Tuesday, April 28, 2009

"Teman yang sangat mesra"


Dua sahabat, Ang Pei Chern (kiri) dan Rebecca yang serasi bersama.


BAGI mereka yang kali pertama bersua muka dengan dua jelitawan ini, barangkali beranggapan mereka sudah lama kenal satu sama lain.

Hubungan persahabatan yang baru berusia lebih sebulan tidak seperti yang digambarkan oleh Rabecca Nur Al Islam atau Rabecca, 23, dan Ang Pei Chern atau Chern, 18.

Ini kerana kemesraan yang terpancar pada peribadi Rabecca dan Chern bagai memperlihatkan mereka berdua sudah lama mengenali hati budi masing-masing.

"Kami berkenalan semasa menjayakan Gadis Kosmo sebuah drama baru gandingan kami berdua," ujar Rabecca membuka cerita permulaan perkenalan mereka.

Bagi Chern pula, dia tidak pernah menyangka Rabecca seorang yang peramah.

"Walaupun lebih senior daripada saya, Rabecca tidak sombong, sangat baik dan peramah. Dia banyak tolong saya, berkongsi pendapat apatah lagi saya sangat baru dalam industri lakonan drama Melayu,'' kata Chern menggambarkan personaliti Rabecca.

Tidak seperti Rabecca, Chern sebaliknya, berpengalaman berlakon teater dan filem Inggeris.

Gadis yang berumur 18 tahun itu, pernah mencuba nasib di negara jiran, Singapura.

Nasibnya agak baik kerana dia pernah diterima berlakon dalam beberapa pementasan serta filem antaranya Bloody Hood Story (teater), Light dan Sunshine After Rain (filem).

"Gadis Kosmo menjadi langkah permulaan saya dalam drama Melayu. Saya akui ada banyak kelemahan, tetapi selagi tak cuba, selagi itu kita tidak tahu kebolehan kita,'' ujarnya merendah diri.

Kembara penulis

Gadis Kosmo mengisahkan pengembaraan dua orang penulis kolum di bawah satu agensi.

Dalam drama itu, Rabecca memegang watak sebagai Karisma Kamal manakala Chern dikenali sebagai Celine Ng.

Dua penulis kolum ini melakukan kerja yang sama. Karisma bertanggungjawab menulis untuk kolum Manual Gadis Kosmo.

Pada masa yang sama, atas sambutan memberangsangkan pembaca, pengurusan editorial majalah Gadis Kosmo mahu mewujudkan versi bahasa Inggeris untuk kolum yang sama dan dikenali sebagai Urban Chic Manual.

Dan tanggungjawab mengendalikan kolum berbahasa Inggeris itu diberikan kepada Celine.

Lantaran sering bekerjasama, Karisma dan Celine menjadi begitu akrab, lebih-lebih lagi, mereka sentiasa berusaha memastikan artikel mereka terbaik serta menepati selera pembaca.

Memulakan tayangan pada 15 April lalu, drama yang dihasilkan sebanyak 13 episod itu, disiarkan menerusi TV2 pukul 9.30 malam.

Menurut Rabecca, walaupun watak Karisma dianggap biasa dan begitu dekat dengan dirinya, namun itu tidak bermakna dia boleh memandang mudah akan lakonannya.

"Bukan sahaja dalam Gadis Kosmo, sebaliknya apa saja watak yang diberikan, saya pasti akan lakukan sebaik mungkin.

"Ini kerana setiap tawaran berlakon, merupakan rezeki dan saya perlu bersungguh-sungguh membawa watak tersebut sebagai tanda kesyukuran atas rezeki yang ada,'' katanya.

Tambah Rabecca lagi, Karisma seorang wanita yang periang tetapi pada masa yang sama seorang pemalu.

Seperti juga gadis-gadis lain yang menjaga kecantikan, Karisma sangat mementingkan penampilan diri dan kulitnya.

Akibatnya, Karisma sangat gentar dengan sinaran matahari kerana bimbang ia boleh mendatangkan kesan yang tidak baik terhadap kulitnya.

Bagi Chern pula, dia perlu mengurangkan tabiatnya yang 'kecoh' dan banyak cakap kerana perwatakan Celine yang dilakonkannya menuntut dia menjadi seorang gadis yang pendiam.

"Hampir kebanyakan sikap Celine bertentangan dengan karakter sebenar saya seperti berasa gayat apabila berada di kedudukan yang tinggi sedangkan hakikatnya saya sangat berani," katanya menggambarkan personalitinya.

Menurut kedua-dua pelakon utama drama ini, Gadis Kosmo mempunyai keistimewaan sendiri.

Ini kerana ia jelas memaparkan persahabatan yang terjalin erat antara mereka adalah satu hubungan yang cukup murni dan ikhlas.

Hakikatnya, mereka berdua merupakan pesaing antara satu sama lain ketika berkerja.

Tambahan pula, mereka mempunyai budaya dan agama yang berbeza.

Keikhlasan persahabatan mereka jelas kelihatan apabila mereka saling tolong menolong antara satu sama lain terutamanya apabila berada dalam dilema mahupun menghadapi masalah.

Selain itu, unsur-unsur kekeluargaan, percintaan, keyakinan, penampilan serta kerjaya turut diselitkan dengan kemas agar jalan cerita lebih menarik serta mampu meraih jumlah penonton yang ramai.

Chern ke luar negara

Walaupun usia perkenalan mereka agak singkat, namun perbezaan umur dan senioriti dalam lakonan bukan penghalang untuk mereka menjalin persahabatan.

Mereka sering menghabiskan masa bersama-sama.

Namun begitu, menurut Rabecca, kebanyakan masa lapang yang dimilikinya, banyak dihabiskan untuk menguruskan anak angkatnya, Nor Adam Daniel yang kini berusia setahun.

Menurut Rabecca, Adam kini semakin nakal, bijak dan sudah boleh berjalan.

Ini membuatkan Rabecca sering tidak sabar-sabar balik ke rumah untuk menghabiskan masa bersama anak angkatnya itu andai mempunyai urusan di luar.

Berbeza dengan Rabecca, Chern kini sedang membuat persiapan untuk ke California, Amerika Syarikat sekitar bulan depan.

Tujuan Chern ke sana ialah kerana mahu menyambung pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang penulisan dan kewartawanan.

Rencana Chern, dia berazam untuk menamatkan pengajian selama dua tahun dan kembali semula untuk aktif dalam bidang seni.

Oh ya barangkali juga ramai yang tidak tahu bahawa Chern juga begitu aktif dalam bidang sukan dan pernah mewakili Kuala Lumpur dalam sukan tenis ketika usianya 14 tahun.

"Selain itu, saya juga mengikuti kelas piano dan violin bagi memenuhi masa lapang saya. Malah saya telah berjaya belajar piano sehingga peringkat degree dan violin sehingga gred 8.

"Semua ini saya lakukan sebagai persiapan untuk menjadi seorang anak seni yang serba boleh,'' katanya panjang lebar.

Sebelum mengakhiri perbualan pada tengah hari tersebut, Rabecca dan Chern sempat meluahkan hasrat mereka untuk berlakon dalam filem mahupun drama aksi.

Malah filem aksi seperti Mr. & Mrs. Smith dan Cat Woman merupakan filem kegemaran dua gadis ini.

"Jika ada tawaran untuk itu (lakonan aksi), pasti kami akan bersedia untuk melakukannya,'' ujar mereka serentak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: