Thursday, April 23, 2009

Maruah aktres Hong Kong - Impak Hong Kong Film Awards ke-28


MERIAH. Calon-calon dan para jemputan majlis hong Kong film awards ke-28 sama-sama melancarkan acara tersebut.


FILEM yang meraih paling banyak anugerah tidak semestinya menang anugerah tertinggi. Itu hakikat yang tersurat menerusi keputusan pada Hong Kong Film Awards ke-28 yang berlangsung di Hong Kong baru-baru ini.

Dua buah filem, Red Cliff dan The Way We Are menang besar apabila masing-masing meraih lima anugerah dan empat anugerah.

Namun, Anugerah Filem Terbaik bagaimanapun disambar filem The Ip Man.


NICK Cheung (kanan) dan Paw Hee Ching teruja dengan kemenangan masing-masing.


Ia ternyata suatu kejutan, namun kemenangan The Ip Man mungkin atas faktor kerana ia merupakan naskhah biopik legenda seni kung fu Hong Kong, mendiang Bruce Lee.

Biarpun kalah kepada The Ip Man, naskhah The Way We Are sebaliknya menang besar apabila merangkul dua anugerah utama iaitu Pengarah Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik, selain Lakon Layar Terbaik dan Pelakon Wanita Pembantu Terbaik.

Filem dokudrama bajet rendah itu memfokus kepada kisah benar kehidupan manusia yang hidup di sempadan bandar Tin Shui Wai yang terletak jauh daripada kawasan mewah bandar raya Hong Kong.

Masyarakat yang hidup di situ mengalami gangguan emosi dan jenayah menyebabkan hidup mereka penuh kucar-kacir. Paling tragis apabila pada 2007 seorang wanita terjun dari tingkat 24 sebuah bangunan selepas membunuh dua orang anaknya.

Selain kejayaan paling manis buat pengarah filem itu, Ann Hui, majlis anugerah kali ini begitu bermakna buat pemenang Anugerah Aktres Terbaik, Paw Hee Ching.


XU Jiao menang hasil lakonannya sebagai budak lelaki menerusi filem CJ7.


Paw, yang mencecah usia 60 tahun pada tahun ini menjadi warga Hong Kong pertama meraih anugerah tersebut sejak 2004, selepas kategori tersebut dikuasai oleh aktres dari Tanah Besar China termasuk Gong Li.

"Saya tidak pernah menjangka untuk meraih anugerah ini. Saya bersetuju untuk terbabit dengan projek filem ini bagi menyokong Ann Hui," ucap Hee Ching dalam tangisan terharu.

Tambahnya: "Filem ini tidak membariskan bintang-bintang terkenal dan dihasilkan dengan bajet kecil. Ia karya pengarah berjiwa besar yang berjaya menjadikan filem kecil ini sebagai suatu pencapaian yang penuh gemilang."

Hee Ching juga berbangga dapat menembusi benteng yang didirikan oleh aktres China bagi kategori tersebut. "Sekarang ini, jarang sekali aktres Hong Kong meraih anugerah penting ini," ujarnya yang melakonkan watak seorang ibu tunggal dalam filem tersebut.

Kemenangan Hee Ching itu juga sebenarnya sangat penting sebagai kejayaan mengembalikan semula maruah aktres-aktres Hong Kong.

Ini kerana selepas menjadi pengeluar filem-filem seni mempertahankan diri pada era 1970-an dengan penuh gemilang, industri filem Hong Kong kemudiannya diselubungi kemelut dalaman, biarpun bintang-bintang terkenal negara itu meraih populariti menggunung di serata Asia.

Menambahkan lagi kemelut apabila berlaku penggabungan bagi menerbitkan filem antara penerbit filem Hong Kong dan China yang menyasarkan pasaran luar China menyebabkan watak-watak utama dan besar diraih aktres-aktres China.




Pengkritik industri filem Hong Kong sebelum ini juga menegaskan generasi muda aktres Hong Kong lebih berkiblatkan wang, glamor dan populariti berbanding menonjolkan bakat lakonan mereka.

Jika kemenangan besar The Way We Are disebabkan jiwanya yang besar, kejayaan filem aksi arahan Joh Woo, Red Cliff merangkul lima anugerah pula kesemuanya menerusi kategori teknikal.

Sementara, bintang filem China sebaliknya menguasai kategori Pelakon Lelaki Terbaik dengan kemenangan bintang Cina yang sedang meningkat naik, Nick Cheung hasil lakonan mantapnya menerusi filem The Beast Stalker.

"Proses perubahan sangat sukar dan sunyi," ulasnya mengenai watak lakonannya dalam filem itu.

Bintang cilik yang melakonkan watak budak lelaki dalam filem sains-fiksyen, CJ7, Xu Jiao pula meraih Anugerah Palakon Baru Terbaik.

"Saya sangat terharu. Ayah, saya dapat markah penuh kali ini!" ucap Jiao yang baru berusia 11 tahun itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: