ASAL usul tarian salsa sehingga kini masih lagi menjadi tanda tanya sama ada ia diilhamkan dari Cuba atau Puerto Rico. Namun, tarian yang cukup popular di kalangan masyarakat Latin itu kini semakin diminati masyarakat negara ini.
Perbezaan budaya serta jarak dua negara tidak menghalang tarian yang mengasyikkan dengan lenggang lenggok gemalai itu untuk memikat peminatnya di sini.
Penerimaan terhadap tarian salsa di negara ini jelas terbukti dengan penganjuran Kongres Sedunia Salsa Latin Malaysia yang diadakan sejak dua tahun lalu. Kongres yang dibawakan oleh kelab Salsa Havana itu mula diperkenalkan di negara ini pada 2007, kongres pertama yang berlangsung di Port Dickson, Negeri Sembilan itu berjaya menghimpunkan peserta dari 10 buah negara.
Tahun berikutnya, kongres sama diadakan dan kali ini Batu Feringgi, Pulau Pinang menjadi lokasi berlangsung kongres berkenaan. Memandangkan dua tahun berturut-turut ia diadakan di luar kawasan Kuala Lumpur yang sekali gus menyebabkan jumlah penyertaan yang terhad.
Sempena tahun ketiga penganjurannya, kongres selama tiga hari bermula 1 hingga 3 Mei yang berkonsepkan Latin Extravaganza itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid dan Surf Beach@Sunway Lagoon.
Pelbagai aktiviti menarik disusun sepanjang tiga hari kongres berkenaan berlangsung. Buat pertama kalinya juga, kongres yang disokong oleh Sunway Integrated Resort City itu membawakan sekumpulan penari salsa terkemuka, Imagen Latina berasal dari Venezuela yang akan membuat persembahan pertamanya di Asia.
Selain itu, lebih 30 puluh artis bertaraf dunia dari Columbia, Cuba, Eropah, Australia, Singapura, Sepanyol dan Malaysia bakal berkongsi ilmu tarian mereka dan gerak tari terbaru tarian salsa dan Latin kepada pengunjung yang hadir.
Penganjur dari Salsa Havana, Martin Reyes berkata, kongres yang diadakan sejak dua tahun lalu itu bertujuan untuk mengeratkan hubungan Malaysia dengan negara yang bakal menyertai kongres selama tiga hari itu. Selain itu, ia juga dapat membantu mempromosikan lagi nama Malaysia.
“Menyedari ramai masyarakat di negara ini menggemari muzik Latin, kami mengambil inisiatif untuk memperkenalkannya kepada penduduk di sini.
“Penyertaan tidak terhad atau terikat dengan sebarang syarat. Sesiapa saja yang berminat dengan salsa dan Latin boleh mengunjungi kongres yang terbuka kepada semua peringkat umur.
“Tahun ini juga kami mengambil satu lagi inisiatif yang berunsurkan kebajikan dengan menawarkan latihan salsa secara percuma kepada penghuni Yayasan Nur Salam. Perkara itu akan diumumkan secara rasminya ketika kongres itu nanti,” katanya.
Turut hadir pada majlis sidang media itu ialah Duta Cuba, Carlos Amores, Setiausaha Perbadanan Olimpik Malaysia, Datuk Sieh Kok chi dan Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Lagoon, Aaron Soo.
Antara aktiviti menarik yang disusun sepanjang kongres tiga hari itu seperti persembahan tarian, bengkel yang disampaikan penceramah antarabangsa, persembahan muzik dan parti di kawasan taman tema air. Selain Imagen Latina, pengunjung juga bakal dihiburkan dengan kumpulan tari dari Venezuela yang cukup terkenal di seluruh dunia, Salsa Y Punto, salah sebuah kumpulan yang menakjubkan dalam kongres ini tahun lalu.
Sebuah lagi kumpulan, Sabor Colombiana dari Columbia juga buat pertama kali akan membuat persembahan di Asia. Kumpulan berkenaan bakal diiringi oleh penari salsa paling muda, Martina, 10, yang menceburi bidang ini sejak dua tahun lalu. Turut memanaskan acara ialah kumpulan terkemuka Latin Band TNT yang datang dari Columbia dan Cuba, mereka bakal menghangatkan parti yang diadakan sepanjang tiga malam berturut-turut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: