Semua orang di tempat tinggal saya mengenali saya. Ada orang yang tidak dikenali juga menjerit nama saya. Saya suka menjadi popular – RUBINA

ISNIN lalu, dunia dikejutkan dengan berita utama tabloid British, News of the World yang melaporkan cubaan untuk menjual pelakon yang meraih populariti menerusi filem Oscar, Slumdog Millionaire, Rubina Ali oleh ahli keluarganya sendiri.
Ayah aktres itu, Rafiq Qureshi, 36, dilaporkan telah berbincang dengan wartawan akhbar untuk menjadikan anaknya sebagai anak angkat secara haram kepada seorang ahli perniagaan Dubai.
Berita itu sememangnya mengejutkan ramai pihak tetapi ada yang berpendapat Rafiq cukup berpotensi melakukan perbuatan itu.
Mahu mengambil kesempatan daripada populariti anaknya yang berusia sembilan tahun itu, Rafiq berasa gembira apabila ada keluarga kaya yang ingin mengambil Rubina sebagai anak angkat dengan bayaran pampasan. Rafiq juga sedar dia perlu segera melakukannya kerana tidak lama nanti populariti anaknya akan dilupakan dan mereka lenyap begitu sahaja.
Maka, apabila wartawan News of the World memberitahu akan membawa Rubina untuk menetap di Dubai, ayahnya terus bersetuju. Dia juga telah menyuruh abang iparnya, Rajan Ali yang lebih fasih berbahasa Inggeris untuk menelefon mereka.
"Ya, kami berminat kerana ingin Rubina hidup selesa. Kehidupan Rubina amat teruk dan dia kini menetap bersama ibu tirinya. Banyak masa dia tinggal bersama saya kerana dia tidak gembira di rumah ayahnya.
"Maka, jika anda ingin mengambil dia sebagai anak angkat, kita boleh berbincang. Namun, ayahnya berharap untuk mendapatkan sedikit pampasan. Kita mahukan £50,000 (RM260,000) jika persetujuan dicapai," kata Rajan Ali kepada wartawan itu.

Dalam satu panggilan telefon berlainan, Rafiq sendiri telah bersetuju. "Apa yang anda berbincang dengan Rajan, saya bersetuju. Kita boleh berbincang mengenai 'penjualan' ini apabila bertemu nanti. Ramai orang yang berminat dengan Rubina sekarang."
Tanpa bertanya mengenai latar belakang, tujuan atau nama bakal 'ibu bapa baru' Rubina, Rafiq telah bersetuju untuk bertemu dengan wartawan itu.
Sebelum semua itu tercapai, Rafiq telah membawa Rubina untuk bertemu dengan wartawan itu di hotel mewah, Leela Kempinski pada 11.35 malam, sekitar 15 April lalu. Bersama mereka adalah bapa saudaranya, Mohiuddin dan Rajan serta seorang kawan bernama Dinesh Dubey yang berminat untuk melihat hotel itu.
Rubina yang memakai gaun jingga putih terkoyak, teruja melihat keadaan sekeliling dan memberitahu: "Rumah saya adalah sebesar tandas anda. Kami tinggal di Gharib Nagar, kawasan yang dipanggil kolonial orang miskin."
Semasa pertemuan itu berlangsung, Rafiq mula memberitahu cerita mengenai pengalaman anaknya berlakon.
"Mereka (pembikin filem) ada memberikan kami wang, £2,040 (RM10,608). Mereka juga ada bercakap mengenai rumah tetapi itu semua janji kosong."

Namun, menurut satu laporan, Rafiq telah menggunakan wang anaknya sebagai kos perubatan kakinya yang patah semasa bekerja sebagai tukang kayu.
Dia juga menggunakan wang itu untuk membeli telefon bimbit supaya ejen boleh menghubunginya untuk berbincang mengenai 'penjualan' anaknya.
Rafiq turut mempunyai dua anak, Sana, 13, dan Abbass, 6 tahun. Isteri keduanya, Munni Qureshi kini pula sedang mengandung. Maka, dia memikul tanggungan besar.
"Apa yang mereka paparkan dalam filem adalah keadaan sebenarnya. Kerajaan tidak membantu. Kami hidup dalam satu bilik dengan tujuh orang tidur atas lantai. Saya hanya mendapat gaji sebanyak £3 (RM15.6) sehari. Saya perlu memikirkan apa yang baik untuk keluarga saya dan Rubina," kata ayahnya.
Walaupun kerajaan telah menjanjikan apartmen bernilai £12,000 (RM62,400) kepada Rubina dan seorang lagi pelakon, Azharuddin Ismail di Kerala, Rafiq merungut bahawa kediaman itu akan mengambil masa bertahun untuk disiapkan.
"Saya tidak akan berpindah ke sana walaupun sudah siap nanti. Saya tidak mahu meninggalkan Mumbai. Ini adalah tempat saya membesar," tegas Rafiq.

![]() |
| |
Sementara Rafiq sedang bercakap, Rubina dengan senyuman memberitahu dia suka menjadi popular. "Semua orang di tempat tinggal saya mengenali saya. Ada orang yang tidak dikenali juga menjerit nama saya. Saya suka menjadi popular.
"Bolehkan saya tinggal di dalam bilik anda? Saya tidak pernah melihat katil seperti ini dalam hidup saya. Tempat tinggal kami dipenuhi dengan orang miskin. Rumah kami kecil dan kotor. Saya amat takut dengan labah-labah dan nyamuk."
Rubina juga sibuk bermain alat kawalan jauh dan memberitahu: "TV kami sudah rosak. Suaranya teruk. Saya akan dilihat di dalam iklan TV tidak lama lagi bersama seorang aktres popular."
Aktres yang dimaksudkan adalah Nicole Kidman dan Rafiq telah mendapat £2,000 (RM10,400) untuk iklan itu.
Pelakon kecil itu tidak sedar bahawa dia telah dibawa oleh ayah kandungnya ke hotel itu dengan tujuan untuk berbincang agar dapat 'menjual' dirinya.
Mungkin juga dia langsung tidak tahu bahawa dia telah ditawarkan untuk menjadi anak angkat bagi mendapatkan wang.
Memandangkan jam telah menunjukkan 1 pagi, wartawan yang menyamar itu telah menyuruh Rafiq pulang supaya Rubina dapat tidur.
"Kita boleh bercakap mengenai benda lain esok," kata Rafiq yang meminta £13 (RM67.6) sebagai tambang teksi pulang ke kediamannya.
Dua hari kemudian, lebih ramai keluarga, kawan dan jiran Rubina berada di hotel itu untuk berjumpa dengan wartawan itu termasuk ibu tirinya, Munni. Sementara itu, Rafiq, Rajan dan Mohiuddin terus memasuki hotel untuk berbincang.
Rajan bagaimanapun menjelaskan urus niaga itu tidak dapat dicapai kerana keluarganya telah dijanjikan rumah oleh kerajaan India dan jika Rubina berpindah, mereka akan kehilangan rumah itu.
"Mungkin dalam masa dua atau tiga bulan. Sekarang kita boleh berbincang mengenai pampasan.
"20 juta rupee iaitu £270,000 (RM1.4 juta)," kata Rajan yang telah menaikkan harga sebanyak empat kali ganda berbanding persetujuan pertama.
Apabila wartawan itu mengingatkan bahawa ia adalah urus niaga haram, Rajan menyatakan bahawa perbincangan itu adalah antara mereka bertiga sahaja.
Ditanya sama ada ibu kandung Rubina, Khurshid Begum akan membantah, Rafiq telah menegaskan bahawa mereka telah bercerai tujuh tahun lalu, dan wanita itu tidak mempunyai hak ke atas Rubina.
Malah, keluarga Rafiq tidak rapat dengan Khurshid dan wanita itu hanya muncul di kediaman mereka sebaik sahaja Rubina pulang dari anugerah Oscar, Februari lalu.
Terbaru, Khurshid juga dilihat bergaduh dengan Munni dengan menyelar mereka sebagai pasangan gilakan wang.
Sebaik sahaja persetujuan hampir dicapai, rombongan keluarga Rubina menikmati makanan di hotel itu.
Rubina yang kelihatan gembira merakamkan gambar semua makanan dengan telefon bimbitnya dan memberitahu: "Hotel ini adalah seperti yang di Amerika Syarikat. Suatu hari nanti, saya ingin menetap di hotel sebegini."
Wartawan akhbar itu juga menyatakan Rubina pada asalnya telah dijual dengan harga £50,000 (RM260,000) tetapi ayahnya telah meningkatkan harganya memandangkan kejayaan Slumdog. "Budak ini amat istimewa. Dia adalah kanak-kanak Oscar sekarang."
Rentetan daripada kejayaan Slumdog, ramai yang mengkritik pembikin filem popular itu kerana gagal untuk berkongsi kekayaan dengan penduduk kawasan setinggan Mumbai.
Ada juga yang menuduh mereka mengeksploitasi Rubina seorang lagi pelakon kanak-kanak, Azharuddin Mohammed Ismail.
Sebenarnya usaha awal pembikin filem Slumdog untuk membantu keluarga berkenaan telah 'dihalangi' dengan perhatian yang diberikan oleh pihak media, selain permintaan dari keluarga dua pelakon itu yang agak melampau.
Mereka juga bimbang jika memberikan wang sekali gus, ia akan dibazirkan atau ditipu oleh ahli keluarga lain.
Maka, penerbit Slumdog, Christian Calson dan pengarah, Danny Boyle telah menubuhkan dana untuk kedua-dua kanak-kanak itu yang akan memberikan mereka pendidikan, kediaman dan sokongan sosial.
Selebihnya, dana yang dinamakan Jai Ho Trust itu hanya boleh dikeluarkan selepas Rubina dan Azharuddin berusia 18 tahun.
Rafiq nafi jual anak
Disebabkan laporan polis yang telah dibuat oleh Khurshid, pihak polis telah menahan Rafiq bersama Rubina untuk menjalankan siasatan.
Rafiq bagaimanapun telah menafikan kenyataan akhbar itu. Bercakap dengan wartawan di luar balai polis, Rafiq menyatakan dia telah diumpan ke sebuah hotel mewah di Mumbai oleh seseorang yang tersentuh dengan cerita hidup Rubina dan ingin menolongnya.
"Kami pergi bertemu mereka dengan niat yang baik. Namun, mereka membuat tuduhan palsu mengenai saya dan cuba memerangkap saya. Itu semua satu penipuan untuk menjadikan saya kelihatan teruk."
Tambahnya, dia telah dijanjikan dengan wang lumayan dan akan menambahkan tawaran jika bersetuju menjual terus anaknya.
"Tapi saya telah menolak tawaran itu. Anak saya hidup dengan saya dan saya akan melindungi mereka dengan nyawa sendiri. Saya tidak akan menjual mereka kepada sesiapa tidak kira berapa banyak wang yang ditawarkan," kata Rafiq kepada BBC.
Rafiq juga mempercayai plot itu dilakukan oleh bekas isterinya yang cuba memainkan peranan dalam hidup Rubina.
Walaupun menafikan menerima tawaran itu, Rafiq kemudian menyatakan dia terpaksa berpura-pura menunjukkan minat sebagai tanda kesopanan.
"Di India, anda tidak akan bercakap 'tidak' secara terus terang terutama kepada tetamu anda. Anda tidak akan mengguris hati orang dengan menolak permintaan mereka.
"Mereka datang dan memberitahu mereka tidak mempunyai anak. Mereka amat menyukai Rubina selepas menyaksikan filem itu. Saya berasa kasihan tetapi ini tidak bermaksud saya ingin menjual dia," katanya.
Rubina pula memberitahu: "Saya mempercayai ayah saya. Dia menyayangi saya dan tidak pernah memberitahu akan menjual saya.
"Memang saya ada bertemu dengan seorang pak cik dan mak cik di sebuah hotel besar tetapi ia bukannya mengenai kes anak angkat. Saya tidak akan memberi peluang untuk ditemu bual oleh wartawan asing lagi."

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: