BAKAL beraksi tanpa kemunculan keenam-enam bekas vokalisnya, langkah dan tari kumpulan rock berpengaruh tanah air, Lefthanded pasti kelihatan sumbang.
Itu hakikat yang harus diterima oleh ahli kumpulan tersebut yang bakal mengadakan Konsert Rock Lefthanded & Kawan-Kawan.
Menjadikan Stadium Negara, Kuala Lumpur sebagai saksi keunggulan kumpulan mereka, Lefthanded bagaimanapun nekad untuk meneruskan persembahan yang berlangsung pada 30 Mei depan.
Man Kidal, yang merupakan gitaris Lefthanded melahirkan perasaan terkilan apabila keenam-enam vokalis yang pernah berkhidmat untuk kumpulannya itu yang termasuklah Nash, Arab, Ramli Sarip dan Rahim Maarof dan Roy (Rauzan Alwi) tidak dapat melibatkan diri dalam konsert itu.
Man Kidal menegaskan, Nash dan Ramli Sarip sejak awal-awal lagi sudah menyatakan alasan tersendiri, tidak dapat terbabit dalam konsert yang diadakan dengan kerjasama Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy).
"Mereka mengatakan ada komitmen lain yang tidak dapat dielakkan. Nash sudah menerima undangan nyanyian lain, manakala Ramli pula membuat persembahan di Singapura.
"Pada awalnya, sudah pasti saya bersedih kerana mereka tidak dapat membuat kemunculan untuk persembahan Konsert Rock Lefthanded & Kawan-Kawan.
"Rasa ralat pula persembahan di pentas, tetapi tidak disertai oleh vokalis-vokalis ini yang banyak berjasa kepada kumpulan kami.
"Memanglah saya mahu semua berkumpul apatah lagi konsert ini diumpamakan memberi penghargaan kepada Lefthanded. Nampaknya angan-angan untuk kami bersatu belum lagi terlaksana.
"Dengan salah seorang anggota kami, Samad meninggal dunia pada Oktober tahun lalu, ia membuatkan saya terkilan," luahnya sugul ketika ditemui pada sidang media konsert berkenaan di Borneo Baruk Club di ibu negara Rabu lalu.
Turut hadir ialah anggota kumpulan Lefthanded lain iaitu Yan, 45, atau nama sebenarnya Amran Marsiman dan Man Dayak, 47, (Abdul Rahman Othman).
Andai sebelum ini dia tidak perlu berbicara untuk meluahkan ekspresi kerana cukuplah hanya gitar yang bersuara mewakili isi hatinya, namun kali ini Man Kidal melontarkan kesedihannya dengan kata-kata.
Kecewa, itu yang dirasai kutai rock yang cukup dikenali dengan gaya rambut panjangnya.
Sambung Man Kidal, peluang untuk melakukan konsert secara besar-besaran itu tidak hanya datang sekali, lantaran itu dia teringin untuk melihat semua vokalis Lefthanded berkumpul.
"Peluang mengadakan konsert dilihat ada signifikan tersendiri dalam menunjukkan perjalanan seni kami selama tiga dekad bergelumang dalam dunia seni," jawabnya yang mengalu-alukan kemunculan Nash jika dia mengubah fikiran di saat-saat akhir dan ingin terlibat sama dalam konsert itu.
Kekecewaan Man Kidal dan ahli kumpulan Lefthanded bagaimanapun terubat apabila konsert itu turut diserikan dengan kemunculan rakan lain seperti Amy (Search), Awie dan Joe (Wings), Mus (May), Hattan, Shima dan Aisunam.
"Lihat sahajalah senarai nama-nama yang terlibat. Masing-masing mempunyai kredibiliti dan reputasi yang hebat dalam bidang nyanyian.
"Mereka yang terbabit akan mendendangkan lagu-lagu popular Lefthanded. Saya percaya, konsert ini juga akan menjadi menarik dengan kehadiran mereka.
"Walaupun tanpa kemunculan vokalis-vokalis Lefthanded, namun saya yakin ia tidak sesekali menjejaskan kehadiran peminat kelak," jelasnya yang menerima 'lamaran' untuk mengadakan konsert itu pada November 2008.
Kali terakhir Lefthanded membuat konsert berskala besar di Stadium Nasional Bukit Jalil pada September 2007 bersama Rusty Blade.
Tema Konsert Rock Lefthanded & Kawan-Kawan diketengahkan bersesuaian dengan konsep kumpulan itu yang tidak mempunyai penyanyi tetap sejak dari awal penglibatan dalam dunia seni hingga sekarang.
|
|
Nadi Lefthanded bagaimanapun tetap terserlah menerusi kekuatan lagu, muzik dan liriknya hingga ia mampu bertahan untuk jangka masa yang panjang.
Penghargaan kepada Samad
Bercerita lebih lanjut tentang konsert itu, Man Kidal atau nama sebenarnya Rahman Mahmood, 45, memberitahu, konsert diadakan dalam dua sesi bermula petang hingga larut malam.
"Kumpulan indie seperti Bunkface, Pop Shuvit, Kid & Xera, The Times, The Pilgrims, Couple dan banyak lagi akan mengadakan persembahan pada waktu petang untuk menarik golongan remaja.
"Manakala pada waktu malam pula, barulah Lefthanded dan kawan-kawan akan mengambil alih pentas dan membuat persembahan untuk menghiburkan peminat.
"Walaupun konsert yang berlangsung selama dua jam itu nanti bukanlah acara pertama kumpulan kami, namun saya lihat konsert ini bakal melakar sejarahnya sendiri.
"Konsert yang berlangsung atas dasar kebajikan dan bertujuan memperlihatkan apresiasi kepada Samad amat besar ertinya kepada Lefthanded.
"Walaupun Samad sudah meninggal dunia, namun semangat muzik Samad terus hidup bersama-sama Lefthanded.
"Selain itu, konsert ini juga menjadi saluran terbaik untuk kami menyumbang ke arah kebaikan melalui anugerah dalam bermuzik yang dikurniakan Tuhan," ujarnya yang berjanji.
Penonton pada malam itu bakal dihiburkan dengan alunan lagu-lagu Lefthanded antaranya adalah Seruan, keadilan, Alam Dan Pencipta, Qabul dan Hidup Adalah Perjuangan.
Bagai abang dan adik
Dalam pada itu, Hattan tidak mampu menyembunyikan perasaan keterujaan apabila ditawarkan peluang mengadakan konsert untuk meluahkan apresiasi kepada Lefthanded.
"Tarikan utama untuk saya sertai Konsert Rock Lefthanded & Kawan-Kawan kerana hendak memeriahkan pentas pada malam itu.
"Lagipun saya dan Lefthanded adalah kawan rapat terutama dengan Man Kidal dan Yan.
"Ini bukan pengalaman pertama saya beraksi bersama-sama mereka, sebaliknya sudah banyak kali.
"Kalau sebelum ini Nash tidak dapat memberi komitmen dengan Lefthanded, saya yang akan menggantikan sementara tempatnya sebagai vokalis.
"Saya tidak pernah memikirkan soal duit apabila melibatkan diri dalam konsert ini, sebaliknya saya anggap ia tidak ubah seperti penyatuan semula dengan rakan-rakan lama.
"Saya tidak sabar untuk menjayakan konsert ini. Ia pasti akan menjadi hebat dan meriah," ucapnya yang akan menyanyikan sebanyak empat buah lagu.
Bagi Joe pula, Konsert Rock Lefthanded & Kawan-Kawan bakal menjadi sebuah konsert yang tidak dapat dilupakan dalam ingatan peminat.
"Saya tidak akan buat persembahan dengan Awie, sebaliknya kami akan muncul secara individual.
"Soal untuk mencipta keserasian bukan perkara yang sukar kerana Lefthanded dan kami sudah macam adik dan abang.
"Hubungan kami cukup akrab sejak berbelas tahun lalu. Peluang ini memang cukup saya nantikan. Harap-harap ia sukses," akhirinya sambil tersenyum.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: