Tuesday, April 28, 2009

Respirasi Muzik: Bekas ahli jadi penguat


Album: Allahu Rabbi
Artis: Inteam

SETELAH hampir setahun menyepi tanpa album, kini kumpulan Inteam kembali dengan Allahu Rabbi. Ia dianggap istimewa kerana turut menampilkan bekas anggotanya, Hisyam Ahmad dan Suhaimi Saad yang sebelum ini bergerak solo.

Secara keseluruhan, album ini boleh dianggap baik dari sudut melodi mahupun penyampaian. Susunan yang dilakukan Along Exist, Belle, Eddie Slam dan Eddie Marzuki terhadap lagu dicipta anggota kumpulan ini menjadikan ia lebih mantap.

Ternyata apabila Hisyam dan Suhaimi mengambil keputusan menjayakan Allahu Rabbi ia menguatkan lagi harmoni vokal ditampilkan dalam album ini. Ia jelas kedengaran sebaik saja mendengar lagu pertama yang menjadi judul album, Allahhu Rabbi. Kreatif apabila ia turut disampaikan dalam bahasa Urdu dan Inggeris.

Selain bertemakan ketuhanan, album terbaru Inteam ini turut menyentuh sejarah kehidupan Nabi Muhammad s.a.w dan sahabat yang dirakamkan dalam lagu Hamzah Asadullah dan Dia Muhammad.

Selain vokal, turut membantu mengangkat lirik dihasilkan adalah melodi yang melatari lagu dihasilkan. Ia mampu menyentuh hati pendengar.

Begitupun, apabila dihayati keseluruhan produksi album ini, ia kedengaran tidak jauh berbeza daripada apa yang pernah dihasilkan Raihan sebelum ini.

Penerbitnya terdiri daripada anggota Inteam sendiri iaitu Amin Nordin, Firzdan, Suhaimi dan dibantu anggota kumpulan Brothers, Salleh mungkin mahu menghasilkan muzik yang sederhana selaras dengan konsep nasyid itu sendiri.

Turut dimuatkan dalam Allahu Rabbi, lagu Kasih Sayang menampilkan duet bersama Ustaz Asri dari kumpulan Rabbani, Hanya Takdir, Kepastian, Kemuliaan Al-Quran dan Asma Allah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: