KEMUNCULAN artis baru sama ada menerusi program realiti atau pertandingan nyanyian ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Kebanyakan artis kelompok ini SS lihat ada yang berjaya mencipta nama dalam dunia seni malah ada pula sebaliknya. |
Ada yang hanya muncul dengan single kemudian lesap entah ke mana, tetapi pada waktu sama SS tidak nafikan bakat artis yang dicungkil daripada program realiti. Apatah lagi bakat mereka turut diiktiraf dengan peminat yang sentiasa mengundi mereka dalam program realiti menerusi SMS.
Disebabkan terlalu banyak program realiti, sehingga ada yang lupa, artis realiti A daripada program musim ke berapa manakala artis B daripada program realiti yang mana satu.
Baru-baru ini, SS terdengar keluhan seorang teman mengenai artis lelaki program realiti. Menurut teman SS, penampilan artis berkenaan dalam program realiti tidak dinafikan memberi impak tersendiri. Gaya spontan dan vokal unik menjadikannya antara tarikan program itu.
Tapi kata teman SS, entah bagaimana artis berkenaan boleh mengirimkan SMS kepadanya memaklumkan jika ada ruang untuk bekerjasama atau mengadakan persembahan di majlis tertentu.
Kata teman SS, dia tidak tahu siapa gerangan yang menghantar SS itu kerana tidak dipaparkan nama pengirimnya. Teman SS cuba membalas SMS tadi dan bertanyakan siapakah individu yang menghantar SMS itu.
Selepas itu barulah teman SS tahu, tapi teman SS masih tertanya-tanya kerana tidak pernah bertemu apatah lagi memberikan nombor telefon bimbitnya kepada artis itu.
Bagi SS, tindakan artis itu antara usahanya untuk mendapatkan peluang publisiti di akhbar. SS juga puji usaha artis itu kerana tidak malu mencuba begitu.
Tapi kalau mencari kerja sekalipun, gunakanlah saluran yang betul. Takkan hanya melalui SMS semata-mata sebaliknya maniskan mulut dan buang perasaan malu dengan berkunjung ke pejabat akhbar sebagai salam perkenalan. Tapi janganlah berharap terus diberi layanan dengan diberi liputan maklumlah ramai artis dan masing-masing perlu ada strategi untuk mencari ruang seperti itu.
Kalau sanggup melabur sedikit wang, lagi bagus. Iklankan diri supaya mudah pihak yang ingin memberi tawaran kepadanya. Nak harapkan liputan media, kalau tidak popular mungkin susah sedikit. Lainlah ada kawan baik dengan wartawan hiburan, bolehlah minta tolong.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: