Wednesday, April 22, 2009

Radhi buat hal

altMangga Online mendapat berita yang tidak berapa enak tentang penyanyi utama kumpulan OAG iaitu Radhi. Jenuh menjawab panggilan dan juga emel teman-teman yang menyaksikan mini konsert perpisahan kumpulan OAG yang diadakan di Istana Budaya minggu lepas. Malah menurut pengurus Radhi, dia sendiri tidak tahu hendak berkata apa-apa buat masa ini kerana perlu berbincang dengan Radhi tentang apa yang berlaku.

Dari apa yang berlaku rumusannya adalah:

Pertunjukan itu gagal mencapai matlamatnya.

Menurut teman, Radhi tiba sejam sebelum pertunjukan bermula pada hari Sabtu (saya ada menerima jemputan dari promoter showcase Radhi akan tetapi kerana membuat liputan Mangga Star Search final tidak dapat menghadirkan diri). Dia juga langsung terlepas untuk melakukan soundcheck maka kualiti audio khabarnya juga tidak begitu memuaskan. Maka timbullah suara-suara sumbang dari barisan penonton.

Radhi juga terus menghilangkan diri selepas pertunjukan dan tiada siapa tahu dia ke mana. Khabarnya juga dia 'lalok' ketika beberapa wakil media cuba menemubualnya sebelum pertunjukan kedua yang diadakan di sebelah malam. Mungkin Radhi terlalu ikutkan adik beradik Gallagher dari kumpulan Oasis jadi dia pun berasakan dirinya perlu mengikut kelakuan mereka. Nasihat kepada Radhi, jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Yang lebih menyedihkan, pengurus kepada Bunkface iaitu Zara Ismail khabarnya diherdik dan dimaki pihak Istana Budaya dan pihak penganjur di depan khalayak ramai. Zara sendiri mengakui perihal ini melalui perbualan telefon apabila pihak Mangga Online mahu mendapatkan kepastian tentang hal ini.

"Bayangkanlah, saya memeriksa peralatan band dan saya dapati ianya bukan seperti yang kami minta. Untuk memberikan persembahan yang mantap dan berkualiti, kita tidak boleh kedekut wang untuk melabur. Yang saya hairan, dengan jumlah wang yang sama mereka perolehi peralatan tersebut, saya boleh dapat yang lebih bagus. Jadi kenapa saya pula dipersalahkan? Jika saya sendiri tidak masuk campur dalam hal-hal pengurusan acara ini, mungkin ia akan menjadi lebih teruk," kata Zara kepada kami mengakhiri perbualan.

Yang pasti kami akan mendapat kepastian lebih lanjut apa yang sebenarnya berlaku pada hari Sabtu dan Ahad tersebut. Ah Arts Entertainment sebagai penganjur perlu menampilkan diri dan mengadakan sidang akhbar untuk menjelaskan apakah yang berlaku pada hari tersebut. Industri kita kecil. Dengan perkara remeh ini, ia boleh mencemarkan imej industri muzik tanahair, lebih-lebih lagi untuk peminat-peminat muzik aliran indie.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: