PAIMM lebih selektif dalam pemilihan senarai artis untuk serikan majlis pada 2 Mei
SEMUA pihak bebas memberikan pandangan dan kritikan namun apa yang termampu mereka lakukan adalah merencanakan konsep persembahan terbaik biarpun menghadapi kekangan bajet yang ketat.
Pengurus Besar Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM), Jennifer Thompson, berkata Anugerah Industri Muzik (AIM) 16 cuma menyediakan lapan slot persembahan sekali gus mendesak mereka supaya lebih selektif dalam pemilihan senarai artis untuk menyerikan acara itu.
Katanya, menyusun senarai persembahan untuk acara besar seperti AIM16 bukan sesuatu yang mudah kerana sulit untuk meramalkan apa yang akan berlaku nanti.
“Ia sama seperti membikin sebuah album yang mengerah kerja keras dan titik peluh serta kreativiti anak seni tetapi apabila menjadi sebaliknya, mereka dihentam dan segala penat lelah yang dicurahkan tidak dihargai.
“Sama seperti AIM16, kami cuba memberikan yang terbaik untuk acara ini atas kapasiti yang ada kerana kami sendiri sukar meramalkan bagaimana hasilnya nanti,” kata Jennifer yang ditemui pada sidang media pengumuman artis yang membuat persembahan dan penyampai trofi untuk malam kemuncak AIM16, baru-baru ini.
Jennifer berkata, industri hiburan negara ketika ini dilambakkan dengan penganjuran pelbagai acara anugerah dan tanpa disengajakan mencetuskan persaingan antara satu sama lain untuk muncul terbaik di penilaian mata khalayak.
Akuinya, dia menyanjung kekuatan produksi Anugerah Juara Lagu Ke-23 yang berjaya menghasilkan sebuah penerbitan terbaik.
“Semua memberikan pandangan dan membuat penilaian, namun kami hanya mampu mencuba sedaya upaya atas segala kemampuan yang ada,” katanya.
Jumlah slot yang kecil tetapi memancing keinginan ramai penggiat muzik untuk turut serta membuatkan Jennifer dan tenaga produksi AIM16 menetapkan kriteria tertentu dalam menentukan barisan artis yang terpilih untuk membuat persembahan.
AIM16 kata Jennifer, mengutamakan artis yang mempunyai produk sebagai kelangsungan untuk mereka meneruskan usaha dalam membina karier dan berdiri matang dalam industri muzik.
“Kita mempunyai ramai artis yang berbakat besar dan melahirkan produk yang baik tetapi kurang diberi perhatian oleh stesen radio dan peminat.
“Justeru, AIM16 memberi peluang ini kepada mereka untuk memperkenalkan bakat seperti mana kesempatan diberikan kepada Dayang Nurfaizah dan Misha Omar yang menyerlah selepas memberikan persembahan terbaik pada malam kemuncak AIM dulu.
“Bagi mereka yang tidak terpilih, AIM tetap menyokong malah apabila tiba masanya mereka juga akan meraih peluang yang sama,” katanya.
Dalam ketelitian itu, Jennifer berkata, pengulangan barisan artis yang menyerikan slot persembahan AIM16 tidak dapat dielakkan kerana mereka impak yang besar kepada dunia hiburan sepanjang tahun lalu.
Faizal Tahir, Meet Uncle Hussain dan Hujan katanya ialah antara barisan artis yang memberi impak besar kepada industri muzik sepanjang tahun lalu.
Tambah Jennifer, meskipun industri hiburan ketika ini dibanjiri ramai kumpulan muzik baru yang mempunyai potensi besar di mata peminat namun mereka terpaksa berhati-hati apabila membabitkan persembahan di kaca televisyen.
Katanya, persembahan secara langsung di depan peminat dan beraksi di kaca televisyen adalah dua perkara berbeza serta menuntut ketelitian yang mendalam.
“Di kaca televisyen, setiap kesilapan dapat dikesan dengan jelas dan kami tidak mahu kerana kegagalan pertama, mereka terus dihukum dan dihentam selama-lamanya.
“Kami pernah melalui situasi ini apabila mengundang kumpulan indie berpengaruh untuk beraksi di AIM tetapi apabila gagal menyerlah di kaca televisyen, mereka teruk dikritik,” katanya.
Jennifer turut memuji artis tempatan berbangsa Cina dan India yang menunggu penuh sabar untuk meraih ruang beraksi pada acara kemuncak tahunan itu.
“Penghargaan mereka terhadap acara ini berbeza. Kesungguhan serta kesabaran mereka cukup kami hargai dan kerana itu, sejak beberapa tahun lalu kami mengundang mereka untuk turut sama,” katanya.
AIM16 yang akan berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 2 Mei ini kembali menyatukan Afdlin Shauki, Bob Lokman dan Adibah Noor sebagai pengacara.
Pengekalan tiga nama berkenaan sebagai teraju utama AIM16 kata Jennifer adalah kerana keserasian mereka dengan gaya dan perjalanan acara anugerah muzik itu.
“Tidak dinafikan pengacara menjalankan tanggungjawab yang berat kerana imej dan cara pembawaan AIM16 berada di tangan mereka. Ketiga-tiga pengacara ini sudah faham dengan perjalanan AIM yang tidak terlalu serius namun mempunyai imej dan prestijnya yang tersendiri,” katanya.
AIM16 diserikan dengan persembahan daripada Chakrasonic, Faizal Tahir, Goldkartz, Hujan, Joe Flizzow, Man Jiang Hong, Meet Uncle Hussain, Misha Omar, M Nasir, Datuk Sheila Majid serta penyanyi Indonesia, Rossa.
Sementara itu, penyampai anugerah pula terdiri daripada Aizat, Atilia, Camelia, Dafi, Hunny Madu, Jaclyn Victor, Leya, Noryn Aziz, Rahim Maarof, Salamiah Hassan dan Syafinaz.
“Persembahan barisan artis akan diiringi kumpulan pemuzik profesional di bawah pimpinan pengarah muzik, Ramli MS. Komitmen yang sentiasa diberikan artis bakal menyajikan sebuah lagi persembahan menarik untuk dinikmati semua,” katanya.
Sementara itu, Naib Pengerusi Jawatankuasa Pengelola AIM16, Rosmin Hashim berkata, kemuncak AIM16 menyajikan beberapa kejutan menerusi gandingan persembahan yang mengujakan penonton.
“Apa yang dapat saya katakan, barisan artis yang terpilih itu mencerminkan perjalanan industri muzik sepanjang 2008 apabila kehadiran mereka memberi impak dan warna kepada dunia hiburan negara,” katanya.
AIM16 mempertandingkan 29 kategori, namun hanya 17 kategori disampaikan pada malam kemuncak manakala selebihnya diserahkan kepada pemenang sebelum acara bermula.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: