Saturday, April 4, 2009

Info TV: Kisah Sepah di Astro Ria bermula malam esok


Kumpulan Sepah.

SELEPAS berjaya merangkul gelaran Raja Lawak musim ketiga pada 6 Mac lalu, kumpulan Sepah yang terdiri daripada Shuib, Mamat dan Jep yang pastinya kini melalui kehidupan yang berbeza daripada sebelum ini.

Segala perubahan yang dialami sebenarnya tidak pernah dijangkakan memandangkan ke mana saja mereka pergi pasti ramai yang menyapa dan tidak lupa juga yang bergambar sebagai kenangan-kenangan bersama mereka.

Sememangnya Sepah kini membuka lembaran baru dalam dunia komedi apabila idea lawak yang dilahirkan menepati cita rasa masa kini yang boleh diterima oleh pelbagai lapisan usia dan masyarakat.

Pastinya ramai penyokong Sepah yang ingin mengetahui perjalanan hidup sepah dulu dan kini selepas bergelar Raja Lawak. Inisiatif ini diambil Astro selepas mendapat reaksi positif daripada penonton yang ingin terus melihat Sepah dalam dunia seni.

Bermula esok (Ahad) jam 9.30 malam, program yang diberi nama Kisah Sepah akan disiarkan menerusi Astro Ria (saluran 104) sebagai penghargaan kejayaan mereka mewarnai dunia komedi.

Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul berkata, sebaik ditabalkan sebagai Raja Lawak ketiga, Astro sememangnya sudah menyusun beberapa program khas untuk juara dan finalis Raja Lawak.

“Seperti yang dijanjikan, juara bagi program realiti Raja Lawak Astro akan muncul melalui program khas sejurus selepas bergelar juara sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang tidak jemu menyokong pembabitan mereka semasa pertandingan berlangsung.

“Kami yakin kumpulan Sepah mempunyai peminat tersendiri yang akan terus menyokong kerjaya mereka sehingga menjadi kumpulan pelawak yang disegani tidak lama lagi.

“Program khas yang disediakan ini adalah salah satu daripada batu loncatan yang dirancang bagi memulakan kerjaya mereka selaku pelawak yang bukan saja berkualiti malah disegani,” katanya.

Khairul Mizan berkata, program yang mencatat rating tinggi sehingga mencecah 1.3 juta penonton pada episod akhir 6 Mac lalu meyakini pelawak yang dilahirkan mereka mempunyai masa depan yang cerah dalam industri seni ini.

“Prestasi yang membanggakan ini juga adalah salah satu daripada percubaan utama kami dalam memberikan hiburan yang berterusan dengan menonjolkan juara bagi program Raja Lawak Astro, iaitu kumpulan Sepah melalui sebuah program khas lapan episod.

“Kisah Sepah akan memaparkan perjalanan dan aktiviti kerjaya seni kumpulan Sepah selepas mereka dinobatkan sebagai juara bagi program realiti mencari bakat lawak melalui Raja Lawak Astro musim ketiga.

“Segala pengalaman pahit manis dan suka duka mereka yang baru pertama kali bergelar artis akan dipaparkan dalam program khas ini selama 30 minit pada setiap minggu,” katanya.

Menurut Khairul Mizan, pelbagai gelagat spontan mereka boleh diikuti semasa menghadiri sesi fotografi, membuat persembahan pentas di khalayak umum dan majlis tertutup serta kegiatan mereka di masa lapang.

“Penonton juga dapat melihat bagaimana mereka bersatu dalam mengeluarkan idea bernas sebelum mengadakan persembahan pentas.

“Istimewanya program khas ini juga ialah apabila penonton akan didedahkan dengan pengakuan kumpulan Sepah sebelum dan semasa pertandingan berlangsung yang belum pernah dihebahkan kepada mana-mana pihak seperti Shuib dan Jep yang bernazar untuk membotakkan kepala jika terpilih memasuki pertandingan Raja Lawak Astro musim ketiga,” katanya yang turut menyiarkan kegiatan kumpulan Sepah di belakang tabir, penonton juga akan dihiburkan dengan persembahan sketsa pendek sebagai selingan program.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: