi yang besar seperti Astro perlu melalui banyak peringkat sebelum senarai lagu pilihan itu dipersetujui.

"Dan di peringkat akhir itu barulah tiba di tangan fakulti. Jadi kalau kami di pihak fakulti mahu bangkang pun hanya kalau sempat dan jika ada masa, barulah kami dapat memberi pandangan tentang lagu yang dipilih," kata Tiara.

Namun, menurutnya, pada kebiasaannya, masa adalah amat suntuk untuk berbuat demikian. Kata Tiara, jika pihaknya ingin membangkang juga dan minta ditukar, ianya perlu melalui proses yang panjang semula.

"Orang yang paling sibuk setiap kali menerima lagu tugasan ialah Pengarah Muzik, Acis kerana dia yang perlu menggubah semula semua lagu minggu itu.

"Setiap lagu perlukan masa untuk disusun semula. Setiap minggu Acis akan berkejar ke Akademi di samping membuat susunan muzik dan bersiap sedia untuk persembahan.

"Hari Ahad barulah dia dapat bekerja untuk susunan muzik untuk tugasan minggu seterusnya dan kita akan mendapat lagu itu pada hari Isnin, Walaubagaimanapun, hanya pada hari Selasa barulah kita menerima minus one dan peserta dapat memulakan latihan pun pada hari tersebut.

"Pada hari Khamis, mereka sudah perlu ke dewan Bukit Jalil untuk 'sound check'. Jadi, memang tidak sempat untuk tukar apa-apa," kata Tiara.

Begitu juga dari segi pakaian untuk peserta-peserta tersebut pada malam berlangsungnya konsert. Menurut Tiara, produksi tersebut telah memilih 'stylist' yang bertanggungjawab untuk menata gaya semua peserta.

"Sudah tentu mana-mana aspek yang saya rasakan ingin minta pihak produksi pertimbangkan semula, saya akan cakap. Adakalanya mereka layan juga, tetapi ada masanya mereka tidak dapat turuti kerana masalah-masalah tertentu.

"Lagipun ini bukan produksi saya. Sudah tentu kalau produksi saya sendiri, saya pasti ada hak untuk buat keputusan.

"Apapun, saya tahu betapa susahnya 'stylist' ke sana ke mari untuk cari baju yang sesuai. Pada masanya saya faham tetapi ada masanya juga, saya sedikit kecewa," kata Tiara.

Ujarnya, dia sendiri memang amat menekankan aspek gaya dan imej peserta-peserta apatah lagi perkara itu turut terkandung di dalam 'tujuh syarat' yang diletakkannya sebagai misi transformasi peserta musim ini.

Namun, memandangkan dia dan tenaga pengajar lebih dipertanggungjawabkan ke arah pendidikan untuk melengkapkan peserta dengan dunia seni,kata Tiara, mana yang boleh diberi cadangan, dia akan lakukan.

"Salah satu transformasi yang saya letakkan adalah tentang imej dan dari segi paras rupa juga kerana untuk menjadi artis, bagus jika mempunyai pakej yang lengkap.

"Sebab itu saya amat gembira melihat transformasi Claudia dan Aishah yang telah melakukan perubahan pada gigi mereka beberapa hari lepas.

"Mereka cukup beruntung kerana seorang doktor gigi, Dr.Sean Paul dari Living Well di Bukit Bintang sanggup menaja proses membaiki struktur gigi mereka yang jika tidak silap saya, kosnya melebihi RM50,000 untuk kedua-duanya.

"Tidak semua orang mempunyai peluang seperti mereka. Saya gembira dan harapan saya agar keyakinan diri mereka juga akan meningkat," kata Tiara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: