Petugas kian sibuk kira undian ABPBH 2008 yang diterima pada minggu terakhir
ENAM hari saja lagi anugerah yang ditunggu-tunggu, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008, bakal berlangsung.
Ketika ini, bilik kiraan undi di tingkat lima Balai Berita kian sesak dengan timbunan guni borang undian yang terus tiba sehingga ke hari ini.
Bagaimanapun, pembaca Berita Harian yang masih belum menghantar borang undian masih berpeluang untuk menghantar borang kerana tarikh tutup penghantaran borang akan berakhir Rabu ini.
Proses kiraan undi pula akan berakhir Jumaat ini dan ketika ini puluhan guni borang undian yang dihias dengan kreatif dan berwarna warni masih lagi menanti untuk diproses lapan petugas yang dilantik untuk membuat kiraan.
Walaupun tidak semudah undian menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS), namun format undian ABPBH menerusi pos tetap mendapat sambutan cukup menggalakkan daripada pembaca.
Sambutan yang diterima daripada pembaca Berita Harian yang memberangsangkan ini terbukti apabila lebih 30 guni borang undian sudah pun diterima setakat ini.
Salah seorang petugas Nor Amira Minhat, 18, berkata mereka memulakan tugas seawal jam 9 pagi dan berakhir jam 6 petang.
Katanya setiap hari kira-kira tiga guni borang undian mampu diproses dan boleh mencecah sehingga lima guni sehari.
“Sehingga ke hari ini lebih daripada 30 guni borang undian diterima dan sedang diproses. Kami masih lagi menanti borang undian yang akan dihantar dari semasa ke semasa,” katanya.
Seorang lagi petugas, Shahrul Affandy, 18, pula berkata kehadiran bertimbun-timbun guni borang undian pada mulanya membuatkan dia berasa tertekan.
“Memang pada mulanya melihat berguni-guni borang dihantar setiap hari membuat saya rasa tertekan. Tetapi setelah memulakan tugas mengira, secara perlahan-lahan perasaan tertekan hilang sebaliknya menjadi satu tugas yang menghiburkan,” katanya.
Disebabkan masih terlalu banyak borang undian masih dalam proses pengiraan, adalah terlalu awal dan sangat sukar untuk meramalkan pemenang 16 kategori ABPBH2008.
Ini kerana selagi pengiraan belum selesai sepenuhnya, keputusannya pada setiap hari boleh berubah-ubah.
Peminat sanggup menghias borang undian
SETIAP tahun, Berita Harian menerima penyertaan yang cukup memberangsangkan dan lebih istimewa lagi pembaca juga mengambil inisiatif menghias borang undian dengan pelbagai idea kreatif dan berwarna warni.
Menunjukkan kesungguhan pembaca yang tidak jemu memberikan sokongan terhadap anugerah yang sudah pun memasuki tahun ke 22 penganjurannya.
Selain penghantaran borang biasa, gambar artis pujaan yang dilekatkan pada kad manila bersaiz A3 adalah penyertaan biasa yang sering diterima setiap kali ABPBH. Bagaimanapun masih banyak borang istimewa yang tiba di bilik mengundi walaupun kecantikan borang bukanlah faktor utama kemenangan sebaliknya penganjur menekankan kepada slogan terbaik.
Antara borang unik yang dihantar penonton ialah kek cawan bersaiz sederhana yang terpampang gambar Raja Lawak musim kedua, Nabil. Malah, ada di antara mereka yang sanggup berhabis wang menempah banner dan banting yang memaparkan gambar artis pujaan sekali gus Bintang Paling Popular pilihan masing-masing.
Satu daripadanya terpampang gambar Raja SMS, Asmawi Ani bersama isteri manakala satu lagi tertera gambar Nabil.
Bukan setakat itu saja, ada yang sanggup mengorbankan pakaian, samping, alas meja, kusyen dan pelbagai lagi semata-mata untuk dijadikan alas untuk borang undian mereka. Lebih unik lagi, ada di antara pembaca yang mengikut tema tahun ini iaitu Sentuhan Tenun apabila menggunakan kain daripada jenis songket untuk melekatkan borang undian mereka.
Salah seorang pembaca Berita Harian turut mengubah gula-gula menjadi sejambak bunga ala hantaran perkahwinan yang dikirimkan bersama-sama borang undian.
Bagaimanapun, seperti yang dijelaskan beberapa kali oleh penganjur, kemenangan pembaca ditentukan oleh slogan kreatif bukan berdasarkan undian tepat. Ini untuk membolehkan pembaca atau peminat memilih pelakon, penyanyi, penyampai radio atau pengacara TV yang benar-benar diminati bukan kerana disebabkan hadiah semata-mata.
Namun begitu, kesungguhan dan kelainan yang cuba ditonjolkan pembaca bagi memenangi hadiah menarik yang ditawarkan untuk pembaca memang sangat dihargai.
Hadiah yang menanti pembaca ialah, Nissan Grand Livina 1.8L bernilai RM 94,000 yang menanti pembaca utama, barang kemas tajaan Rafflesia, perabot tajaan Empire Classic Furniture, barangan elektrik sumbangan JVC, fabrik daripada Euro Moda dan hamper tajaan Nano White.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: