Watie |
Keutamaan Watie ialah masih bujang dan menyayangi anaknya
SURAM perjalanan silam membuatkan ibu tunggal kepada cahaya mata lelaki berusia 5 tahun, Afif Danial ini lebih berhati-hati untuk menyerahkan hatinya kepada lelaki.
Watie Sadali, 33, berkata, bermacam-macam dugaan yang dilaluinya dulu membuatkannya serik, tetapi itu tidak bermakna dia menutup pintu hatinya daripada menerima kehadiran lelaki.
Akui Watie hatinya kini dicuri kembali lelaki yang turut berkecimpung dalam bidang seni.
“Sudah tiga tahun kami menjalin hubungan. Semuanya berjalan baik. Cuma buat sementara waktu, saya mohon berikan ruang untuk membina hubungan ini tanpa terlalu diberikan tumpuan. Saya tidak mahu lagi mengulangi kesilapan lalu,” kata Watie mengenai hubungan dengan lelaki yang tiga tahun lebih tua daripadanya.
Nama yang semakin menyinar sebagai pelakon ini berkata, dia tidak pernah terdesak untuk kembali bergelar isteri walaupun ada ketika berada dalam kesepian.
“Saya tidak memaksanya jika dia belum bersedia menggalas beban sebagai suami. Biarlah dia menikmati hidup sepuasnya sebelum kami mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga,” katanya yang pernah dua kali gagal dalam kehidupan berumahtangga.
Watie berkata, dia mengenali lelaki itu ketika mereka bersama terbabit dalam sebuah produksi. Perlahan-lahan hubungan itu berputik hingga membibitkan perasaan cinta antara mereka.
“Tetapi dalam apa juga hal saya perlu mengutamakan perasaan anak. Dia keutamaan saya kerana kehadirannya memberi kekuatan ketika saya berdepan pelbagai masalah hidup,” katanya.
Membesarkan anak tunggalnya sendirian, kata Watie, membuatkan dia sedia untuk berkorban apa saja. Tiada lagi masa untuk bersuka ria seperti dulu. Sebaliknya Watie yang bakal muncul dalam dua drama bersiri terbaru siaran Astro Prima, Suara Hati dan Rahsia Hati pada pertengahan bulan ini dan April nanti berkata, dia gigih bekerja mencari sesuap nasi untuk menyara kehidupan mereka berdua.
Bukan tiada teman yang mempelawa untuk keluar berhibur, namun begitu katanya, keseronokan sebegitu bukan lagi jalan pilihannya.
“Jika tiada penggambaran, saya di rumah bersama anak. Kasihankan dia kerana selalu ditinggalkan. Disebabkan itu, setiap kali tamat penggambaran saya gantikan semula waktu dengan memberi sepenuh tumpuan kepadanya,” kata Watie.
Kongsi wanita peramah dan periang ini, dia keliru apabila dihampiri lelaki muda yang ingin mencuri hatinya. Ia sesuatu yang tidak pernah diduga kerana dia rasa aneh didekati lelaki muda.
“Saya sedar umur saya semakin meningkat. Saya janggal menjalin hubungan dengan mereka yang lebih muda. Saya selalu berdoa kepada Tuhan minta dijauhkan daripada bercinta dengan lelaki muda. Saya tidak selesa,” jelasnya.
Mula dipandang serius
BERALIH arah kepada dunia lakonan sejak empat tahun lalu dengan drama Haryati, hari ini Watie dilihat antara barisan pelakon yang cukup laris dengan pelbagai tawaran.
Katanya, dia pernah terpaksa bergegas ke dua set penggambaran untuk dua drama bersiri berbeza membuatkan hidupnya dalam kekalutan.
“Saya serik kerana akhirnya ia menyusahkan diri sendiri. Jadi sekarang saya lebih berhati-hati menyusun jadual kerana tidak mahu terkejar-kejar dan akhirnya memakan diri.
“Ada yang bercakap, ketika sedang laris rebut saja peluang yang datang. Tetapi saya tidak mahu begitu kerana saya berada di sini atas sebab minat, selain mencari rezeki untuk membesarkan anak.
“Alhamdulillah, mungkin kerana saya ikhlas maka saya sentiasa diberikan watak berkarektor. Saya puas kerana tuntutan watak diberikan mencabar kemampuan,” katanya.
Hangat dengan drama bersiri, Rozana, Watie kini menyempurnakan penggambaran drama, Sanggar Cinta Raudah bersama Zizan Nin dan Aida Razwill. Antara drama yang menyerlahkan karektor pelakon yang bertubuh langsing ini termasuk Gelora Di Hati Sara, Iris, Tidak Pernah Ku Sesali dan Taubat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: