Thursday, April 23, 2009

Project Sunshine bantu dana sekolah


SISTEM pendidikan fleksibel Malaysia membenarkan kanak-kanak pelbagai bangsa mempelajari bahasa ibunda masing-masing di sekolah kebangsaan dan vernakular. Walaupun kerajaan menyediakan peruntukan untuk sekolah ini, namun masih menghadapi kekurangan sumber kewangan dan terpaksa meminta bantuan masyarakat.

ntv7 kini memperkenalkan program ehwal semasa yang terbaru, Project Sunshine, yang membantu sekolah rendah kebangsaan dan vernakular memperoleh bantuan kewangan daripada orang awam. Objektif program ini ialah membantu sekolah, khususnya sekolah rendah, menyelesaikan masalah mereka melalui sebuah tabung pendidikan yang direalisasikan melalui usaha sama dengan SP Setia Foundation.

Program Mandarin setengah jam yang akan disiarkan sebanyak 13 episod akan ke udara setiap Sabtu jam 6.00 petang bermula 18 April lalu. Tiang Kah Chee, pengacara bagi program ini yang juga akan disertai dua lagi rakan dari SP Setia dan ntv7.

Salah satu episod Project Sunshine dimulakan dengan Kah Chee menemuduga beberapa pelajar sekolah mengenai masalah utama yang mereka hadapi. Sambil membawa pengacara itu berjalan di sekeliling sekolah mereka, pelajar itu menunjukkan kemudahan sedia ada yang dibanggakan mereka disamping membawa perhatian kepada kemudahan yang diperlukan oleh mereka.

Kah Chee kemudiannya berbincang dengan kedua anggota pasukannya untuk mengatur langkah bagaimana memberi bantuan dan membahagi tugas mereka.

Saksikan reaksi pelajar sekolah apabila mereka dipersembahkan dengan usaha Kah Chee dan rakannya.

Turut dipaparkan adalah ungkapan perasaan mereka mengenai pertolongan yang dihulurkan. Kah Chee kemudiannya akan mengakhiri episod dengan sebuah pesanan perkhidmatan masyarakat yang berkaitan.

Pengurus Besar ntv7, Airin Zainul berkata, ntv7 mempunyai barisan program yang berteraskan masyarakat seperti Talian Hayat, Finding Angels, Edisi Siasat, Mandarin Siasat dan Hak Anda, yang mendapat sambutan hangat.

“Kami berjaya menyalurkan bantuan kepada ratusan keluarga yang menghadapi pelbagai kesukaran dan krisis melalui rancangan itu.

“Oleh itu, Project Sunshine adalah amat penting bagi kami kerana ia membolehkan kami menyumbang kepada masyarakat sekali lagi melalui pendidikan. Kami yakin rancangan ini akan berjaya menyentuh hati masyarakat Malaysia yang penyayang untuk meningkatkan lagi pengalaman pendidikan generasi muda kita,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: