Wednesday, April 22, 2009

Tersentuh keadaan M Rajoli


RAKAN artis melawat M Rajoli di kediamannya di AU3, Keramat.

Rakan artis ziarahi pelakon yang kini derita barah kelenjar otak

GAMBARNYA yang dilihat melalui sistem pesanan multimedia (MMS) dalam keadaan uzur menyentuh hati 20 rakan artis, lalu membuka hati mereka untuk menziarahi pelakon M Rajoli, baru-baru ini.

Pelakon yang nama sebenar Mohd Rajoli Mohd Zain, 63, kini hanya terlantar di kediaman isteri pertamanya Hassimah Mat Din selepas keluar hospital akibat menghidap kanser di kelenjar otak atau lymphoma sejak setahun yang lalu.

Namun keadaannya kini kian beransur pulih selepas menjalani fisioterapi di sebuah klinik di Taman Melawati yang dilakukan tiga kali seminggu.

Kunjungan artis muda itu diketuai Penerbit Eksekutif Excellent Pictures, Ahmad Idham Ahmad Nazri dan Pengarah Urusan Global Network Entertainment, Den Wahab. Mereka mengambil inisiatif mengumpul seberapa ramai artis untuk membatu pelakon yang sering membawakan watak lelaki warak dalam drama yang pernah dilakonnya.

Menurut Den, sejak mengetahui keadaan sebenar M Rajoli, dia dan Idham segera menghubungi waris M Rajoli untuk menziarahi dan meminta keizinan isterinya bagi membawa seberapa ramai artis bagi membantu suaminya.

AZIZ turut bertanya khabar M Rajoli.

“Selepas menonton program Melodi beberapa minggu lalu, saya cukup tersentuh dengan keadaan M Rajoli lalu saya berpakat dengan Idham untuk membantu setakat mana yang kami termampu.

“Lalu saya terus mendapatkan nombor telefon dan alamat penerbit Melodi, Nas Ahmad dan terus ke rumah M Rajoli di kediamannya di Menara Rajawali, AU2 Keramat, Kuala Lumpur.

“Saya dan Idham cukup tersentuh melihat keadaannya sekarang kerana sebelum ini saya mengenalinya sebagai seorang yang cukup periang dan sering menghiburkan teman di lokasi penggambaran drama,” katanya.

Lalu menurut Den, keizinan yang diperoleh daripada isteri M Rajoli disambut baik demi melihat suaminya kembali ceria seperti sebelum ini.

“Saya sempat mengambil beberapa keping gambar M Rajoli semasa melawatnya dan menghantar MMS kepada rakan artis dan menjemput sesiapa yang sudi mengunjunginya.

“Alhamdulillah hari ini saya melihat ramai artis yang hadir membantu menghulurkan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung isterinya. Antara artis yang hadir dan membantu seperti Datuk Aziz Sattar, Baharuddin Omar, Rebecca Al Islam, Anne Abdullah dan Noniswara.

“Turut menziarahinya, Sharifah Shahira, Aida Aris, Sulaiman Yassin, Imuda, Nabil (Raja Lawak), Rosyam Nor, Jehan Miskin, Mawi, Pak Ngah dan ramai lagi,” kata Den yang turut bermurah hati menaja khidmat tukang urut berpengalaman, Wak Hassan yang didatangkan khas dari Pulau Jawa, Indonesia.

M Rajoli kini hanya terlantar di katilnya sejak dimasukkan ke hospital pada 10 Oktober tahun lalu dan dibenarkan keluar sebulan selepas itu.

Hassimah berkata, kesihatan suaminya kini dilihat menunjukkan sedikit perubahan berbanding sebelumnya.

“Alhamdulillah saya dapat melihat perubahannya hari ini mungkin dengan kehadiran ramai rakan artis yang memberikan semangat kepadanya. Sebelum ini hidupnya muram saja sejak terlantar di rumah mungkin bersedih kerana tidak ramai yang mengunjunginya.

“Hari ini dia lebih berselera untuk makan dan ingatannya semakin pulih apabila dia mampu mengenali ramai orang.

“Namun dia masih tidak mampu untuk berjalan dan melakukan pergerakan yang banyak sehingga terpaksa membuang air besar dengan menggunakan lampin saja,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: