Tuesday, April 21, 2009

Rio Febrian belum rancang sunting Sabria

BUKAN semua artis yang gemar berkongsi tentang hal peribadi mereka. Begitu juga dengan penyanyi Indonesia Rio Febrian yang lebih gemar mendedahkan tentang karier muziknya.

Rio juga lebih gemar orang ramai memperkatakan tentang karya dan album terbarunya, ‘Aku Bertahan’.

Album ini memuatkan 11 buah lagu seperti Everybody Wants Me, Cinta Mati, Candu Hatiku, Janji Setia, Kutemukan termasuk lagu bonus Ceritera Cinta (lagu duet dengan Jaclyn Victor).

Selain itu, Rio berkata dia sedang merancang projek terbarunya untuk mengadakan konsert di Indonesia dan ‘showcase’ di Malaysia.

Tentang ‘showcase’ di Malaysia, Rio berkata cadangannya masih di dalam pertimbangan dan menunggu ‘lampu hijau’ daripada pihak penaja.

Setelah berbual panjang dengannya, barulah Rio berminat untuk bercerita sedikit tentang kekasihnya, aktres Subria Sagita Kono di mana mereka telah menjalinkan hubungan sejak dua tahun lalu.

Ditanya tentang bilakah dia akan menikahi Subria, Rio berkata dia belum merancang tentang hal itu.

“Saya belum tahu bila hendak berkahwin dengannya tetapi kalau boleh saya mahu dalam masa terdekat ini.

“Saya bukan jenis yang suka merancang tetapi segala keputusan biasanya saya lakukan secara spontan,” ujarnya dalam nada berseloroh.

Itulah sikap sebenar Rio yang lebih gemar membuat keputusan apa-apa sahaja mengikut hatinya namun tidak bermakna setiap keputusan yang dilakukannya itu menimbulkan perasaan kesal kepadanya.

“Saya tidak suka merancang lama-lama. Walaupun saya merupakan seorang yang spontan, saya tidak pernah menyesal dengan keputusan yang dibuat sebelum ini.

“Misalnya, proses membuat album ‘Aku Bertahan’ mengambil masa yang lama untuk menyiapkannya iaitu kira-kira dua tahun.

Rio dan Delon (kanan) akan membuat persembahan dalam majlis makan malam Minggu Setiausaha Hotel Istana Kuala Lumpur pada esok

“Proses untuk menerbitkan album itu tidak mudah kerana saya masih meneliti agar saya betul-betul berpuas hati dengan penghasilannya,” jelas Rio.

Bercerita tentang penghasilan album terbarunya itu, Rio berkata album tersebut juga selaras dengan misinya untuk memperkenalkan dirinya yang baru selain daripada hanya dikenali sebagai penyanyi Ceritera Cinta.

“Saya menerbitkan album keempat saya ini dengan muzik, warna dan konsep album mengikut citarasa saya sendiri.

“Ikutkan, saya boleh menyiapkan proses pembikinan album ini dalam masa empat bulan tetapi disebabkan saya mempunyai komitmen lain jadi saya terpaksa mengambil masa kira-kira dua tahun untuk menyiapkannya.

“Lagipun, saya telah menggubah dalam buah lagu untuk album ini dan memikirkan tentang konsep dan idea pembuatan album sendiri.

“Saya anggap album kali ini akan memberikan keistimewaan tersendiri dari segi dinamik, ‘powerful’ dan lebih berentak muzik band,” olahnya.

Dengan kemunculan album itu, Rio menambah ‘Aku Bertahan’ melambangkan dia masih bertahan dan berkarya dalam industri muzik sekarang dengan bantuan semua orang.

Rio turut menceritakan bahawa album itu menggunakan bajet yang lebih rendah dari bajet album sebelumnya.

“Kos untuk album terbaru ini lebih rendah kerana saya lebih menggunakan muzik band iaitu bass, gitar dan dram dengan cara tersendiri tanpa ada muzik strings atau orkestra.

“Namun tidak bermakna saya menggunakan muzik band kerana kosnya murah dan ingin menjimatkan kos.

“Saya sudah menggunakan konsep muzik band ini untuk album kedua dahulu,” beritahunya tentang album yang telah berada dipasaran tempatan sejak 11 April lalu.

Rio telah menghasilkan album Ready To Fly (2008), Rio F3berian (2006), Salahi Aku (Ku Jatuh Cinta Lagi (2005), Ku Ada Disini (2004), Rio Febrian (2001) dan Nada Kasih yang memuatkan single duetnya dengan Erra Fazira (2000).

Saksikan Rio di majlis makan tengah hari bersama 20 selebriti lelaki popular di Grand Mahkota Ballroom, Hotel Istana Kuala Lumpur, pada esok, 22 April, pukul 11 pagi hingga 4 petang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: