KUANTAN - Suasana biasa pelanggan bebas berjalan keluar masuk di dua buah premis empat nombor ekor di Lorong Rusa, di sini petang kelmarin bertukar kelam-kabut dengan ramai berlari lintang-pukang.
Semuanya gara-gara sepasukan 16 pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) membuat serbuan pertama seumpamanya di negeri itu bagi menahan kaki judi.
Sebaik ternampak kelibat penguat kuasa, ada pelanggan beragama Islam melarikan diri manakala beberapa orang lagi cuba melawan sehingga bergelut dengan kakitangan JAIP.
Akhirnya, enam ditahan dalam operasi itu termasuk seorang lelaki berusia 54 tahun yang membelanjakan RM63 setiap kali membeli nombor ekor dengan kekerapan tiga kali seminggu.
Ketika disoal siasat, ada di antara mereka memberi alasan berjudi selepas mendapat mimpi nombor yang baik, pendapatan tidak cukup selain mencari wang tambahan kononnya untuk merawat anak yang sakit.
Timbalan Pengarah JAIP, Ghazali Abd. Aziz berkata, semua lelaki terbabit berumur antara 29 hingga 54 tahun ditahan mengikut Seksyen 169 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 Pindaan 1987.
Di bawah enakmen itu, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 atau satu tahun penjara atau kedua-duanya sekali sekiranya didapati bersalah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: