Monday, April 27, 2009

Hasnol masih 'gian' menyanyi


LAGUKU Untukmu versi baru hasil paduan suara Hasnol dan Mimie.

Buat kemunculan semula dengan merakamkan Laguku Untukmu versi baru

TERNYATA jiwa seni yang sudah tersemat dalam diri Hasnol Hassan sejak dulu lagi tidak mampu dibendung walaupun dia sebenarnya sudah agak selesa dengan kariernya sebagai pengurus.

Namun begitu, sejak kebelakangan ini rasa gian untuk menyanyi kembali mengacau fikirannya. Biasanya bagi melepaskan ketagihan itu dialihkan dengan melakukan kerja rutin harian dan pusat karaoke adalah tempat sasarannya.

Suatu masa lalu, Hasnol cukup dikenali dengan Laguku Untuk yang popular sekitar tahun 1993. Lagu itu juga menjadi kegilaan ramai peminat.

Lagu ciptaan Adnan Abu Hassan dan liriknya ditulis oleh Hasnol sendiri berdasarkan kisah benar yang dilaluinya. Apabila berkumandang di radio, ternyata lagu itu memang agak menyentuh perasaan apabila didengar.

Justeru, Laguku Untukmu mendapat sentuhan baru apabila Hasnol menyanyi kembali lagu yang pernah menaikkan namanya suatu masa lalu.

“Idea untuk merakam kembali lagu ini mengikut muzik semasa lahir apabila saya bertemu dengan Along (Exists) dalam satu acara hujung tahun lalu. Seperti biasa kami bertanya khabar dan terkeluar dari mulutnya bercerita mengenai industri muzik hari ini. Dia ada bertanya tidak berminat ke untuk menyanyi semula.

“Pada mulanya macam malu untuk ‘come back’, tapi apabila kata-kata semangat yang tinggi diberikan Along saya bersetuju.

“Dia ajak saya datang ke studionya untuk mendengar suara saya dan dia terkejut kerana dia kata suara saya masih ada nilai tersendiri untuk pendengar hari ini. Dia mencadangkan saya untuk merakamkan kembali Laguku Untukmu tapi dalam versi baru,” katanya.

Laguku Untukmu juga akan memulakan proses video klip dalam masa terdekat ini dimuatkan ke dalam album kompilasi Terbaik Exists yang kini sudah berada di pasaran.

Menurut Hasnol, menariknya Laguku Untukmu versi baru ini, ia akan dinyanyikan secara berduet dengan Mimie (MyStarz LG musim pertama) yang diperkenalkan oleh Along.

“Pada mulanya saya tidak begitu mengenali Mimie dan timbul pertanyaan bolehkah dia menyanyi. Namun selepas mendengar suaranya saya terpaku kerana lagu itu cukup sesuai dengan apa yang saya inginkan.

“Alhamdulillah saya sangat berpuas hati apabila mendengar kembali lagu itu dengan nafas baru, lebih-lebih lagi suara Mimie cukup serasi dengan lagu itu,” katanya yang kini merancang untuk menghasilkan single terbarunya Mei depan.

Sementara itu, sebagai bakat baru dalam arena muzik ini, Mimie akui bertuah terpilih untuk menyanyikan kembali lagu yang begitu indah bait liriknya digandingkan bersama penyanyi asal.

“Saya pernah mendengar lagu itu semasa di sekolah. Memang lagu itu menyentuh perasaan sesiapa saja yang mendengarnya.

“Saya berasa bertuah kerana terpilih untuk menyanyi kembali lagu ini lebih lagi dengan penyanyi asalnya. Sedikit sebanyak lagu yang sememangnya sudah popular itu dapatlah menjadi batu loncatan kepada saya untuk memperkenalkan diri saya dalam industri muzik ini,” katanya.

Lirik Laguku Untukmu

Kehadiran membawa seribu erti
Terasa bagaikan suatu mimpi
Indah mahligai yang kita bina
Impian kini terlaksana sudah

Tiada ku terlintas akan terjadi
Kita kan terpisah jua akhirnya
Sejenak ku terfikir segala
Oh keindahan bersamamu

Kembalilah kasih kepada diriku
Hidupku sepi tanpa kehadiranmu
Dengar rayuanku jeritan batinku
Masih dahagakan kemesraanmu
Hanya kau yang ku cinta tiada kedua
Usah biar ku menderita

Setelah kau pergi tiada kembali
Pilunya tak dapat ku menggambarkan
Abadi kasihku yang amat suci
Biarku yang dalam kegelapan

Dengarlah dendangan laguku untukmu
Suara hati lambang suci murni
Berat saatku dilamun rindu
Setelah lama dikau pergi oh...
Kasihku... oh...

Kembalilah kasih kepada diriku
Hidupku sepi tanpa kehadiranmu
Dengar rayuanku jeritan batinku
Masih dahagakan kemesraanmu
Hanya kau yang ku cinta tiada kedua
Usah biar ku menderita

Setelah kau pergi tiada kembali
Pilunya tak dapat ku menggambarkan
Abadi kasihku yang amat suci
Biarku yang dalam kegelapan
Kasihku... oh...

Lagu: Adnan Abu Hassan
Lirik: Hasnol Hassan

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: