Tuesday, April 7, 2009

Pelik, wang palsu dari mesin ATM


Zuriati menunjukkan dua keping wang kertas RM50 yang didakwanya palsu selepas dikeluarkan dari mesin ATM di sebuah bank di Pasir Mas semalam.


PASIR MAS - Seorang guru, Zuriati Abdul Rahman, 35, mendakwa mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di sini mengeluarkan dua keping wang palsu bernilai RM50 ketika beliau membuat transaksi sebanyak RM100 di mesin ATM itu petang kelmarin.

Menurutnya, beliau mengeluarkan wang simpanannya di bank tersebut pada pukul 7 malam untuk membeli buku.

Bagaimanapun katanya, hasratnya membeli buku terbantut setelah gagal menggunakan wang tersebut yang didapati palsu.

"Masalah itu tak sepatutnya berlaku memandangkan wang tersebut dikeluarkan daripada mesin ATM di bank," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Zuriati yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jarum di sini berkata, pegawai di bank tersebut sepatutnya memastikan terlebih dahulu tiada wang palsu atau rosak yang dimasukkan ke dalam mesin ATM bagi mengelak timbul kesulitan di kalangan pelanggan.

Jelasnya, pada mulanya beliau tidak mengesyaki dua keping wang kertas RM50 yang diterimanya itu palsu memandangkan kualiti kertasnya hampir sama dengan wang tulen.

Bagaimanapun beliau terkejut setelah mendapati nombor RM50 dan nombor siri wang serta gambar Yang di-Pertuan Agong pada wang tersebut agak berbeza dengan wang RM50 lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: