KOTA BHARU - "Keluarga saya akan ambil tindakan undang-undang (terhadap Istana Kelantan) jika kami masih tidak dibenar ketemu (berjumpa) dengan dia."
Demikian tegas Dewi Sariasi Pinot, 20, kakak Manohara Odelia Pinot, 17, bekas model terkenal Indonesia yang didakwa mengalami penderaan emosi dan fizikal setelah menjadi isteri kepada Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Mohammad Fakhry.
"Harapan kami hanya mahu berjumpa dengan darah daging kami saja," tegasnya ketika dihubungi Kosmo! di Jakarta semalam.
Menurut Dewi, dia dan ibunya, Daisy Fajarina kini benar-benar rindu dan resah mengenangkan nasib Manohara di Istana Kelantan yang sehingga kini masih gagal dihubungi.
Dewi yang merupakan kakak sulung Manohara berkata, ibunya yang menghidapi penyakit kanser rahim sangat merindui Manohara.
"Kami merasa sakit hati bila tidak dapat berhubung dengan Manohara lagi.
"Jika ini berterusan, tindakan undang-undang akan menyusul, ini tidak adil bagi keluarga saya yang tidak dapat melihat dan bertemu Manohara," katanya ketika dihubungi semalam.
Beberapa akhbar Indonesia baru-baru ini melaporkan bahawa kehidupan Manohara kini terseksa emosi dan fizikal kerana didakwa didera oleh suaminya yang merupakan seorang kerabat diraja Kelantan.
Pelakuan itu didakwa dilakukan sejurus selepas pasangan itu mengerjakan umrah pada bulan lalu, namun kerabat diraja Kelantan menafikannya malah memberitahu bekas model muda itu sangat bahagia bersama suaminya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: